Thursday, May 19, 2022

Debat Najib dan Anwar penuh hipokrasi

Debat malam tadi memberi peluang kepada dua ahli politik itu mencari populariti.

Other News

Di akhir debat antara Najib Razak dan Anwar Ibrahim malam tadi, penyokong ketua pembangkang itu melaungkan “reformasi” beberapa kali dan kemudiannya dibalas penyokong Najib dengan teriakan “reforbasi” sekaligus membuka mata kita semua apa sebenarnya matlamat debat tersebut.

Sebagai sebuah negara yang menjunjung amalan demokrasi tentunya kita bersetuju bahawa debat merupakan salah satu instrumen yang memperlihatkan kematangan demokrasi sesebuah negara, tetapi soal terpenting yang perlu ditekankan ialah apa yang rakyat dapat daripada debat antara Najib dan Anwar itu.

Apatah lagi kedua-duanya punya sisi gelap. Anwar dipenjarakan dua kali atas kesalahan rasuah dan liwat.

Najib pula sedang menunggu rayuan terakhirnya di mahkamah selepas disabitkan dengan penyelewengan RM42 juta kes SRC International yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

Jadinya, isu Sapura Energy Bhd ini tidak lebih sekadar alat untuk Najib dan Anwar mencari populariti semata-mata bagi mengukur sejauh mana reaksi rakyat terhadap mereka tetapi ternyata debat malam tadi gagal membangkitkan keterujaan dan ia terbukti dengan jumlah penonton yang rendah meskipun disiar secara langsung menerusi beberapa platform media.

Kala meneliti hujah-hujahnya, Anwar kekal sebagai “retoris” yang malar segar.

Ucapannya barangkali sedap didengar kerana beliau sememangnya dianugerahkan dengan bakat sebagai pemidato yang baik – tetapi kata orang-orang lama, kepuasannya cuma sementara.

Luaran saja cantik lebih tetapi isinya hauk.

Najib pula, hujahnya mengenai kek ekonomi dan istilah “cash is king” kini menjadi bahan lawak.

Rakyat Malaysia dan seluruh dunia tahu bagaimana Najib terlibat dalam skandal 1MDB dengan sejumlah besar duit yang diseleweng itu masuk ke dalam akaun peribadinya.

Kononnya king itu rakyat tetapi yang kenyang nampaknya Najib.

Sebenarnya, baik Najib dan Anwar kedua-dua dalam keadaan terdesak.

Najib terdesak dengan kes mahkamahnya. Anwar pula terdesak selepas popularitinya menjunam sehingga menyaksikan PKR dan Pakatan Harapan (PH) kalah teruk di PRN Sarawak, Melaka serta Johor menyebabkan debat malam tadi masing-masing diambil sebagai peluang mencari populariti.

Bahkan sudah ada cakap-cakap politik bahawa debat malam tadi adalah permulaan untuk “test market” terhadap idea jajaran baru politik antara Umno-PKR.

Bunga-bunga tentang hal itu sudah lama bertiup tetapi kenyataan oleh Presiden Umno sendiri, Ahmad Zahidi Hamidi usai debat seolah-olah mengesahkan perkara itu.

Hakikatnya, debat malam tadi – rakyat tidak mendapat apa-apa walaupun baik Najib dan Anwar cuba bermati-matian untuk memperlihatkan mereka pandai menguruskan ekonomi negara.

Yang diserang adalah Dr Mahathir Mohamad dan yang terkesan adalah Ismail Sabri Yaakob.

Mahathir menjadi sasaran mudah difahami, kerana Najib dan Anwar sememangnya berdendam dengan Mahathir tetapi secara tidak langsung Ismail selaku perdana menteri ketika ini, menerima tempias apabila prestasi kerajaan dikritik.

Sebab itu malam tadi ramai rakyat Malaysia menunggu di depan televisyen bukan untuk menyaksikan debat, tetapi menonton siaran langsung perlawanan suku akhir Piala Thomas antara Malaysia dan India serta upacara pembukaan Sukan SEA.

Walaupun sedih Malaysia tewas dalam pertandingan Piala Thomas, tetapi debat Najib dan Anwar lebih mengecewakan kerana ia cumalah satu program yang sia-sia serta penuh dengan hipokrasi.

Mikail Firdaus adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles