Saturday, July 2, 2022

Kemenangan Rafizi jadi tekanan kepada Anwar

Meskipun dalam beberapa isu dan karakter tertentu, Rafizi mempunyai persamaan dengan Anwar, tetapi bukan lagi rahsia bahawa dua pemimpin itu tidak sebulu.

Other News

Rafizi Ramli sudah memenangi jawatan timbalan presiden PKR dan seterunya, Saifuddin Nasution Ismail juga telah mengucapkan tahniah kepada bekas ahli Parlimen Pandan itu walaupun keputusan rasmi masih belum diumumkan.

Pemimpin lain dalam PKR juga sudah berbuat demikian – hatta – pemimpin luar PKR seperti Khairy Jamaluddin juga mengucapkan tahniah.

Namun, sehingga pukul 2.30 petang (Isnin – 30 Mei 2020) belum ada sebaris ucapan atau kenyataan dibuat oleh Anwar Ibrahim – baik secara kenyataan rasmi atau menerusi ciapan dalam media sosial miliknya.

Anwar, nampaknya lebih berminat untuk berkongsi kisah pertemuannya dengan aktor India, Kamal Hassan, berbanding cerita kemenangan bergaya Rafizi.

Mengenali susuk Anwar – timbul juga persoalan mengapa dia “terlepas” bas sehingga langsung tidak menyebut hal keputusan pemilihan ini sedangkan dia seorang yang cukup aktif di media sosial?

Barangkali Anwar hendak tunggu pengumuman rasmi baru hendak bersuara, tetapi jarang-jarang sekali Anwar berkelakuan begini.

Mungkin juga Anwar tengah memikirkan masa yang paling tepat untuk bersuara kerana rata-rata calon “pilihannya” dari kem Saifuddin tewas.

Hanya Amirudin Shari menang untuk jawatan naib presiden dan Adam Adli bagi jawatan ketua Pemuda PKR.

Tiga lagi naib presiden iaitu Chang Lih Kang, Aminuddin Harun dan Nik Nazmi Nik Ahmad dari kem Rafizi. Begitu juga dengan jawatan ketua Wanita PKR, Rodziah Ismail. Komposisi Majlis Pimpinan Pusat (MPP) juga memperlihatkan senario serupa.

Sebenarnya, keputusan pemilihan PKR kali ini memberi tekanan hebat kepada Anwar.

Parti yang diasaskannya ketika era reformasi dahulu kini menyaksikan pengaruhnya semakin berkurangan.

Sudahlah pengaruhnya di luar parti memburuk sehingga PKR dan Pakatan Harapan (PH) kalah teruk di Sarawak, Melaka dan Johor. Kini, masalah itu merebak dalam parti sendiri pula.

Meskipun dalam beberapa isu dan karakter tertentu Rafizi mempunyai persamaan dengan Anwar, tetapi bukan lagi rahsia bahawa Rafizi tidak sebulu dengan Anwar.

Suara-suara lantang Rafizi mengkritik Anwar dibuat secara terbuka ketika dia bercuti daripada politik dan diteruskan ketika dia berkempen untuk pemilihan kali ini.

Sebab itu Anwar lebih selesa dengan Saifuddin dan mengharapkan orang kepercayaannya itu menang jawatan nombor dua.

Kesetiaan Saifuddin kepada Anwar baik ketika susah dan senang tidak perlu dipertikaikan lagi. Berbeza dengan watak Rafizi yang lebih memilih jalan pragmatik, oportunis serta agresif berbanding kesetiaan melulu.

Saifuddin amat sedar tekanan yang sedang dihadapi Anwar ketika ini, sebab itulah menerusi kenyataannya Saifuddin berulang kali menekankan: “Jangan sesekali carikkan silaturahim.

Sentiasa jaga perpaduan sesama anggota parti. Insya Allah Keadilan akan terus kuat,”.

Walaupun cuba diredakan kebimbangan itu oleh Nik Nazmi dengan menyifatkan gandingan Anwar-Rafizi sebagai terbaik untuk PKR berdepan PRU15, realitinya kelangsungan politik ketua pembangkang itu dalam keadaan berisiko untuk penggal pemilihan akan datang terutama jika PKR dan PH terus kekal menjadi pembangkang.

Apa yang dikatakan Nik Nazmi sebagai “pasukan lengkap Anwar” ini tidak mustahil akan melanggar presiden PKR itu dalam pemilihan akan datang dan apabila waktu berkenaan tiba, Anwar pastinya menyedari watak seperti Saifuddin dan Johari Abdul sudah ketandusan dalam PKR.

Ahmad Maher adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles