Friday, July 1, 2022

Kemiskinan kanak-kanak, sedarkah kita?

Kanak-kanak juga merasai kesan rohani dan emosi akibat kemiskinan dan kekurangan dalam hidup mereka.

Other News

Kita tidak akan pernah dapat membayangkan apa kemiskinan boleh lakukan kepada seseorang.

Penyanyi rap wanita terkenal di Amerika Syarikat Cardi B pernah berkongsi kisah silamnya yang terpaksa menjadi penari bogel di kelab malam demi mengisi perut.

Bagaimanapun, kata Cardi B, dengan kerja itulah dia dapat menyelamatkan diri daripada terus duduk “dibela” oleh teman lelaki yang pendera dan melibatkan diri dalam nyanyian.

Ketika itu, Cardi B masih di umur belasan dan awal 20 tahun.

Di Malaysia, mungkin kisahnya tidak sama dengan Cardi B. Tetapi isunya sama, kemiskinan kanak-kanak.

Apakah kemiskinan kanak-kanak?

Kemiskinan kanak-kanak adalah kesusahan akibat kekurangan sumber kewangan, rohani dan emosi yang diperlukan untuk terus hidup, membangun dan berkembang maju menyebabkan mereka tidak dapat menikmati hak dan mencapainya dalam kehidupan.

Kemiskinan kanak-kanak bukan satu fenomena yang baru.

Sejak bertahun lamanya, kita disajikan dengan tajuk-tajuk berita mengenai kanak-kanak menjadi pengutip sedekah, pengemis, terlibat dengan kes mencuri dan terlibat dengan kegiatan kongsi gelap sejak di peringkat sekolah.

Semua ini adalah contoh kesan-kesan daripada kemiskinan kanak-kanak. Tetapi, adakah kita sedar mengenainya?

Kanak-kanak tidak pernah memikirkan tentang maruah dan harga diri. Apa yang penting untuk umur mereka adalah perut yang perlu diisi.

Pandangan serong dan umpatan orang dewasa terhadap mereka tidak penting.

Bukan sahaja penglibatan dalam jenayah, kemiskinan juga menarik nilai-nilai manusiawi dalam diri mereka.

Beberapa hari lepas, saya berjumpa dengan seorang ibu berusia 27 tahun di sebuah kampung di Kota Bharu mahu dikenali sebagai Mek La.

Dia menghabiskan masa mudanya dengan melahirkan dan membesarkan anak.

Ketika rakan-rakan sibuk menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Mek La melangsungkan perkahwinan dengan suaminya yang berusi 29 tahun.

Keluarganya tidak mempunyai wang untuk terus menyaranya di rumah. Apabila Mek La sudah meningkat dewasa dan akil baligh, dia “dipersiapkan” untuk mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihan keluarga.

Harapan untuk hidup selesa selepas kahwin juga terkubur apabila keluarga yang baru dibina turut dihimpit kemiskinan.

Suami yang tidak mempunyai kerja tetap dan bilangan anak yang ramai menambahkan lagi senarai keperluan barangan rumah.

Kini, Mek La pada usia sebelum 30 tahun sudah mempunyai tujuh orang anak.

Dia mengambil upah mengurut di rumah pada waktu siang. Kemiskinan juga menyebabkan dia tercicir dalam pendidikan. Mek La tidak mampu untuk membaca dan mengira, mengakibatkan dia tidak boleh bekerja.

Lebih parah, Mek La tidak dapat “akses” kepada dunia.

Berbeza pula dengan beberapa pemuda yang saya jumpa di bandar, kemiskinan “mencabar” mereka untuk menjadi penjenayah.

Mereka mengaku terlibat dengan kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah untuk membantu sara keluarga.

Dengan menyifatkan “tak buat kerja, tak makan”, mereka berani menanggung risiko yang berat dari segi undang-undang sekiranya diberkas.

Kisah Mek La dan sekumpulan pemuda ini satu refleksi betapa rapuhnya seorang manusia dalam berdepan ujian. Ujian kemiskinan, kekurangan sumber rohani dan emosi boleh membawa seseorang hilang pertimbangan.

Setiap kali membincangkan tentang kemiskinan, masyarakat seringkali mengaitkannya dengan kekurangan wang, ianya tidak tepat.

Kemiskinan lebih daripada itu.

Kita perlu fahami bahawa ia juga mengenai taraf hidup dan pelbagai jenis lagi kekurangan.

Mungkin pada perbincangan dan forum kemiskinan seterusnya, pakar dan panel boleh mengingatkan masyarakat bahawa golongan miskin terperangkap dalam realiti sosial.

Dan ini juga menentukan pilihan hidup dan peluang untuk memajukan diri.

Di seluruh dunia, norma sosial telah dibina oleh golongan elit dan atasan.

Sesebuah keluarga bukan miskin atas sebab tidak cukup duit, mereka miskin kerana norma ini tidak boleh melayani mereka.

Jika kita terlambat dalam membuat perancangan dalam membasmi kemiskinan kanak-kanak, negara bakal menggunakan banyak tenaga kerja dan perbelanjaan untuk menanganinya.

Seperti di Britain, pada September tahun lalu dilaporkan negara tersebut sudah membelanjakan sebanyak £38 bilion setahun untuk “merawat” keluarga kanak-kanak miskin tegar dengan 15% daripadanya digunakan khusus bagi membaiki akhlak dan pemulihan.

Selepas pandemik Covid-19 yang melanda dunia, dijangka lebih banyak keluarga bertukar status hidup. Daripada kelas menengah kepada bawahan, kaya kepada miskin.

Dan kanak-kanak turut merasai kesannya. Mereka mungkin tidak bijak untuk berbicara mengenai kemiskinan seperti orang dewasa bercakap mengenainya di pentas gah televisyen.

Namun, boleh jadi, mereka sememangnya faham keadaan yang sedang berlaku di sekeliling mereka.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles