- Iklan -
Rencana

Enggan kerjasama dengan PN: Anwar jalin kompromi baru dengan kluster mahkamah?

Ramai yang mencongak bahawa pihak yang bakal mendapat laba paling untung adalah BN jika PN dan PH membawa hala sendiri.

Mikail Firdaus
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Nampaknya hampir pasti pertembungan tiga penjuru atau lebih dalam PRU-15 tidak dapat dielakkan lagi berdasarkan pendirian terkini Pakatan Harapan (PH) yang menolak cadangan Muhyiddin Yassin agar diwujudkan kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan PH bagi menentang Barisan Nasional (BN) seperti yang dimaklumkan Anwar Ibrahim minggu lalu.

Dari segi politik tentulah pendirian tersebut adalah hak PH kerana mereka yang berhak menentukan ke arah mana hala tuju pakatan berkenaan tetapi persoalannya apakah keputusan itu menguntungkan PH?

Ramai sudah yang mencongak bahawa pihak yang bakal mendapat laba paling untung adalah BN jika PN dan PH membawa hala sendiri.

Persoalan lainnya pula, jika benar congakan banyak pihak bahawa PH akan menjadi parti paling rugi apabila berlaku pertembungan tiga penjuru sepertimana yang telah berlaku di Sarawak, Melaka dan Johor – mengapa Anwar dan PH tetap juga berkeras tidak mahu berkerjasama dengan PN walaupun sedar mereka dalam keadaan paling rugi?

Sebenarnya dari segi perkiraan politik, baik BN, PN mahu pun PH – kesemuanya tidak dapat menjangka dengan tepat ke mana arah sokongan para pengundi di atas pagar dan walaupun majoriti berpendapat BN bakal mendapat kelebihan, tetapi tidak mustahil kelebihan itu sangat tipis atau bakal wujudnya keadaan tiada parti mendapat majoriti.

Semua pihak sedar bahawa tiada mana-mana parti mendominasi sokongan ke atas kira-kira 5.8 juta pengundi baru.

Lebih-lebih lagi 65% daripada pengundi atas pagar untuk PRU15 adalah wanita.

BN walaupun menang bergaya di Melaka dan Johor sedar akan hal ini.

PN dan PH juga punya kesedaran serupa menyebabkan Muhyiddin tampil dengan idea boleh menang (kerjasama) tersebut tetapi sekali lagi mengapa ia ditolak Anwar dan PH?

Cita-cita politik Anwar hanya satu iaitu mahu menjadi perdana menteri. Tentulah mustahil Anwar dan PH mahu bertanding PRU-15 untuk sekadar menjadi pembangkang – melainkan – ada agenda lain di sebalik penolakan cadangan kerjasama yang dibuat Muhyiddin tersebut.

Apakah betul ada kompromi terbaru antara Anwar – anak muridnya, Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak?

Kompromi 2021 dahulu yang diikat melalui akuan bersumpah Zahid dan Najib sudah pun menjadi rahsia umum.

Dengar khabarnya, walaupun kompromi 2021 terhenti seketika selepas akuan bersumpah itu bocor, beberapa siri “rundingan” baru telah berlangsung.

Baik Anwar, mahu pun Zahid dan Najib boleh sahaja menafikan khabar angin tersebut – sebagaimana mereka menafikan wujudnya akuan bersumpah serta audio perbualan telefon antara cikgu dan anak muridnya.

Penafian adalah alasan klasik bagi setiap ahli politik untuk menutup sesuatu isu.

Tapi melihat kepada perkembangan terbaru ini, nampak teori yang mengatakan bahawa Anwar dan PH mahu membentuk kerjasama dengan Umno dan BN selepas PRU15 semakin berasas.

Teori ini tidak lagi mampu ditolak kerana akuan bersumpah sudah menjadi saksi cuma tinggal lagi bagaimana penjelasan hendak diberikan kepada penyokong di bawah.

Secara tidak langsung penolakan Anwar dan PH terhadap cadangan kerjasama dengan PN merupakan laluan terbuka untuk kluster mahkamah Umno kembali berkuasa selepas PRU-15 nanti.

Barangkali inilah analogi kek dalam soal keuntungan politik peribadi. Aku sokongan kau – kau sokong aku. Sama dapat, sama merasa.

Mikail Firdaus adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow