- Iklan -
Kolum

Selamat tinggal Klian Pauh

Selamat datang Pulau Pinang.

Hishamuddin Rais
6 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Pagi itu setelah sarapan Lee Keong dan aku mengucapkan selamat tinggal kepada Mister Tay.

“Sir, thank you sir. We meet again.” Satu janji amat mudah dilafaz tetapi bukan senang untuk dikotakan.

Kami meninggalkan Taiping daerah yang paling basah di Malaysia.

Manakala Lee Keong dan aku datang dari Jelebu, daerah paling kering di Malaysia.

Mister Tay anak Taiping, guru kelas dan juga guru Ilmu Alam memberi kami peluang untuk merasai nikmat kota damai Taiping.

Muzium yang dilawati cukup memberikan kesan pada aku.

Kalau tidak ke muzium aku tidak akan tahu Klian Pauh adalah nama asal Taiping.

Kalau tidak ke muzium aku tidak akan melihat gambar Long Jaafar dan gambar-gambar lombong bijih.

Juga gambar samseng Ghee Hin dan Hai San.

Pergaduhan dua kumpulan samseng Cina ini membawa huru hara.

Pergaduhan ini mengganggu ekonomi bijih. Lalu langkah damai diambil.

Dua kumpulan samseng dipertemukan untuk menjalin silatulrahim.

Langkah mendamaikan kedua-dua kumpulan ini berjaya.

Untuk mengingati perjanjian damai antara dua kumpulan samseng ini nama pekan Klian Pauh diganti dengan Tai-ping, bahasa Cina membawa erti damai.

Taiping menjadi kota damai hingga ke hari ini.

Taiping menjadi tanda sejarah tentang pengorbanan Melayu untuk mencari damai.

Kami menapak keluar menuju ke simpang. Di tepi jalan kami menunggu kereta untuk ke Pulau Pinang.

Lama juga kami berdiri di tepi jalan.

Sebuah kereta berwarna hitam berhenti di hadapan kami. Kami berkejar ke hadapan. Pemandunya Abang India.

“Ke mana?” Pemandu bertanya.

Belum sempat menjawab aku sudah membuka pintu.

“Pulau Pinang.” Lee Keong menjawab.

Dalam kereta kami bersembang dan berkenalan.

Abang Raju umur 30-an dalam perjalanan dari Kuala Kangsar ke Sungai Petani kerana urusan keluarga.

“I’m a clerk … PWD clerk in Sungai Petani.” Raju menerangkan.

Aku tidak akan lupa nama Raju ini dan kerjanya di PWD.

Ini kerana ada sosok bernama Raju di Kuala Klawang yang juga bekerja di PWD.

Raju di Kuala Klawang bukan pegawai tapi buruh PWD.

Raju Kuala Klawang pemain dalam pasukan bola PWD Jelebu.

“Nanti stop dekat jeti, I continue to Sungai Petani.” Raju memberi penerangan.

Tiga sosok dalam kereta. Pemandu lelaki India manakala penumpang seorang budak Cina dan seorang budak Melayu dalam perjalanan ke utara.

Kami meluncur dalam kawasan sawah padi yang agak luas.

Aku belum pernah melihat sawah padi seluas ini.

Mata aku terbuka. Baru aku faham makna seluas mata memandang.

Di Jelebu walau ada sawah padi tetapi tidak seluas mata memandang.

Sawah padi di Jelebu di lembah tepian sungai antara dua kawasan bukit.

Tidak terhampar luas hingga tidak ada penghujung.

“Jelebu ada padi?” Raju bertanya.

“Ada…tapi tak banyak.” Aku memberi penerangan.

Dalam lautan sawah padi ini aku ternampak pulau-pulau kecil dengan sebuah rumah Melayu yang dipagari pokok kelapa dan pokok buah-buahan.

Aku budak kampung dari Jelebu merasa takjub kerana pertama kali aku melihat alam seindah ini.

Lautan sawah padi dengan pulau-pulau penuh dengan lambaian batang kelapa.

Lalu aku terfikir alangkah indahnya kalau rumah aku di Kampung Chenor dalam kawasan padi seperti ini.

Berangin segar sentiasa ditiup bayu.

Kawasan rumah yang redup dipayungi oleh kelapa dan pohon buah-buahan.

Ketika kami lalu padi belum menguning.

Jadi tidak kelihatan pak tani dan pesawah di bendang.

Sesekali kereta kami berselisih dengan orang berbasikal.

Sesekali kami berselisih dengan sekawan lembu dan sekawan kambing.

Keluar dari kawasan sawah kami naik jambatan melintasi sungai.

Aku lihat sungai ini tidak sebesar Sungai Perak di Kuala Kangsar.

Sesudah menyeberang sungai ini kawasan sawah padi mula berubah.

Terdapat pekan kecil dan rumah-rumah di tepi jalan.

Watak kampung sawah padi kini berubah untuk menjadi watak pekan dan bandar.

“We are near to jetty.” Raju berkata.

Aku teruja. Mata aku liar mencari laut. Laut tidak kelihatan.

Aku nak tahu apa yang dipanggil jeti.

“Will drop you near the jetty… unless you want to join me to Sungai Petani.”

Raju mempelawa sambil ketawa.

“Next time laaaa.” Lee Keong menjawab.

Aku lihat kawasan berhampiran dengan jeti ini berpaya.

Mungkin bekas tanah sawah. Atau satu masa dahulu kawasan ini ditenggelami oleh air laut.

Ha! Akhirnya aku ternampak laut.

Aku ternampak bangunan dan deretan kedai batu.

Tetapi tak nampak pangkalan kapal.

Dari tingkap kereta Raju untuk beberapa saat aku ternampak Pulau Pinang untuk kali pertama.

“Ok, dah sampai. You have to walk to the jetty. All the best.” Raju menurunkan kami berhampiran pangkalan.

Kami mengucap terima kasih sambil berjabat tangan.

Aku mengambil beg sandang dan mengepit khemah. Kereta hitam Raju meluncur pergi.

Aku sudah merasa tidak sabar untuk melihat Pulau Pinang.

Aku mencari papan tanda. Ini betul-betul budak kampung masuk pekan.

Kami tidak tahu arah mana yang dituju.

Akhirnya kami berjaya menapak ke jeti. Kami mengekori pejalan kaki dan beberapa orang menyeret basikal.

Hah! Akhirnya kami sampai ke pangkalan jeti.

Kami mengekori pejalan kaki yang beratur untuk membeli tiket.

Tahun 1968 tambang feri 20 sen untuk dewasa.

Aku merasa amat gembira bila masuk ke dalam feri. Inilah kali pertama dalam hidup aku belayar menyeberang laut dalam kapal.

Pernah sekali ketika rombongan sekolah ke Teluk Kemang, Port Dickson aku dan kawan-kawan naik perahu berenjin berlayar ke tengah laut.

Perahu penambang membawa pelawat untuk mengalami “belayar dalam laut”.

Pengalaman orang bukit nak merasa laut, berada dalam laut untuk tidak lebih dari 15 minit.

Aku tak menyangka begini besar feri yang boleh memuat bukan saja pejalan kaki malah kereta dan lori pun masuk ke dalam perut feri.

Aku duduk di kerusi bahagian depan menunggu feri berjalan. Aku gelisah terus bangun berdiri. Mata aku melihat jauh ke hadapan. Yang aku nampak ialah bandar Pulau Pinang.

Tiba-tiba “boong”, seperti bunyi tin kosong dipukul. Ini tanda feri hendak bergerak. Tali pengikat feri dibuka dan kapal mula meninggalkan pangkalan.

Kereta, lori, motorsikal, basikal dan bas di bawah perut kapal. Pejalan kaki duduk di atas.

Beberapa minit kemudian kami berselisih dengan sebuah lagi feri. Ada tulisan Pulau Langkawi di hadapan feri ini.

Pasti ini nama feri itu. Aku ingin tahu apa pula nama feri yang aku naiki.

Tulisan nama di hadapan kepala feri yang aku naiki tidak mungkin dapat aku baca.

Aku merayau-rayau. Lee Keong duduk menjaga beg dan khemah.

Tiba-tiba aku terjumpa ruang di mana pelampung bergantungan. Aku rasa ini untuk keselamatan penumpang.

Di pelampung ada tertulis Pulau Kapas.

Ini pastilah pelampung milik feri aku.

Aku tidak tahu di mana letaknya Pulau Kapas ini tapi aku gembira dapat mengetahui nama feri yang aku naiki ialah Pulau Kapas.

Aku merasa lama juga kami berlayar. Aku sempat memerhatikan tanah Semenanjung yang kami tinggalkan.

Di tengah laut aku nampak juga beberapa buah kapal besar.

Lalu aku teringat akan Ilmu Alam yang aku pelajari bahawa Pulau Pinang ini satu pelabuhan kapal yang sibuk membawa keluar masuk barang dagangan.

Akhirnya feri kami masuk pangkalan.

Pejalan kaki keluar dari jalan atas manakala basikal dan yang berenjin dari jalan bawah.

Kami tak tahu nak ke mana. Rancangan kami nak sampai ke Pulau Pinang.

Kini kami sudah pun di atas pulau.

Laut di belakang kami dan bandar Pulau Pinang di hadapan.

Hari sudah lewat petang. Kami tidak tahu arah mana yang wajib kami tuju.

Ini kerana kami tidak ada satu tempat yang menjadi tujuan. Lalu kami menapak.

Aku tidak akan melupakan Chulia Street.

Kami terus berjalan ke hadapan ke jalan yang amat panjang ini.

Kiri kanan ialah rumah-rumah kedai.

Akhirnya kami sampai di hadapan Panggung Odeon.

Bila di hadapan panggung maka dalam perkiraan aku ini pastilah pusat bandar.

Kami menapak lagi ada rumah pasung. Baru kami tahu kini kami berada di Penang Road.

Betul ini pusat bandar.

Aku ingat lagi kami belum makan tengah hari, hari sudah lewat petang.

Aku merasa lapar. Jika senja sampai kami dalam bahaya tidak tahu di mana hendak bermalam.

Di Penang Road ada sebuah kedai India. Lalu kami masuk.

Aku ingat lagi apa yang terjadi.

Untuk pertama kalinya nasi, kari ayam dan sayur yang aku pesan berharga 1.25 sen.

Lee Keong juga membayar harga yang sama.

Aduh aku terasa amat mahal.

Biasanya apa yang kami makan tidak pernah melintas satu ringgit.

Kami cukup berhati-hati dalam hal perbelanjaan.

Kini kami bukan menjadi tamu seperti di Taiping. Kami wajib membeli makan dan minum sendiri.

Sesudah makan kami menapak ke hadapan tanpa arah tujuan.

Sebenarnya tujuan kami ialah hendak mencari tempat tidur.

Tapi kami tidak tahu jalan mana yang wajib kami lalui. Kami terus menapak.

Kami melintasi kawasan yang ada beberapa bangunan yang gah seperti Muzium Perak.

Bangunan yang aku lihat serupa macam bentuk Rumah Putih di Amerika Syarikat.

Mata aku liar menikmati bangunan tinggalan Inggeris ini yang masih cantik tersergam.

Kami menapak ke hadapan tanpa arah, tanpa tujuan.

Kami sampai ke kawasan di luar pekan. Pokok-pokok besar dan rendang tumbuh di gigi jalan.

Kami sampai ke satu kawasan padang dan di penghujung padang ada rumah banglo dua tingkat.

“Kita camping di sini.” Aku memberi cadangan.

“Toilet how?” Lee Keong memberi pandangan.

Tak lama lagi senja akan sampai. Lalu kami mencari tempat sesuai untuk memasang khemah.

Kami nekad untuk tidur dalam khemah pada malam pertama kami di Pulau Pinang.

Sekali lagi kami sampai ke satu kawasan hijau dan lapang. Di sebelah tanah lapang ada bangunan yang besar dan sebuah rumah banglo kecil di penghujung tanah lapang ini.

“This is a church…kita boleh camping di sini.” Aku bersuara gembira. Aku yakin kamu boleh memasang khemah di padang gereja ini.

Kami masuk melintasi bangunan gereja menuju ke banglo kecil yang mungkin rumah paderi.

Anggapan aku betul. Lelaki Mat Saleh agak berumur berdiri di pintu.

Berseluar hitam berbaju lengan panjang putih. Aku tidak sedar bahawa dia sudah lama memerhatikan kami masuk ke kawasan gereja.

“Sir, we are hitch hiking. Can we camp here to sleep?” Aku membuat permintaan.

“Boys scout?” Paderi bertanya.

“No.” Aku menjawab.

“Three is a store room behind the Church. You could sleep there. James… James.”

Paderi memanggil James.

Seorang India juga sudah berumur muncul.

“Show these boys the store room. Let them stay there, they are hitch hikers from where?” Paderi bertanya.

“Jelebu, Negeri Sembilan near Seremban sir.” Aku menjawab,

Lelaki India bernama James membawa kami ke bilik stor di sebelah gereja.

Bilik ada beberapa kerusi dan ada yang patah. Di sebelahnya ada tandas dan bilik air,

“Paderi George orang baik hati. Lu orang boleh tidur atas pangkin. Ini dulu bilik jaga.” James memberi penerangan.

Bila aku meletakkan beg sandang aku merasa lega.

Malam pertama aku di Pulau Pinang aku tidur di gereja.