- Iklan -
Rencana

Jadikan PRU15 paku terakhir keranda politik kleptokrat

Para kleptokrat inilah yang menjadi hantu raya, mengkucar-kacirkan politik negara sehingga menjadi kurang stabil selepas kekalahan Umno-BN pada 2018.

Mustofa Hamidi
3 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: AFP
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: AFP

Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah satu fajar baru buat Malaysia yang ditakdirkan kecundang di pertengahan jalan.

Tidak dapat disangkal lagi, ia adalah episod mendukacitakan bagi majoriti rakyat yang telah bersama-sama menumbangkan rejim kleptokrat Umno-Barisan Nasional (BN).

Pun begitu, apa yang telah berlaku tidak dapat diundur semula dan tiadalah gunanya episod sedih itu terus diratapi.

Sebaliknya, ia wajar dijadikan pengajaran berguna khususnya dalam kalangan pimpinan politik pembangkang.

Adalah tidak adil juga untuk kita menuding jari kepada mana-mana pihak sebagai punca tunggal kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mampu bertahan selama 22 bulan sahaja.

Ini kerana semua parti yang membentuk kerajaan PH ada salah dan silapnya malah ada kegelojohan dan sikap besar kepalanya. Usahlah dinafikan hakikat itu.

Walau apapun yang berlaku, saintis politik yang turun ke lapangan mendapati rakyat belum kembali sepenuhnya ke pangkuan Umno-BN walaupun parti itu mendabik dada kononnya rakyat sudah merindui mereka dan menyesali kesilapan menolak parti itu pada PRU14.

Sebahagian besar daripada mereka masih kekal menolak kemungkaran rejim kleptokrat Umno-BN malah jijik melihat permainan politik kluster mahkamah seperti Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi yang semakin terdesak.

Benar, Umno-BN menang bergaya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka, tetapi ia bukanlah gambaran tepat untuk menyukat tahap sokongan masyarakat kepada mereka kerana peratusan keluar mengundi adalah rendah.

Umno-BN bernasib baik apabila meraih kemenangan mudah kerana sejumlah besar pengundi yang menolak parti itu tidak mengambil bahagian dalam dua PRN itu.

Umno-BN cekap memanfaatkan peluang itu dengan menggerakkan penyokong mereka melalui kekuatan jentera peringkat cawangan supaya keluar mengundi beramai-ramai.

Bagi yang tidak mengundi, mereka beranggapan ia adalah proses yang sia-sia kerana sudah dapat menjangka keputusan yang bakal berpihak kepada Umno-BN.

Keyakinan mereka hilang apabila melihat tiadanya kesepakatan pembangkang yang bergasak sesama sendiri berebut sokongan sehingga undi berpecah-belah.

PRN Johor menzahirkan kesombongan parti politik, tidak terkecuali parti nyamuk yang bernafsu besar seperti Pejuang yang bertanding di 42 daripada 56 kerusi DUN tetapi hanya mampu mengumpul kira-kira 17,000 undi sahaja.

Pun begitu, keputusan PRN Johor telah memberikan satu tamparan kesedaran kepada pimpinan politik parti penentang BN supaya menjalinkan kerjasama pada PRU15 atau terus berdepan kekalahan di tangan Umno-BN.

Pimpinan politik pembangkang sudah mula bercakap tentang kerjasama walaupun ada sesetengahnya masih bersalut keegoan.

Paling terkehadapan menyeru jalinan kerjasama ialah Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin bermula April lalu dan terbaru, ialah cadangan supaya persefahaman pilihan raya diwujudkan.

Kata Muhyiddin, formula satu lawan satu yang dikemukakan oleh Bersatu adalah bersifat kerjasama atau persefahaman pilihan raya yang tidak melibatkan pembentukan satu gabungan baru parti-parti politik.

Cadangan persefahaman pilihan raya yang diusulkan beliau juga mesti diasaskan kepada satu agenda bersama bagi memastikan negara tidak kembali dikuasai kumpulan kleptokrat yang disifatkan sedang “menguasai BN”.

Berikutan itu, Umno yang bimbang dengan inisiatif itu memperhebatkan serangan terhadap Muhyiddin dan pada masa sama mula menekan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya membubarkan Parlimen dengan seberapa segera.

Kelompok kluster mahkamah Umno ini sedar usaha Muhyiddin menyatukan semua parti penentang Umno-BN adalah satu gerakan yang bahaya kepada mereka.

Turut tumpang semangkuk menyerang Muhyiddin ialah pemimpin pembangkang yang masih terus mendakwa beliau melakukan pengkhianatan melalui penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, pimpinan parti utama pembangkang seperti Anwar Ibrahim dan beberapa tokoh DAP bersikap agak terbuka dan membuat ulasan yang berlapik.

Jiwa besar mereka amat penting untuk menjayakan persefahaman  politik yang menuntut semua pihak mengenepikan kepentingan peribadi demi merawat negara yang semakin tenat.

Sikap itu adalah petunjuk yang mereka menerima hakikat penyertaan dalam PRU15 adalah kerja sia-sia jika gagal mewujudkan kerjasama satu lawan satu.

Cuma, semua parti berdepan masalah untuk membuat penjelasan kepada penyokong fanatik masing-masing.

Bukan DAP dan PKR sahaja yang bermasalah dalam hal ini.

Bersatu dan PAS juga sukar untuk merasionalkan kerjasama dengan PKR dan DAP kepada ahli akar umbi mereka.

Pun begitu, mereka juga perlu berlaku adil kepada golongan atas pagar yang mengharapkan adanya kerjasama supaya persaingan pada PRU15 menjadi lebih “solid”, bukannya kecundang sebelum masuk gelanggang.

Bukan sedikit pengundi daripada kelompok ini yang seperti sudah berputus asa dan tidak mahu mengambil tahu lagi tentang politik negara.

Tetapi jika berjaya diwujudkan kerjasama merentasi parti politik pembangkang, masih ada ruang untuk menarik mereka keluar mengundi sekali gus menjadikan PRU15 sebagai sebagai paku terakhir keranda politik para kleptokrat Umno.

Para kleptokrat inilah yang menjadi hantu raya, mengkucar-kacirkan politik negara sehingga menjadi kurang stabil selepas kekalahan Umno-BN pada 2018.

Lantaran itu, PRU15 perlu dijadikan medan untuk menamatkan tindak tanduk meloyakan hantu-hantu raya ini buat selama-lamanya kerana jika kemenangan berpihak kepada Umno-BN, watak-watak seperti Najib dan Zahid akan kembali ke tampuk kuasa.

Persoalannya, adakah kita semua sanggup melihat ia berlaku demi mempertahankan sebuah keegoan?

Mustofa Hamidi adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow