- Iklan -
Rencana

Apakah Melayu akan bunuh diri sendiri?

Memerangi rasuah adalah pertarungan paling sukar di zaman ini, lebih sukar dari memerangi pengganas, lebih sukar dari memerangi kumpulan munafik.

Mahdzir Ibrahim
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki berbaju Melayu lengkap menuju ke masjid untuk mengerjakan solat Hari Raya Aidiltfitri baru-baru ini.
Seorang lelaki berbaju Melayu lengkap menuju ke masjid untuk mengerjakan solat Hari Raya Aidiltfitri baru-baru ini.

Kedatangan Islam ke Nusantara telah menjadikan Melayu sebagai sebuah bangsa, bukan lagi etnik.

Islam telah memberi kekuatan dan kemajuan kepada bangsa Melayu dalam bidang pendidikan, bahasa dan pentadbiran, demikian rumusan pandangan Stamford Raffles dalam catatannya (1817-1830).

Ajaran Islam di alam Melayu ini juga mewajibkan penganutnya (bangsa Melayu) melakukan usaha mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran (amar ma’ruf nahi munkar).

Amar ma’ruf nahi munkar ini termasuk dalam soal fardu kifayah dan diangkat sebagai salah satu syi’ar Islam yang agung yang menjadi sendi kehidupan masyarakat rabbani yang kuat.

Namun, ajaran-ajaran agama yang baik dan murni ini tak selalu dapat difahami dan dipraktikkan dengan betul oleh penganutnya hingga ia mendatangkan kembali fitnah ke atas agama.

Kita sering dengar tindakan kekerasan dan tidak toleran dalam melaksanakan ajaran usaha mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran ke atas seseorang atau sekumpulan orang.

Malah, kerap berlaku tindakan yang selektif dikalangan masyarakat kita dan pihak penguasa.

Perlencongan antara inti ajaran Islam yang diajar dengan praktiknya, berpunca daripada “budaya” orang Melayu itu sendiri.

Catatan ‘Gelagat Dan Ragam Orang Melayu’

Frank Swettenham dalam bukunya (Malay Sketches – 1903) yang diterjemahkan bertajuk “Gelagat Dan Ragam Orang Melayu”.

Selain menyatakan sifat orang Melayu yang terpuji, beliau turut mencatatkan pengamatan beliau tentang sikap orang Melayu yang kurang enak antaranya;

“Umumnya orang Melayu baik budinya, bersopan santun dan tenang. Mereka juga amat patuh, tetapi sangat berhati-hati akan orang asing atau sesuatu yang dicurigai meskipun keraguan itu tidaklah dipamerkan.

“…Orang Melayu beragama Islam menyerah nasibnya kepada takdir, tetapi pada masa yang sama mereka juga percayakan tahyul.

“…orang Melayu sangat pemalas dalam apa-apa hal sekalipun, tidak mempunyai cara atau aturan tertentu, sehinggakan waktu makan pun tidak mempunyai ketetapan dan mereka beranggapan masa tidaklah penting.

“…mereka akan patuh tanpa banyak soal setiap perintah daripada ketua, juga akan berhabis-habisan mempertahankan sanak saudara meski menyebabkan diri terheret dalam perkelahian.”

Tentulah pengamatan Swettenham ini tidak sempurna, namun pengamatan beliau ini tidaklah semuanya salah.

Memang berlaku Melayu muslim yang percaya pada ajaran agama, juga mempunyai tabiat yang buruk seperti percayakan tahyul, pemalas dan terus melakukan kemungkaran dalam masyarakat.

Seperti yang dicatatkan lagi, orang Melayu seorang manusia yang taat dan tetap setia membela ketuanya. Barangkali inilah yang terjadi dalam sketsa “Najib Boss Ku”.

Rasuah yang halal

Apabila ajaran Islam diadunkan ke dalam budaya Melayu, wujudlah konsep budi dan iman (Budiman).

Namun seperti yang terjadi dengan penyalahgunaan konsep “amar ma’ruf nahi munkar”, konsep “membalas budi/jasa” ini juga disalahgunakan.

Ini telah membuka jalan berlakunya amalan “tumbuk rusuk”. Konsep ini menjadi “bahan pencuci” untuk menghalalkan “duit kopi” (rasuah) sebagai “membalas budi/jasa” seseorang.

Kerja membalas budi dan jasa di mata umum Melayu, adalah suatu kerja yang mulia, sesuai dengan ajaran agamanya, sedangkan pada hakikatnya, perlakuan ini tak semestinya benar, malah menyimpang.

Mungkin kerana naratif inilah mengapa Sidek Hassan, bekas ketua setiausaha negara (KSN) mengambil gaji sebanyak RM 30 ribu sebulan daripada Najib Razak (ketuanya) tanpa berbuat apa-apa kerja, juga kerana konsep membalas budi dan jasa.

Rasuah dan ekosistem

Syed Hussein Alatas, mengidentifikasikan rasuah dalam beberapa bentuk:

1. Rasuah transaktif (transactive corruption) adalah bentuk korupsi yang dilakukan secara aktif oleh dua pihak yang saling bekerja sama untuk memperoleh keuntungan bersama. Ini jenis korupsi yang paling umum dilakukan.

2. Rasuah peras ugut (extortive corruption) adalah rasuah paksa sebagai bayaran jasa yang diberikan kepada pihak luar. Pihak luar terpaksa memenuhinya kerana jika tidak, mereka akan terlepas peluang perniagaan.

3. Rasuah pelaburan (investive corruption) adalah pemberian yang diberikan pihak luar kepada pejabat untuk memperoleh kemudahan dan keuntungan di masa depan.

4. Rasuah nepotistik (nepotistic corruption) rasuah ini ada hubungan antara kakitangan (pejabat) dengan keluarga atau rakan rapat.

5. Rasuah autogenik (autogenic corruption) ini terjadi bila “orang dalam” memberi informasi kepada pihak luar dengan harapan mendapat bayaran tertentu atas pembocoran maklumat penting (leak information) khususnya berkaitan sesuatu projek untuk mengelak persaingan antara kontraktor.

6. Rasuah sokongan (supportive corruption) adalah rasuah yang dilakukan secara berkelompok dengan tujuan untuk melindungi dan mempertahankan korupsi yang mereka lakukan secara kolektif.

Perang zaman ini

Rasuah pada hari ini bukan sahaja telah menjadi budaya, malah telah menjadi satu rantaian (ekosistem) yang saling berkait dan sokong menyokong antara satu sama lain.

Antara amalan “membalas budi/jasa” dengan menerima atau memberi wang kotor (rasuah) amat sukar dibezakan apatah lagi untuk memeranginya kerana ia telah berakar dalam budaya Melayu.

Mereka yang menerima rasuah ini umumnya sedar akan amalan buruk ini, tapi mereka tak peduli kerana hati telah biasa dengan cara hidup sebegini.

Memerangi budaya rasuah adalah pertarungan paling sukar di zaman ini.

Ia lebih sukar dari memerangi pengganas, ia lebih sukar dari memerangi kumpulan munafik.

Usaha amar ma’ruf nahi munkar ini akan terus berdepan kesukaran kerana sisi huduh budaya telah masuk meresap dan menggelapkan akal budi orang Melayu.

Teringat Yayasan Akal Budi, satu nama yang cantik. Tetapi juga digunakan untuk “membalas budi/jasa” kepada seseorang.

Ajaran agama rosak, budaya rosak. Apakah kita akan menjadi bangsa yang akan membunuh dirinya sendiri?

Mahukah kita jadi demikian? Atau kita sanggup bangkit dan mengasak melakukan perubahan?

Mahdzir Ibrahim adalah ahli Pejuang.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow