- Iklan -
Rencana

Siapa yang duduk berteduh di bawah khemah besar?

PN and PH tidak perlu membuang masa mempersoalkan keberadaan Najib yang sudah disabitkan di mahkamah itu dalam kempen-kempennya.

Fahd Amer
2 minit bacaan
Kongsi
Sebuah kereta melalui deretan perang bendera antara Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Pakatan Harapan di Bukit Rambai ketika Pilihan Raya Negeri Melaka tahun lalu.
Sebuah kereta melalui deretan perang bendera antara Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Pakatan Harapan di Bukit Rambai ketika Pilihan Raya Negeri Melaka tahun lalu.

Seluruh rakyat Malaysia pening dengan apa yang berlaku sekarang. Khususnya isu-isu berkaitan politik.

Belum lagi kita mahu memikirkan cara membahagikan kek ekonomi yang semakin mengecil. Siapa yang patut dapat. Banyak mana.

Kata sesetengah pihak buat apa kita mahu sibuk-sibuk ambil tahu mengenai politik negara.

Namun, kenalah juga ambil tahu sebab ia memberi kesan kepada kehidupan seharian kita.

Kalau keadaan politik tidak stabil, mana mungkin usaha-usaha memantapkan ekonomi berjalan lancar.

Kalau kebingungan politik terus mengganggu perjalanan, ada saja nanti sabotaj kepada dasar-dasar untuk memperkasakan ekonomi rakyat.

Sekarang kita dihidangkan dengan cerita politik yang membawa agenda khemah besar yang akan menjadi penghalang kepada BN untuk kembali berkuasa di Putrajaya.

Saban hari cerita mengenai khemah besar ini berubah-ubah. Siapa yang patut berada di bawahnya. Siapa yang patut menerajuinya.

Itu belum sampai ke tahap pembahagian kerusi yang selalunya akan menimbulkan pertelagahan sengit.

Nama Dr Mahathir Mohamad kembali terungkap dalam pertemuan beberapa pemimpin di Tokyo baru-baru ini.

Mahathir masih dijemput ke Nikkei Conference walaupun musuh politiknya di sini mencemuh peranan politiknya di Malaysia.

Ada yang mencemuhnya kenapa beliau mahu memberi syarat itu dan ini dalam perbincangan politik yang beliau hadiri.

Jawapannya sebab Mahathir masih bijak mencatur langkah lawannya.

PH dan DAP khususnya tidak mahu pengkhianat berteduh di bawah khemah yang sama. Alasannya tidak mahu melihat pisang berbuah dua kali.

Kalau dulu DAP boleh menerima veteran politik itu, isu pengkhianat ini cuma alasan remeh oleh pihak yang mahu menggagalkan usaha ke arah penyatuan pembangkang.

PH juga perlu sedar bahawa pengaruh mereka pun semakin luntur. BN akan menggunakan naratif ini, kata Najib dalam satu perhimpunan BN di Sepang baru-baru ini.

Katanya BN akan laungkan bahawa PH gagal, PH gagal.

PN and PH tidak perlu membuang masa mempersoalkan keberadaan Najib yang sudah disabitkan di mahkamah itu dalam kempen-kempennya.

Perbaikilah kelemahan yang ada dan cari kekuatan baru.

Jangan lagi tergesa-gesa mahu membuktikan bahawa mereka kerajaan yang lebih baik dan membalas dendam lama, hinggakan janji-janji PRU mereka menjadi bahan lawak di kalangan pengundi.

Kadang-kadang lagak mereka kelihatan “childish” sebab melayan kerenah politik yang tidak matang.

BN sudah mencanang bahawa mereka akan menang pada PRU15.

Ada kalangan pemimpin Umno-BN mahu parti itu muncul sebagai parti bersih apabila berhadapan dengan para pengundi nanti.

Bukan sesuatu yang mudah. Untuk mempertahankan hujah bahawa kerajaan BN adalah lebih baik dan memahami denyut nadi rakyat, memerlukan cerminan kepimpinan yang betul-betul bersih.

Bukan sekadar ungkapan manis semata-mata.

Jadi rakyat kena bijak memilih. Sementara pemimpin jangan celarukan rakyat dengan banyak janji.

Fahd Amer adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow