Wednesday, December 1, 2021

Awasi propaganda, malang menimpa jika BN tawan Melaka

Rakyat Melaka seharusnya tidak keliru dengan propaganda BN, terutamanya daripada pemimpin-pemimpin Umno yang penuh helah.

Other News

Adalah amat malang bagi keseluruhan rakyat negara ini jika Barisan Nasional (BN) menawan kerusi terbesar di pilihan raya negeri Melaka (PRN Melaka).

Kesannya boleh diramalkan. Selain pentadbiran yang kucar-kacir beterusan di negeri Melaka seperti dahulu dengan dakwaan curian dan penjualan haram pasir serta pemberian projek-projek pembangunan kepada kroni BN, kemenangan itu juga akan dijadikan propaganda mempengaruhi lebih banyak rakyat menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Rakyat Melaka seharusnya tidak keliru dengan propaganda BN, terutamanya dari pemimpin-pemimpin Umno penuh helah ditutup kebenaran. Fikirkan masak-masak kenyataan pemimpin BN di bawah ini yang berat sebelah dan tidak lengkap.

Propaganda 1: Perikatan Nasional (PN) bertanding di kesemua 28 kerusi PRN Melaka bertujuan memecahkan undi Melayu supaya BN kelah.

Sebenarnya: Ini adalah pertandingan antara parti-parti politik untuk memerintah. Untuk mendapat kuasa pemerintahan semua parti inginkan kerusi terbesar. Oleh itu PN perlu meletakkan kerusi yang terbanyak. Apa yang hendak disorokkan oleh pemimpin-pemimpin Umno ialah apa sebenarnya mereka mahu? BN atau Umno wajib memberitahu rakyat Melaka apa sebenarnya berlaku dari dakwaan otai reformis PKR, Mohd Rashidi Mohamed Amin yang berkata “banyak rahsia” telah dibocorkan ketika BN menguasai pemerintahan dahulu. Setelah melompat ke Pakatan Harapan, bekas ketua menteri Melaka dari Umno Idris Haron dan juga wakil rakyat Nor Azman mendedahkan perbelanjaan projek-projek lalu yang diberikan kepada kroni.

Propaganda 2: Peluang kemenangan BN adalah cerah berdasarkan sentimen sokongan pengundi Melaka berdasarkan kedua survei yang dilakukan oleh BN.

Sebenarnya: Ia adalah kata-kata kosong tanpa fakta kerana BN tidak menunjukkan data serta analisis dari dua kajian itu. Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan berkata parti gabungan BN boleh memenangi 18 kerusi di Melaka berdasarkan kajian yang dilakukan. Sementara itu, penasihat komunikai BN pula berkata dari kajiannya jika BN dipilih oleh 70% hingga 75% sokongan Melayu partinya boleh memerintah Melaka. Malangnya, orang ramai tidak boleh mengulas kebenaran kenyataan tersebut kerana tiada maklumat diberikan perihal berapa ramai ditemuduga, kaedah kajian dilakukan dan teknik unjurannya. Adakah ini perangai lama BN, rakyat hanya percayai apa kata mereka, jangan soal?

Propaganda 3: Helah untuk mengelirukan pengundi Melaka kononya adalah harapan BN supaya PAS akan bekerjasama semula dengan Umno. Begitu juga kemahuan mereka pemimpin-pemimpin Bersatu kembali ke Umno.

Sebenarnya: Kenyataan tersebut adalah helah mengabui mata bakal pengundi Melaka kononnya Umno berniat baik dan sanggup mengampun apa yang telah meretakkan dan
memisahkan pemimpin PAS dan Umno. Tetapi dosa Umno kepada rakan seperjuangan dan rakyat terlalu besar bagi membenarkan penyatuan berlaku. Parti-parti politik takut terpalit dosa besar ini apabila dekat dengan Umno. Budaya pemimpin Umno adalah menikam dari belakang rakan sebangsa dan agama, melacur diri pada parti lawan dan melompat parti tanpa rasa bersalah, dan ramai terlibat dengan tuduhan rasuah, salahguna kuasa, pengubahan wang haram, dan pengelakan cukai pendapatan.

Terbaru keceralaruan tindakan Umno ialah apabila Kabinet Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pohon diluluskan pemberian tanah premium di kawasan terkemuka Kuala Lumpur dan banglo bernilai RM100 juta kepada Najib Razak selaku hadiah kerajaan kepada bekas perdana menteri itu.

Empat orang menteri Kabinet, ia itu Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan membantah cadangan berkenaan.

Apabila perkara ini dibawa ke persidangan Parlimen, kecelaruan tindakan Umno menjadi lagi kecoh apabila PH berkata ia sedang mempertimbangkan untuk terus terima memorandum persefahaman (MoU) yand ditandatangani bersama kerajaan persekutuan pimpinan BN sebagai membantah pemberian hadiah ini.

Beberapa pemimpin dari Pakatan Harapan, tanpa berlapik, membidas kerajaan diketuai BN yang masih bertindak tanpa memikirkan keadaan dan keresahan rakyat ketika ini.

Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata pemberian rumah bernilai RM100 juta kepada Najib Razak mesti diundi di Parlimen memandangkan bekas perdana menteri tersebut telah disabit kesalahan jenayah walaupun dalam proses rayuan terhadap sabitannya. Pemberian hadiah ini amat menjijikkan bagi mana-mana rakyat Malaysia yang baik, tambahnya.

Di masa rakyat menderita, status doktor kontrak masih kabur, kanak-kanak daripada keluarga pendapatan B40 ketika ini menghadapi berbagai cabaran dan pada masa ramai warganegara telah hilang pekerjaan, rumah, pendapatan dan ada nyawa mereka, Kabinet pula bertindak memberi tanah dan rumah sebagai “hadiah” kepada seseorang yang telah didapati bersalah atas tuduhan korupsi oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Ini adalah tidak bermoral dan masuk akal, kata Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut membidas kerajaan pimpinan Umno bahawa ia sanggup jual maruah negara dari tolong rakyat sendiri. “Bila kita minta peruntukan jawatan tetap bagi doktor kontrak dan bantuan lain untuk rakyat, kata tak ada duit,” tambahnya.

Pengundi Melaka perlu benar dan berani tidak memilih BN. Dengan berbuat demikian, mereka menjadi pencetus suara rakyat hingga ke PRU15 bahawa jika tiada perubahan dalam parti politik dan pentadbiran di negeri dan negara yang jujur, telus dan berkepentingan rakyat, pemimpin-pemimpin ini akan dikalahkan.

Kekalahan BN ini wajib disuarakan sebagai kemahuan pengundi Melaka bahawa barisan pemimpin Umno sekarang perlu digugurkan dan diganti dengan yang bersih dan bermaruah. Begitu juga bagi parti lain yang inginkan undi mereka.

Rakyat Melaka akan menjadi penegak demokrasi sebenarnya: Kerajaan dibentuk melalui kuasa teragung pilihan rakyat melalui pilihan raya bebas dan bersih dari penipuan, dan ditadbir secara tidak langusng oleh sistem perwakilan di Parlimen yang dianggotai oleh wakil rakyat tidak lagi rasuah, salahguna kuasa, terlibat dengan pengubahan wang haram, dan mengelak cukai pendapatan.

Khairuddin Othman adalah bekas wartawan Berita Harian.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow 

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles