- Iklan -
Kolum

Apabila hanya golongan kaya peroleh manfaat DEB

Ia menusuk hati saya sebab ketidakadilan sosial datang dari dasar yang digubal untuk menegakkan keadilan sosial.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Minggu ini, berita yang paling menusuk hati saya ialah kenyataan Kamal Salih bahawa Dasar Ekonomi Baru (DEB) memberi manfaat hanya kepada 10%, yang merupakan golongan kaya.

Sementara yang lain sedang “struggling” (bertungkus lumus untuk hidup).

Perbezaan pendapatan semakin meluas selepas pandemik ini.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan siri enam syarahan di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1 Jun lalu.

Ia menusuk hati saya sebab ketidakadilan sosial datang dari dasar yang digubal untuk menegakkan keadilan sosial.

Menurut ahli ekonomi veteran itu, dianggarkan 80,000 rakyat Malaysia tidak memiliki pekerjaan, yang mana 30% daripadanya adalah siswazah yang tiada tempat untuk mereka.

Sementara 90% daripada mereka, bekerja di tempat yang tidak sepadan dengan kelulusan.

Beliau menyeru kerajaan supaya DEB digantikan dengan polisi yang berasaskan pada keperluan untuk menyusun semula ekonomi.

Ia juga bermakna menghentikan perlindungan (protectionism) dengan menukar cara bagi mendapatkan produktiviti tinggi.

Perubahan ini, katanya adalah perlu pada ketika negara sedang menghadapi pandemik Covid-19, kesan konflik Rusia-Ukraine, inflasi hiper, kelemahan ringgit, keselamatan makanan dan kemerosotan alam sekitar.

Bagaimanapun Kamal berpendapat, DEB tidaklah sepenuhnya wajar diketepikan.

Cumanya ia harus digantikan dengan suatu polisi yang sesuai dengan keperluan negara masa kini.

Saya membesar dengan DEB. Ketika ia mula dilaksanakan pada tahun 1971, saya berada di darjah enam. Maknanya saya adalah generasi DEB.

Pada masa itu Kamal adalah penuntut ijazah kedoktoran (PhD) di University Pennsylvania, Amerika Syarikat yang diperolehnya pada tahun 1973.

Pada tahun itu, iaitu ketika tingkatan dua saya mula membaca mengenai DEB yang tersiar dalam akhbar-akhbar dan majalah.

Semua media ini pro-kerajaan dan pastinya menyokong DEB. Tiada kritikan.

Apa yang saya faham ialah DEB merupakan dasar serampang dua mata, iaitu membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat supaya semua pekerjaan disertai oleh semua kaum, dan bukannya satu-satu kaum saja.

Ia juga bermakna akan ada orang Melayu yang menjadi golongan profesional serta ahli perniagaan dan bukan saja didominasi oleh kaum Cina dan India.

Langkah DEB mula dapat dirasakan sejak tahun 1972, ketika saya masuk ke tingkatan satu.

Pelajar-pelajar Bumiputera yang berpotensi ditempatkan di kelas khas di sekolah-sekolah tertentu dan memperolehi bantuan RM35 sebulan.

Apabila saya memasuki tingkatan empat, penetapan aliran dipaksakan terhadap pelajar Bumiputera.

Walaupun seseorang itu berminat kepada ekonomi, sejarah atau sastera, mereka yang mampu mempelajari sains akan dipaksa memasuki aliran sains demi menambahkan bilangan doktor dan jurutera Bumiputera.

Tempat untuk belajar sains adalah terhad. Akibatnya pelajar bukan Bumiputera yang lebih layak terpaksa memasuki aliran sastera.

Tetapi dari aliran sastera itu, mereka tetap berpeluang menjadi golongan profesional seperti peguam dan akauntan.

Tetapi pada tahun 1976, saya mula membaca kritikan-kritikan terhadap DEB.

Ia tersiar dalam akhbar alternatif yang edarannya amat kecil seperti Watan, Suara Rakyat dan Mimbar Sosialis, lidah rasmi Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM).

PSRM yang diketuai oleh Kassim Ahmad berpendirian bahawa DEB wajar berasaskan keperluan rakyat dan bukannya kaum.

Maknanya, semua warganegara miskin tanpa mengira kaum wajar dibantu.

Jika ia berasaskan kaum, orang kaya akan dapat bantuan atas sebab mereka adalah Bumiputera.

Tentulah orang Melayu yang diwakili oleh Umno dan PAS, kedua-duanya dalam Barisan Nasional (BN) mahukan dasar itu berorientasikan kaum.

Lebih-lebih lagi ia memenuhi tuntutan orang Melayu yang berasakan tidak puas hati menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 1969 dan Peristiwa 13 Mei.

Perkara yang menjadi asas kepada DEB ialah kek ekonomi mesti dibesarkan supaya peningkatan kedudukan ekonomi Bumiputera tidak menjejaskan orang bukan Melayu.

Pembesaran kek itu bergantung kepada pertumbuhan ekonomi

Sepanjang 10 tahun, DEB dilaksanakan di bawah perdana menteri Abdul Razak Hussein dan Hussein Onn.

Pelbagai usaha dilakukan dengan penubuhan syarikat-syarikat milik kerajaan.

Antara tokoh yang aktif mengisi DEB ialah Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau berusaha bagi penubuhan Bank Bumiputera, Petronas dan Perbadanan Nasional (Pernas).

Perkhidmatan kerajaan yang membesar dan penubuhan syarikat-syarikat milik kerajaan membuka peluang kepada anak-anak muda Bumiputera untuk bekerja, di semua lapisan.

Selepas 10 tahun, iaitu pada tahun 1981, penilaian dibuat terhadap separuh jangka waktu DEB.

Sudah ramai juga pelajar-pelajar Bumiputera yang pulang dari luar negara untuk menjadi ahli profesional dalam negara.

Ketika itu juga, Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.

Beliau melantik Kamal yang ketika itu adalah timbalan naib canselor USM sabagai anggota Panel Ekonomi Perdana Menteri sehingga tahun 1986.

Di bawah Mahathir, DEB diperkayakan dengan dasar penswastaan, dasar persyarikatan Malaysia, dasar pandang ke timur dan dasar penerapan nilai-nilai Islam.

Kesemua ini memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia terutamanya Bumiputera.

Dari tahun 1982 hingga 1986, saya menjadi pemberita Utusan Malaysia dan menyaksikan usaha ekonomi dan pembangunan Mahathir.

Wawasan beliau untuk menjadikan Malaysia sebuah negara industri memberi keyakinan dan semangat pada rakyat terhadap masa depan.

Dalam PRU tahun 1986, BN menang besar dengan PAS hanya memenangi satu kerusi Parlimen.

Namun begitu, politik negara tidak juga tenang.

Perpecahan berlaku dari dalam, iaitu Umno sendiri.

Sementara sebahagian anak muda Melayu pula lebih cenderung untuk memperjuangkan Islam yang meliputi keadilan sosial.

Bagi mereka DEB tidak cukup memberikan keadilan sosial.

Dalam pada itu, ada anak muda yang mendapati bahawa pengaruh politik dalam Umno boleh membawa kesenangan hidup baik dari segi kewangan atau pelantikan jawatan.

Bagi mereka, ini semua adalah hasil daripada DEB, dan ia merupakan hak orang Melayu, terutamanya ahli-ahli Umno.

Maka muncullah istilah Umnoputera.

Selepas 20 tahun, iaitu 1991, DEB pun berakhir.

Banyak pencapaiannya, dan banyak juga kegagalannya.

Ketika itu saya menjadi pengarang akhbar rasmi parti pembangkang iaitu Harakah.

PAS yang diketuai oleh Fadzil Noor adalah anggota Angkatan Perpaduan Ummah pimpinan Razaleigh, presiden Parti Melayu Semangat 46.

Sebagai pembangkang, tentu kami mengungkit mengenai kegagalan DEB.

Ketika itu Kamal ialah pengarah eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) yang ditubuhkannya.

Kenyataan beliau sering disiarkan oleh akhbar-akhbar arus perdana.

Beliau juga anggota Majlis Perniagaan Malaysia.

Pada tahun itu, kerajaan pimpinan Mahathir memperkenalkan Dasar Pembangunan Negara (DPN) sebagai lanjutan kepada DEB.

DPN berlangsung selama 10 tahun, iaitu berakhir pada tahun 2001.

Pada tahun itu, Semangat 46 dibubarkan dan Razaleigh kembali pada Umno.

Sementara pihak pembangkang terdiri daripada PKN, PAS, DAP dan PRM.

Pemimpinnya, Anwar Ibrahim berada dalam penjara.

Mahathir memperkenalkan Dasar Wawasan Negara dengan sasarannya adalah pada tahun 2020.

Dasar-dasar asal DEB terus dilaksanakan semasa pentadbiran perdana menteri selepas beliau.

Menurut Kamal dalam syarahan itu, Wawasan 2020 dapat dicapai sekiranya wang dikumpul di dalam negara tidak disimpan di luar.

Beliau merujuk kepada laporan Pandora Papers di mana golongan kaya membawa keluar wang mereka.

Golongan kaya sama ada Bumiputera atau sebaliknya umumnya merupakan mereka yang terpelajar, berpengaruh dan berkuasa.

Adalah suatu yang dapat difahami bahawa mereka secara sengaja atau tidak menggubal dasar atau menggunakan dasar yang ada untuk sentiasa memelihara kepentingan mereka.

Kumpulan masyarakat B40 dan M40 hanya mengharapkan belas ihsan serta semangat kemanusiaan, keagamaan atau kebangsaan anggota T20 untuk memberikan keadilan sosial kepada semua rakyat negara ini.