- Iklan -
Rencana

PH bantu Najib kembali ke puncak kuasa?

Usaha Najib kembali ke puncak pentadbiran mula menghasilkan 'bunga-bunga' kejayaan sehingga beliau menjadi cukup popular.

Saladin Hasan Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Anwar Ibrahim dan Najib Razak di Parlimen dalam gambar 2009 yang dikongsi meluas di media sosial. Mereka berdua dilihat sebagai sekutu rapat ketika bersama dalam Umno.
Anwar Ibrahim dan Najib Razak di Parlimen dalam gambar 2009 yang dikongsi meluas di media sosial. Mereka berdua dilihat sebagai sekutu rapat ketika bersama dalam Umno.

Kebangkitan semula dalam arena politik bukanlah sesuatu yang mustahil, walau seteruk mana dosa seseorang pemimpin itu kepada rakyat dan negaranya.

Semalam, keyakinan sedemikian berjaya diterjemah oleh Ferdinand “Bongbong” Marcos Jr melalui kemenangan bergayanya dalam pilihan raya presiden Filipina.

Kebangkitan semula itu berlaku selepas 36 tahun keluarga diktator Marcos diusir dari Istana Malacanang oleh kebangkitan kuasa rakyat.

Sejarah menunjukkan usaha kembali ke Istana Malacanang menjadi misi sepanjang hayat keluarga Marcos yang sinonim dengan kes pecah amanah, salah guna kuasa dan rasuah skala mega.

Imelda Marcos umpamanya, mencuba nasib dalam pilihan raya presiden 1992 sejurus kembali dari buangan di Hawaii yang berakhir dengan kegagalan.

Pada 2016, Bongbong pula menyertai pilihan raya sebagai calon timbalan presiden, yang juga berakhir dengan kekalahan.

Kejayaan Bongbong semalam adalah hasil kempen yang bijak memanipulasi sentimen dan harapan rakyat selama bertahun-tahun tanpa putus asa.

Beliau menghulurkan tangan mengajak rakyat Filipina bersama melangkah ke hadapan sambil “mengambus” sejarah kediktatoran dan penjarahan harta negara oleh bapanya, Ferdinand dan ibunya, Imelda.

Jika Bongbong berjaya menghidupkan legasi Marcos di Filipina, adalah tidak mustahil ia juga boleh berlaku di mana-mana negara termasuk di Malaysia.

Sudah empat tahun kita melihat bagaimana bekas perdana menteri, Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor berusaha untuk kembali ke puncak kuasa.

Dalam masa yang singkat berbanding keluarga Marcos, nampaknya usaha itu mula menghasilkan “bunga-bunga” kejayaan sehingga Najib (tanpa kelibat Rosmah) menjadi cukup popular.

Bagi orang yang bertakwa, adalah sukar untuk mereka merungkai persoalan kenapa masih ada kelompok yang boleh memuliakan penjenayah yang sudah dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh empat hakim di dua mahkamah.

Najib dan Rosmah juga menikmati pelbagai keistimewaan seperti penangguhan hukuman penjara dan denda selain dirai sebagai VVIP dalam majlis negara.

Perjalanan rayuan akhirnya dalam kes SRC di Mahkamah Persekutuan juga bergerak perlahan dan hanya akan bermula 15 Ogos ini selepas pasukan pembelaan Najib mengguna pelbagai helah untuk mencuri masa.

Semalam, Najib dan anaknya, Nazifuddin mendapat satu lagi kejayaan apabila dbenar merayu di Mahkamah Persekutuan berhubung tuntutan tunggakan cukai berjumlah lebih RM1.7 bilion kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Pun begitu, perkembangan-perkembangan positif dalam kes mahkamah Najib bukanlah pelik jika kita mengambil kira faktor parti manakah yang mengetuai kerajaan pusat pada masa ini.

Pakatan Harapan (PH) pula secara konsisten menyalahkan Muhyiddin Yassin kononnya memberi nyawa kepada Umno apabila bekerjasama dengan parti itu untuk membentuk kerajaan pusat pada 2020.

Walhal jika dilihat secara menyeluruh, ia salah satu strategi baik untuk menjinakkan Umno yang cukup agresif menggoncang sentimen agama dan bangsa sewaktu pemerintahan PH.

Jadi, adalah lebih selamat untuk Umno dan sekutu rapatnya pada masa itu, PAS dibawa masuk ke dalam kerajaan tanpa mengorbankan prinsip yang tidak memberi muka kepada kluster mahkamah baik dalam soal pelantikan anggota Kabinet atau kes mahkamah mereka.

Akhirnya, sikap istiqamah itu menyebabkan Muhyiddin disabotaj kluster mahkamah Umno yang menarik balik sokongan kepadanya selepas tuntutan campur tangan kes mereka tidak dilayan.

Terdahulu, sewaktu perdana menteri Ke-8 itu cuba mententeramkan kekusutan politik negara, pimpinan PH yang sarat kesumat dengan angkuhnya menolak tawaran perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA).

Sungguh “pelik bin ajaib” apabila PH selepas itu sanggup pula menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan perdana menteri dari Umno, Ismail Sabri Yaakob sedangkan isi kandungannya hampir 100% sama dengan tawaran CSA Muhyiddin.

Maka tidaklah salah jika PH dikatakan telah membantu kebangkitan semula Najib, Rosmah dan Umno ke puncak kuasa.

Malah jika diteliti, Pengerusi PH, Anwar Ibrahim ada “chemistry” dengan Najib sehingga mereka berdua langsung tidak pernah menyerang di antara satu sama lain.

Dan debat Anwar dan Najib berkaitan isu Sapura Energy malam esok, hanyalah pentas sandiwara bagi menggandakan populariti dua sekutu politik yang “berselingkuh” dalam kegelapan.

Saladin Hasan Salleh adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow

Ikuti kami di Telegram untuk kemas kini terkini: https://t.me/malaysianowbm

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.