Monday, July 4, 2022

Kancil dan harimau

Tapi untuk aku paling kelakar ialah hubungan pak belang dengan sang kancil.

Other News

Dalam budaya Melayu kampung, jika ada sosok yang kecil dan pendek pasti namanya akan ditambah dengan kancil.

Tidak hairanlah di kampung kita akan berjumpa dengan Man Kancil, Sudin Kancil, Pak Lang Kancil atau kadang-kadang Dolah Pendek dipanggil Dolah Kancil.

Kancil dan Melayu tidak dapat dipisahkan.

Kancil pula tidak dapat dipisahkan dengan harimau.

Dua binatang ini menjadi tanda yang membawa makna dalam simbol pembudayaan Melayu.

Sang kancil dan sang harimau wujud dalam perlambangan bendera, logo dan kepala harimau menjadi tanda rahsia nilai mata wang ringgit kita.

Keluarga Melayu yang bangga dengan adat dan budaya akan mendewasakan anak-anak mereka dengan Hikayat Sang Kancil dan Sang Harimau.

Sebelum aku masuk sekolah lagi aku sudah mendengar kisah dan riwayat sang kancil dan sang harimau.

Nama manja sang harimau ialah pak belang. Kisah sang kancil yang kecil tapi cerdik mengalahkan pak belang menjadi metafora pembudayaan Melayu.

Kecil tapi bijak dan pintar dapat mengalahkan pak belang yang besar bengis, bertaring dan berkuku tajam.

Ketika aku membesar di Kampung Batu Serambai selalu aku mendengar orang terserempak dengan pak belang ketika dalam perjalanan melintas hutan Bukit Tangga dalam perjalanan ke Seremban.

Hutan Bukit Tangga ini kalau mengikut peta ilmu alam adalah bahagian akhir banjaran Titiwangsa.

Hutan hujan tropika yang penuh dengan segala macam tumbuhan dan binatang liar.

Malah abah aku sendiri pernah bercerita bagaimana satu malam dia terserempak dengan pak belang.

Ini ketika abah aku yang sedang menunggang Lambretta pulang dari Seremban. Pak belang melintas di jalan raya di kaki hutan Bukit Tangga.

Pernah juga satu petang dalam bas ketika aku dalam perjalanan hendak pulang ke Kampung Chenor para penumpang bas heboh dan bangun berdiri memandang ke luar.

Ada penumpang ternampak anak harimau di tepi jalan berhampiran Makam Moyang Salleh.

Moyang Salleh ini Datuk Undang Jelebu yang memutuskan Ketuanan Johor terhadap Jelebu.

Justeru makam ini dianggap keramat. Anak harimau itu dianggap bukan anak harimau biasa.

Sayangnya aku sendiri kurang bernasib baik. Aku duduk dalam bas di bahagian yang salah. Aku tidak melihat anak harimau itu.

Terlalu banyak kisah pak belang dalam dunia Melayu.

Pelbagai mitos dan lagenda tentang harimau.

Ada harimau jadian, ada harimau cenaku, ada harimau akar, ada pak belang yang dipelihara oleh bomoh dan pawang untuk membantu sang bomoh dalam hal ubat mengubat.

Pak belang ini penuh mistik.

Tapi untuk aku paling kelakar ialah hubungan pak belang dengan sang kancil.

Dalam satu segi mereka bermusuh dan dalam satu segi lagi, pak belang dan sang kancil berkawan.

Sang kancil selalu memperdayakan pak belang.

Kebijaksanaan sang kancil ini bukan hanya kita baca daripada Hikayat Sang Kancil tetapi dari cerita-cerita mulut.

Ada kancil berpura-pura mati apabila dia terjerat.

Ada cerita kancil menari-nari apabila terdengar bunyi serunai.

“Kancil ni, kalu dongar bunyi seruling dio berjoget.” Aku terdengar suara Chu Solat bercerita.

Petang itu aku di rumah Chu Solat.

Aku datang dengan memasang niat kerana Chu Solat pernah mengajak aku masuk hutan mencari kancil.

“Sonang ko dapek kancil?” Aku bertanya.

“Kancil ni sodap dagingnyo, tak koreh. Kulit boleh dimakan, tak liat macam kulit lombu.” Chu Solat berkata sambil memandang ke muka aku.

“Kalau esok paneh macam ni, kito buleh masuk utan. Kancil cari air nak minum potang-potang.”Chu Solat mengeluarkan kata-kata yang sudah lama aku tunggu-tunggu.

Mata aku memandang ke dinding. Senapang dan tali pinggang berisi peluru tergantung.

Aku belum pernah mengusik senapang ini. Aku hanya melihat.

Ada dua perasaan, takut dan berani apabila melihat senapang ini.

Takut dengan bunyi ledakan dan tersilap arah.

Berani nak mencuba. Aku hendak mencuba sesuatu yang baru.

Petang Sabtu aku tidak bersekolah. Matahari dah mula nak condong.

Lepas makan tengah hari aku menapak ke rumah Chu Solat.

Sesampai di muka pintu aku ternampak Chu Solat sedang membersihkan senapang.

Dengan kain buruk berminyak dia menyapu habuk-habuk.

Kemudian dengan rotan kecil dia memasukkan kain buruk ke dalam muncung senapang.

Aku hanya memerhati.

“Ikut jalan belakang topi sawah.” Chu Solat memberi arahan.

Keluar dari rumah Chu Solat memandang ke langit sebelum memulakan langkah.

Aku tahu dalam budaya Melayu ada langkah kiri, ada langkah kanan.

Ada gerak dan bayang terutamanya apabila nak masuk hutan belantara.

Tidak diketahui siapa dan apa yang akan dijumpai.

“Jangan ramai sangat orang nampak kito masuk utan.” Chu Solat menerangkan.

Baru aku faham kenapa kami mengambil jalan yang tidak perlu melintasi jalan besar dan lalu di hadapan kedai Makcik Jarah.

Chu Solat tidak mahu ramai orang tahu kami masuk hutan.

Dalam perjalanan kami tidak banyak bercerita. Aku hanya mengekori Chu Solat dari belakang.

Kami menapak jauh. Lepas melintasi kawasan sawah kami masuk ke kawasan kebun getah.

Masuk kawasan paya. Ini wilayah yang belum pernah aku sampai.

Hampir satu jam kami menapak. Kami sampai ke permulaan hutan dara.

Dalam hutan agak redup. Kami masih berjalan.

Chu Solat masih mencari tempat yang sesuai untuk mengetuk kancil. Kami sampai ke kawasan lapang antara dua bukit.

“Sini laaa.” Chu Solat memberikan arahan.

Aku tidak tahu apa yang perlu aku lakukan.

Aku perhatikan sekali lagi Chu Solat memandang ke kawasan sekeliling.

Dia berjalan hingga sampai ke sebatang kayu besar.

“Kito cubo sini.” Chu Solat memberi arahan.

Kemudian aku perhatikan Chu Solat mencari sesuatu.

Aku nampak dia mengambil dua helai daun yang lebar.

Aku tak kenal daun ini. Kemudian dia meminta aku membersihkan kawasan kecil.

Daun-daun mati dan akar kayu aku potong dengan parang tajam.

Akhirnya satu kawasan kecil mungkin seluas tiga kaki persegi aku bersihkan di tepi lereng bukit tidak jauh dari banir kayu besar.

Aku rakamkan dalam kepala kerana semua ini adalah ilmu pengetahuan.

Ini ilmu mengetuk kancil yang ada adab, peraturan, gerak langkah dan petua yang wajib dipakai.

“Kalu dengar apa-apa jangan bising jangan tegur.” Satu lagi ilmu berjalan dalam hutan yang aku pelajari.

“Rimau kadang-kadang datang.” Chu Solat menerangkan.

Mendengar nama pak belang itu menjadikan aku agak takut juga.

Tapi dalam masa yang sama aku yakin dan percaya pada keunggulan Chu Solat.

Di Batu Serambai Chu Solat dianggap jaguh dalam hal hutan, binatang liar dan tembak-menembak.

Untuk aku Chu Solat ini bukan hanya pembuat gasing Melayu yang unggul, dia juga penembak yang jaguh.

“Kau duduk di situ…pandang ateh bukit sano, Chu duduk di sini. Belakang kito rapat sikit.”

Dia memberi arahan sambil tangannya mengoyongkan sebatang anak kayu sepanjang kayu papan baris.

Kami duduk di tanah yang sudah aku bersihkan.

Kami membelakangi satu sama lain. Ini amat strategik.

Empat mata dapat melihat semua kawasan. Kami mengambil tempat dan terus duduk. Hutan senyap sunyi. Kami boleh mendengar nafas kami sendiri.

Senapang tegak bersandar pada badan Chu Solat. Dia mencangkung.

Tiba-tiba dari belakang aku dengar bunyi.

Chu Solat mengetuk daun lebar di atas tanah dengan anak kayu.

Dia mengetuk dengan satu irama yang tersusun bukan sembarangan.

Pada hemat aku ini pastilah irama yang dipelajari satu masa dulu.

Beberapa minit kemudian hutan yang tadinya senyap sunyi kini heboh.

Mula-mula aku dengar suara tupai menegur. Kemudian bunyi burung. Kemudian bunyi cikah.

“Tengok sapo datang, jago-jago.” Chu Solat beri arahan.

Mata aku mengamati sebatang pokok di lereng bukit.

Aku nampak daun yang rimbun mula bergoyang-goyang, hati aku mula berdebar-debar.

Macam-macam ingatan sampai. Aku merasa takut. Tetapi mata aku tetap ke pokok dan dahan yang sama.

Hutan menjadi riuh rendah. Dari apa yang aku difahamkan jika ada sang kancil berhampiran dia akan datang menari-nari mengikut rentak irama ketukan di bumi.

Aku juga difahamkan irama ini juga akan menarik datang pak belang yang tahu bahawa sang kancil akan datang menari-nari.

Kerana ini kami duduk membelakang satu sama lain. Untuk memerhatikan seluruh kawasan.

Bersedia jika ada pak belang sampai.

Chu Solat terus mengetuk. Aku terus memerhati.

“Ateh pokok tu, apo tu bosa bergoyang-goyang.” Aku memberi laporan.

“Itu beruk, tak beruk… cikah.” Chu Solat memberi pendapat tanpa memandang. Dia terus mengetuk.

Tiba-tiba dari daun-daun itu muncul satu lembaga berbulu berwarna coklat.

Sebesar budak berumur lima tahun.

Aku tahu ini bukan kera dan bukan cikah.

Apakah ianya si amang atau beruk tunggal yang datang untuk melihat Chu Solat yang sedang bermain muzik.

Lembaga berbulu coklat itu meloncat ke satu dahan yang lain.

Ini disambut pula oleh bunyi burung yang aku tidak tahu apa jenisnya.

“Jaga-jaga bising macam ni.” Chu Solat beri aku ingatan.

Chu Solat terus mengetuk daun atas tanah.

Hutan masih bising dengan pelbagai suara. Sang kancil yang kami tunggu tidak muncul.

“Takda rezeki kito potang ni, tak po lain kali kito cari tompek lain.”

Chu Solat berhenti mengetuk dan bangun. Aku yang duduk bersila atas tanah bangun sama.

Kami menapak pulang.

Kami pulang kosong tapi untuk aku satu pengalaman yang tidak akan aku lupakan sepanjang hidup.

Sang kancil tak dapat tak mengapa, tapi aku dapat melihat dan mendengar pelbagai bunyi dalam hutan menjadi harta ingatan.

Hari berjalan. Aku dengan rutin sekolah.

Pagi bangun jam enam, mandi dan bersiap hendak ke sekolah.

Kadang-kadang sempat minum dengan kuih dan biskut kering.

Selalu ke sekolah dengan perut kosong.

Jam 6.15 Bas Sekolah Lim akan lalu di hadapan rumah.

Bas ini akan bergerak ke kaki Bukit Tangga kawasan akhir perkampungan.

Di sini bas akan berpusing untuk mengutip pelajar ke sekolah di pekan Kuala Klawang.

Aku menunggu bas di hadapan kedai Makcik Jarah.

Kedai ini dibuka awal untuk orang kampung minum teh sebelum menoreh.

Biasanya jam 7 lebih aku sudah berada dalam bas menuju Kuala Klawang.

Sekolah aku dibuka jam 7.45 pagi.

Rutin ini aku ikuti berbulan-bulan.

Bila bosan dengan naik bas aku mula naik basikal ke sekolah.

Satu pagi aku terperanjat besar.

Bila aku sampai ke depan kedai Makcik Jarah orang ramai pandang-memandang.

Aku pun memandang sama.

Lalu aku nampak beberapa orang berkumpul di kedai Usop yang jauhnya tak sampai 100 meter berhadapan dengan kedai Makcik Jarah.

Beberapa orang kampung sedang berkumpul melihat mayat pak belang. Sebelum bas sampai aku bergegas untuk melihat sama.

Aduh! Harimau jantan mati ditembak.

“Malam tadi makan lombu Cik Mail.” Suara penerangan yang aku dengar.

“Chu Solat menembak ni.” Satu lagi suara penerangan yang aku dengar.

Ini peluang keemasan. Aku merapati mayat sang harimau.

Aku usap, aku raba kulitnya. Badanya sudah keras. Darahnya sudah kering. Ertinya sudah lama diletakkan di kedai Usop.

“Kono repot polis, tak buleh bunuh rimau. Jabatan Mergastua akan datang.” Satu lagi penerangan aku dengar.

Bas aku sampai. Bas berhenti agak lama kerana semua menjenguk ke tingkap hendak melihat mayat seekor pak belang.

Di sekolah aku buka cerita tentang sang harimau mati ditembak di kampung aku.

Semua kawan-kawan tertarik.

Tapi aku tidak tahu cerita penuh tentang kejadian menembak ini.

Apa yang aku tahu Chu Solat sudah berjaya.

Pulang dari sekolah mayat pak belang sudah diambil oleh Jabatan Mergastua Kuala Klawang.

Ke mana pak belang itu dibawa aku tidak tahu.

Lepas makan aku pergi ke kedai Makcik Jarah. Aku mahu mendengar cerita penuh tentang tertembaknya seekor pak belang.

Akhirnya aku berjaya mengumpul cerita pak belang ini.

Dua malam sebelum dia ditembak mati pak belang ini menangkap lembu Pakcik Mail.

Lembu ini ditarik ke tepi hutan untuk dimakan.

Kematian lembu ini diketahui Pakcik Mail.

Tuan empunya lembu meminta pertolongan Chu Solat kerana di Kampung Batu Serambai hanya Chu Solat yang ada senapang.

Chu Solat bersama pawang mendirikan ran di atas pokok getah.

Lembu yang jadi mangsa pak belang tidak habis dimakan. Pak belang akan datang mengulang mangsanya.

Daging lembu ini dilapah dan diletakan di bawah pokok getah tidak jauh dari ran.

Waktu malam Chu Solat dan pawang sedia menunggu dalam ran atas pokok getah.

Pak belang di waktu malam yang dinanti datang mengulang mangsa sekali lagi.

Dum! Sebutir peluru keluar dari senapang Chu Solat, sang harimau gugur tewas di tangan Chu Solat.

Cerita harimau masuk kampung makan lembu heboh diperkatakan.

Semua orang kampung bercerita.

Aku menjadi dua kali bangga.

Pertama aku dapat memegang tubuh badan pak belang. Kedua aku kenal baik siapa penembak pak belang ini.

Empat hari kemudian keluar gambar Chu Solat dan pawang bersama orang kampung dalam akhbar Utusan Melayu.

Di hadapan mereka tergelimpang badan pak belang. Rupa-rupanya jaringan pemberita Utusan Melayu sudah membuat laporan berita.

Bila aku membaca berita ini aku merasa bangga kerana aku kenal orang yang dilaporkan oleh Utusan Melayu.

Apa yang terjadi pada kulit dan daging pak belang ini sampai hari ini aku tidak tahu.

Chu Solat gagal mengetuk sang kancil tetapi berjaya menembak pak belang.

Epilog 1: Pulang daripada 20 tahun berkelana pada tahun 1997 aku berjumpa kembali dengan Chu Solat. Ketika itu dia menjadi jaga di kedai Achai.

Kedai ini terletak tidak jauh di hadapan kedai Makcik Jarah.

Beberapa tahun kemudian aku diberitahu Chu Solat meninggal dunia. Sampai hari ini aku tidak tahu nama penuh Chu Solat.

Pawang, bukan bomoh ini gelaran pada anak muda. Aku putus hubungan dengan pawang.

Epilog 2: Makcik Jarah menutup perniagaan ketika aku berkelana. Dia pulang ke Gagu kampung asal.

Aku masih berhubung dengan Suman Dusa anak Makcik Jarah. Suman menjadi rujukan ketika aku menulis kisah ini.

Tapak kedai Makcik Jarah masih ada. Kini ada bangunan batu. Pokok ara depan kedai Makcik Jarah tidak ada lagi. Pasti ditebang ketika aku berkelana.

Epilog 3: Raja Nong Chik berhenti dari menjadi pegawai daerah terus menjadi ahli perniagaan. Dia mendirikan kilang Nira Cola di Klang. Ini minuman todi yang ditinkan seperti beer.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles

Bulan Bahasa Kebangsaan

Orang tua dan gasing

Ayam Siam di Padang Besar

Sasaran akhir: Kangar

Tokong Ular dan Bukit Bendera