Wednesday, May 18, 2022

Sayang emak pada anak

Cinta setia seekor emak kepada anaknya hingga sanggup mati.

Other News

Pagi itu Lee Keong dan aku bangun di rumah bapa mertua Mister Tay di Taiping. Rumah banglo kayu kuaters untuk pegawai Keretapi Tanah Melayu (KTM).

Meja makan keluarga ini di tepi dapur.

Rumah banglo KTM ini agak luas jadi aku tak hairan Mister Tay masih duduk bersama bapa mertuanya.

Mister Tay hanya menumpang ketika sekolah tutup. Bila sekolah dibuka Mister Tay pulang ke Seremban.

Isteri Mister Tay seorang misi di hospital Seremban. Dari Seremban Mister Tay berulang-alik dengan Moris Minornya ke Sekolah Menengah Undang Jelebu (SMUJ).

Di atas meja ada teh susu dan roti disapu dengan majerin.

Pagi itu aku sempat bertemu dengan bapa mertua Mister Tay. Ketika kami sarapan dia datang berdiri di tepi meja.

Lelaki 50-an ini agak gempal. Dari pakaian aku menjangkakan sosok ini pastilah pegawai tinggi dalam hiraki KTM Taiping.

Aku dan Lee Keong bangun untuk bersalaman.

“You like Taiping? Go and see the museum. Or lu orang panjat la bukit Maxwell Hill.”

Dia bersuara dengan satu cadangan yang sudah kami dengar dari Mister Tay.

“Thank you sir.”

Aku menjadikan diri aku budak berhemah pada pagi itu. Bapa mertua Mister Tay beredar.

Selesai sarapan kami menapak ke arah muzium. Jauh juga kami berjalan tetapi agak selesa dan ringan tanpa beg sandang di bahu atau mengepit khemah.

Dalam pekan Taiping aku bertanya pada seorang abang Cina arah ke muzium.

“Jauh.. jalan depan ni. Nampak jel. Sebelah jel muzium.” Abang Cina memberi penjelasan.

Kami menapak keluar dari perut pekan. Muzium ini letaknya di pinggir pekan.

Dalam kepala aku tergambar tembok penjara. Ingatan aku merujuk kepada Penjara Pudu yang selalu aku lihat apabila dalam bas Foh Hup dari Seremban ke Kuala Lumpur.

Bila aku nampak tembok Penjara Pudu maka aku tahu aku sudah sampai Kuala Lumpur. Penjara Pudu aku jadikan batu rujukan untuk Kuala Lumpur.

Mata aku mencari-cari tembok penjara. Kalau nampak penjara maka kami akan bertemu muzium.

Ah! Betul kata abang Cina itu. Dari jauh aku nampak tembok penjara. Sama bentuk seperti tembok Penjara Pudu.

Di jalan yang sama berdiri tersergam indah Muzium Perak.

Aku budak kampung tidak arif tentang reka bentuk dan jenis bangunan.

Yang aku tahu pundung, kepuk padi dan rumah Melayu reka bentuk Minang. Ini banyak aku lihat di Jelebu. Atau rumah limas, rumah Melayu yang ada beranda.

Aku melopong melihat bangunan muzium seperti sebuah rumah yang maha besar.

Di Jelebu tidak ada rumah atau bangunan sehebat ini.

Rumah Datuk Undang Jelebu pun tidak sebesar dan segah Muzium Perak.

Di pintu masuk aku terbaca: “Masuk Percuma”.

Inilah iklan yang akan sentiasa aku cari untuk menggembirakan hidup aku. Aku silap. Masuk percuma hanya untuk kanak-kanak.

Orang dewasa seperti aku wajib membayar 20 sen untuk masuk.

Di pintu masuk ada tertera sejarah muzium ini.

Muzium ini nama rasminya Muzium Perak. Didirikan pada tahun 1883 oleh Sir Hugh Low (1824-1905), residen Inggeris di Perak.

Inilah muzium pertama di Tanah Melayu. Perkataan muzium ini baru. Istilah asal sekolah gambar.

Nama muzium ini Muzium Perak kerana ketika didirikan ibu negeri Perak ialah Taiping.

Sebelum Taiping ibu negeri Perak ialah Kuala Kangsar.

Taiping menjadi ibu negeri dari tahun 1876 hingga ke 1937, kemudian Ipoh menjadi ibu negeri Perak.

Justeru namanya Muzium Perak dan bukan Muzium Taiping.

Pada tahun 1968 aku sudah sedikit sebanyak mempelajari sejarah Tanah Melayu.

Kali ini dalam muzium ini untuk pertama kali aku melihat rupa bentuk jongkong bijih timah dan semua yang bersangkutan dengan bijih timah.

Aku dapat melihat gambar-gambar lama tentang cara membijih, mendulang, menembak dengan pancutan air hingga ke zaman menggunakan jentera moden kapal korek.

Di tepi gambar-gambar ini ada tulisan untuk memberi penerangan yang lebih lanjut.

Dari apa yang aku pelajari, bijih timah inilah yang menjadikan Tanah Melayu wilayah rebutan kuasa penjajah.

Kini bijih terpampang di hadapan mata. Bijih ini juga membawa masuk pendatang asing dari Tanah Besar China.

Di sebelah gambar-gambar ada penerangan yang lebih mendalam dari apa yang aku baca dari History of Malaya 1400-1959.

Ini buku teks mata pelajaran sejarah untuk Tingkatan Lima. Buku tulisan Joginder Singh Jessy.

Kali ini aku berpeluang melihat wajah Long Jaafar dan muka-muka samseng kongsi gelap Hai San dan Ghee Hin.

Aku sudah mendengar nama samseng ini ketika belajar sejarah dalam tingkatan empat.

Dua kumpulan samseng yang berasal dari China ini selalu bergaduh berebut pengaruh dalam kawasan lombong Larut dan Taiping.

Dalam muzium ini aku juga sempat melihat pinggan mangkuk dari tanah liat peninggalan sejarah.

Aku terbaca pasu bucung, buyung dan labu.

Semuanya aku tidak pernah dengar namanya.

Istilah ini tidak digunakan di Jelebu.

Yang aku kenal hanya belanga. Belanga dari tanah liat ini ada dalam dapur rumah aku di Kampung Chenor.

Mata aku terbuka luas bila ternampak tulisan Labu Sayung. Untuk aku labu ialah buah labu.

Dalam Muzium Perak labu ialah tempayan kecil untuk menyejukkan air.

Semua bahan pameran ini sudah beratus tahun umurnya.

Satu yang menarik dalam muzium ini ialah bahagian sejarah Orang Asli, Senoi, Negerito dan Jakun.

Bahagian ini menarik kerana aku tahu dari sinilah asal-usul aku.

Alat sumpitan, parang dan perangkap binatang dan lukah ikan buatan Sakai ini ada dipamerkan.

Mengikut tulisan yang dipaparkan, Sakai ini adalah suku sakat asal-usul yang menjadi Melayu.

Mereka di kenali sebagai proto-Melayu.

Kalau mengikut Tok Wan Rahmah aku, mereka terus jadi Sakai kerana tidak menerima Muhammad sebagai tok penghulu.

Di luar muzium ini ada sebuah kubur yang terbuka di mana aku dapat melihat tengkorak.

Mengikut maklumat yang tertulis, kubur ini di temui di Lenggong Utara Perak.

Aku tidak faham kenapa kubur ini dijadikan bahan pameran.

Aku tidak faham apa makna “Lenggong Man” yang beribu tahun umurnya.

Apa pertalian Lenggong Man dengan tamadun di Tanah Melayu. Semuanya aku tidak faham.

Hanya satu perkara yang terlintas dalam kepala aku apakah pekerja di muzium ini tidak takut pada kubur dan tengkorak?

Aku merasa seram ketika menjengukkan kepala ke dalam kubur untuk melihat tengkorak.

Mungkin ini tengkorak Tok Batin. Dengan cepat aku beredar. Aku takut terkena badi atau busung Tok Batin.

Kemudian aku sampai ke bahagian sejarah kereta api pertama di Tanah Melayu. Ini amat menarik.

Landasan ini di buat oleh kolonial Inggeris pada tahun 1885. Landasan sejauh lapan batu lebih ini bermula dari Taiping ke Port Weld, Kuala Sepetang.

Inilah bukti tentang betapa pentingnya bijih yang wajib dihantar bukan hanya melalui sungai tetapi dengan kereta api.

Juga membuktikan betapa kayanya bandar Taiping dengan hasil bijih hingga menjadi ibu negeri Perak.

Pameran bahagian landasan kereta api ini betul-betul menarik perhatian aku. Ini kerana ada kisah di belakang kisah.

Ada kisah cinta ibu kepada anak. Ada kisah kereta api dengan gajah.

Pada tahun 1886, landasan kereta api disambung dari ke Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang. Kemudian pada tahun 1891 dari Seremban ke Port Dickson.

Sama seperti yang dilakukan di India, kuasa kolonial Inggeris membuat sistem pengangkutan kereta api untuk membawa hasil mahsul Tanah Melayu ke pelabuhan untuk di hantar ke London sebagai bahan-bahan dagangan.

Hutan dara dicunggah, dipotong dan diteroka untuk membuat landasan kereta api.

Buruh didatangkan dari India untuk membina landasan kereta api. Kekayaan bijih Tanah Melayu menyanggupi belanjawan projek ini.

Perak yang kaya dengan bijih, maka satu landasan juga dibina pada tahun 1895 dari Ipoh ke Tapah.

Landasan ini menyimpang masuk ke hutan tropika yang tebal menuju ke Telok Anson.

Dari apa yang aku baca di Muzium Perak, pada hari Ahad, 16 September, 1894 berhampiran Stesen Sungai Kerawat sekumpulan gajah sedang bersiar-siar mencari makan.

Seekor anak gajah terlanggar oleh kepala kereta api ini.

Anak gajah ini jatuh mati di tepi landasan.

Tidak ada kecederaan berlaku dalam kereta api.

Esoknya pada Isnin 17 September, 1894 emak dan ayah gajah bersama kawan-kawan datang ke tempat yang sama.

Kali ini emak gajah duduk di tengah landasan menanti untuk membalas dendam terhadap kematian anaknya.

Kepala kereta api tergelincir bila terlanggar emak gajah. Tiga gerabak jatuh terbarai.

Gajah datang menyerang.

Tiga sosok dilaporkan maut. Emak gajah yang berdiri di tengah landasan kereta api juga mati.

Aku melihat gambar-gambar kepala kereta api, gerabak yang tergelincir dan juga gambar pegawai Inggeris yang datang melihat kawasan kemalangan.

Di Muzium Perak aku sempat melihat gambar pegawai Mat Salleh dengan senapang bergambar di sebelah emak gajah yang mati.

Tiba-tiba aku sedar di pintu masuk ada tengkorak yang amat besar.

Mata aku terbuka kerana baru aku sedar bahawa rangka kepala dan tengkorak anak gajah dan emak gajah kini menjadi sebahagian daripada pameran.

Aku merasa sedih juga bila teringat kisah anak dan emak gajah.

Cinta setia seekor emak kepada anaknya hingga sanggup mati.

Aku juga pernah mendengar gajah memiliki ingatan yang amat kuat.

Justeru gajah akan membalas kembali kejahatan yang dilakukan ke atas mereka.

Keluar dari muzium kami masuk kembali ke dalam pekan Taiping.

Rayau punya rayau kami sampai ke perhentian bas. Di sini ada gerai-gerai makan. Tengah hari itu kami makan mee celup 25 sen semangkuk.

Lepas makan tengah aku mencadangkan kita ke Maxwell Hill.

Aku bertanya dengan abang gerai cara hendak ke Maxwell Hill.

“Kena masuk Lake Garden.. sampai sana depannya Maxwell Hill.”

Sekali lagi Lee Keong dan aku menapak mencari Lake Garden untuk menuju ke Maxwell Hill.

Aku tidak tahu apa pun tentang Maxwell Hill.

Fraser’s Hill pernah aku dengar, nama Maxwell Hill ini muncul dari cadangan Mister Tay dan bapa mertuanya.

Lake Garden, Taiping untuk aku sama saja macam hutan di Bukit Tangga.

Untuk aku yang biasa dalam hutan dan bukit dan pokok tidak ada apa yang menarik. Hanya tasik yang luas agak menarik.

Kemudian aku ternampak air sungai berbatu-batu. Kami melintas tanah perkuburan.

Aku perhatikan ini bukan kubur Cina atau Melayu, ini tanah perkuburan orang Kristian.

Pada hemat aku semasa zaman kolonial pasti ramai Mat Salleh yang meninggal dunia di Taiping.

Mereka pastilah suku sakat Hugh Low yang datang melombong di Taiping. Atau mungkin juga makam pengikut suku sakat JWW Birch (1825-1875) yang mati dibunuh di Pasir Salak.

Akhirnya kami sampai ke kaki Maxwell Hill. Kami agak letih.

Tapi untuk merakam sejarah kami terus mendaki.

Setelah 10 minit mendaki kami berhenti.

“Kalau Mister Tay tanya… nanti kita cakap dah try naik bukit…. tapi tak sampai puncak. Aku dah letih…moh balik.” Aku merancang jawapan jika di tanya oleh Mister Tay.

Kami meninggalkan Maxwell Hill, tanah perkuburan orang Kristian dan Lake Garden. Lewat petang kami sampai kembali ke rumah Mister Tay.

Malam itu Mister Tay menjamu kami dengan masakan Cina yang istimewa. Aku tak tahu siapa yang memasak.

Semua terhidang di atas meja. Kami bertiga sahaja yang makan, sosok yang lain tidak kelihatan.

“So… you went to the muzium? Lake Garden? What you saw next to the Lake Garden is the War Cemetery, Second World War.” Mister Tay memberi penjelasan.

“Sir… we leave tomorrow morning… to Penang… and hope to see Mrs Ali in Kangar.”

Aku menyatakan rancangan kami.

“School open soon. I will be back to Jelebu. My wife is taking a break.” Kami mendengar rancangan Mister Tay.

Malam itu di atas bantal aku teringat akan kubur dan tengkorak di Muzium Perak.

Kemudian ingatan aku beralih ke gambar kereta api dan mayat emak dan anak gajah.

“Lee… Jelebu takda kereta api.. kalau ada banyak gajah di Gagu kena langgar.”

Aku bersuara.

“Jelebu too many bukit… susah nak buat railway line.” Lee Keong menjawab.

Malam itu aku dan Lee Keong bermalam kali terakhir di banglo papan rumah pegawai KTM Taiping.

Rumah pegawai KTM yang pernah melanggar anak dan emak gajah.

Esok pagi kami akan ke Pulau Pinang.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles