- Iklan -
Kolum

Menjadi mangsa penalti tol RFID

Saya dikenakan penalti seolah-olah saya memandu dari USJ ke Juru, Pulau Pinang.

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Ketika masuk Lebuhraya PLUS melalui tol USJ semalam, saya menggunakan lorong RFID menuju ke Setia Alam.

Setibanya di Plaza Tol Setia Alam, terdapat kesesakan di lorong RFID kerana ada kereta yang tersangkut tidak dapat melaluinya.

Sepertimana kita biasa menukar lorong jiran apabila laluan Smart Tag tersekat, di sini saya juga menukar lorong keluar tol untuk mengelak kesesakan di lorong RFID.

Keputusan sekelip mata ini menyebabkan saya dikenakan bayaran tol sebanyak 16 kali ganda iaitu RM37.15 dan bukannya RM2.30.

Saya dikenakan penalti seolah-olah saya memandu dari USJ ke Juru, Pulau Pinang.

Baki kad Touch ’n Go yang berjumlah RM70 terus hilang lebih separuh.

Meskipun PLUS ada memberi amaran untuk masuk dan keluar tol menggunakan RFID bagi mengelakkan penalti, tetapi wajarkah pengguna dikenakan penalti sebegitu?

Sebagai pengguna yang menggunakan Smart Tag dan Touch ’n Go, saya diajak menggunakan RFID melalui iklan di plaza-plaza tol seluruh Semenanjung Malaysia ketika ia dilancarkan yang menjanjikan perjalanan lebih lancar dan bayaran tol menggunakan e-Wallet, di mana ia boleh ditop-up melalui aplikasi Touch ’n Go di telefon.

Ketika RFID mula digunakan, terdapat laporan pelbagai kesesakan dilaporkan kerana ramai yang menganggap ia hanyalah seperti lorong Smart Tag dan Touch ’n Go, di mana kita boleh bertukar lorong ikut selera dan keadaan. Ketika itu, jika kita tersekat, ada staf yang akan datang untuk membantu membaca tag RFID menggunakan alat bacaan manual.

Menambah RFID, sepatutnya membolehkan pengguna lebuh raya menggunakan mana lorong yang ada di plaza tol, namun realitinya tidak.

Mengapa pengguna tidak boleh memilih lorong masuk keluar plaza tol antara Smart Tag, Touch ’n Go bersaling dengan RFID ikut kesesuaian sedangkan ketiga-tiganya memerlukan bayaran melalui Touch ’n Go?

Kebanyakan pengguna lebuh raya akan terlupa lorong mana yang digunakan untuk memasuki plaza tol terutamanya mereka yang berjalan jauh.

Jika pengguna lebuh raya terpaksa menggunakan lorong RFID sahaja, mengapa pula kebanyakan susunan lorong di plaza tol memperlihatkan lorong RFID bersendirian di tengah-tengah antara lorong Smart Tag dan Touch ’n Go dan bukannya lorong RFID?

Contohnya plaza tol Subang, dua lorong RFID berada jauh antara satu sama lain.

Jika salah satu lorong RFID tersekat, pengguna terpaksa menunggu kerana jika ia memilih menggunakan lorong jiran yang menggunakan Smart Tag dan Touch ’n Go, ia akan dikenakan penalti caj maksima.

Adilkah begitu? Bukankah ini lebih berupa satu perangkap?

Apabila kita masuk lebuh raya melalui plaza tol lorong RFID, mengapa lorong Smart Tag tidak sedar akan kemasukan kita?

Apabila kita masuk lebuh raya melalui plaza tol Smart Tag atau Touch ’n Go, mengapa lorong RFID tidak sedar akan kemasukan kita?

Sedangkan kedua-dua pembayaran diuruskan oleh Touch ’n Go.

Jelas ini cuma kelemahan reka cipta perisian dan pangkalan data.

Mengapa pengguna lebuh raya pula yang terpaksa membayar penalti atas kelemahan yang bodoh ini?

Saya menyokong teknologi RFID, tapi saya amat membantah penyelesaian separuh masak RFID bersama Smart Tag yang sedang dilaksanakan di semua lebuh raya yang perlu ada rekod keluar masuk.

Pengguna tidak wajar dihukum atas kelemahan reka cipta solusi Touch ’n Go yang mengenakan duit penalti jika tidak menggunakan lorong pembayaran yang sama.

Persoalannya, duit penalti ini masuk ke poket siapa, RFID atau Smart Tag?

Pihak Touch ’n Go perlu memulangkan duit penalti kepada semua yang menjadi mangsa selama ini.

Ini hanyalah adil kerana merekalah yang memberikan peluang kepada pihak Touch ’n Go mencuba teknologi RFID selama ini.

Mereka tidak sepatutnya menjadi kambing hitam kepada kelemahan sistem Touch ’n Go.