Thursday, May 19, 2022

Shahril Hamdan setuju penyelewengan kluster mahkamah?

Jika ketua penerangan Umno jujur dengan perjuangan, beliau sepatutnya melawan kepincangan dalam parti akibat salah laku kluster mahkamah.

Other News

Saya terbaca laporan berita komentar sahabat saya, Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan yang disiarkan Malaysiakini bertarikh 7 Mei 2022 dengan mempersoalkan “Kenapa Muhyiddin hanya bersuara lepas hilang kuasa?”

Tampaknya Shahril cuba mengelirukan khalayak mengenai hakikat bahawa Muhyiddin Yassin telah pun bersuara sewaktu masih memegang kedudukan sebagai perdana menteri dalam tahun 2021.

Malah disahkan sendiri oleh Muhyiddin mengenai tindak-tanduk Ahmad Zahid Hamidi ketika kemuncak percaturan politik dan perlawanan kuasa dalam misi menggulingkan pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Demi agenda menyelamatkan diri dan beberapa individu utama dari Umno diterajui Zahid, Muhyiddin mengakui beliau diminta campur tangan dalam kes rasuah dan pecah amanah tersabit presiden Umno tersebut.

Bagaimanapun, secara jelas Muhyiddin tidak sedikit pun mahu terlibat dengan desakan Umno itu dan hal ini turut disahkan Dr Mahathir Mohamad

Melalui kenyataan Shahril yang kelihatannya seperti memejamkan mata, memekakkan telinga dan bisu dari berkata benar ini, beliau seakan bersetuju seseorang perdana menteri itu menodai sistem kehakiman dengan campur tangan dalam urusan mahkamah!?

Adakah ini yang dimaksudkan Shahril?

Ini kerana, jika dinilai secara telus kronologi permainan kuasa Umno untuk kepentingan diri individu tertentu, dapat disorot bagaimana liciknya percaturan Umno setelah tidak mendapat layanan dari Dr Mahathir, maka mereka mengintai peluang untuk memberi sokongan politik kepada Muhyiddin melalui akuan bersumpah (SD) setelah keputusan buntu dengan Yang di-Pertuan Agong meminta menamakan calon PM baru selain Mahathir dan Anwar Ibrahim sewaktu pra kewujudan kerajaan PN.

Ia adalah sama seperti apa yang dinyatakan Mahathir baru-baru ini.

Namun Umno tidak menyangka bahawa Muhyiddin juga akan bersikap keras seperti  Mahathir, iaitu tidak sedikit pun melayan kerenah dan desakan kluster mahkamah.

Umno menantikan keputusan pertama kes SRC sehinggalah Najib didapati bersalah pada 28 Julai 2020,

Ekoran keputusan itu, Umno mula mencaturkan bidak mereka untuk menarik sokongan daripada menyertai PN tidak sampai 48 Jam iaitu pada 30 Julai 2020.

Manusia belum baligh pun faham “signal” ini.

Sejak dari itu, misi “guling Muhyiddin’ demi selamatkan diri kluster mahkamah dipercayai giat dilancarkan. Rakyat tak buta!

Amat mengecewakan apabila seorang pemimpin muda yang tampak punya kaliber dan kepimpinan, namun tidak mampu “mandiri” dibandingkan mentornya, Khairy Jamaluddin dalam sedikit usaha menyatakan kebenaran sebegitu dalam usaha melakukan perubahan.

Anak muda pasti akan lebih teruja dan mampu beri sokongan penuh sekiranya dari dalam parti sendiri jelas banyak penentangan ke atas kebobrokan tokoh rasuah Umno dan bukan hanya sekadar omongan kosong.

Justeru, saya ingin bertanyakan kepada sahabat saya Shahril, yang beriya-iya mempertahankan presidennya.

Adakah Shahril membenarkan segala salah laku yang disabitkan?

Jika mahu berlaku jujur dalam perjuangan memartabatkan maruah bangsa dan negara dan kononnya membawa politik “substance” dan begitu sayangkan Umno, Shahril seharusnya bangkit mendepani cabaran sepertimana Muhyiddin yang berani bersuara saat berada pada jawatan kedua tertinggi setidaknya berusaha melawan kepincangan dan kerosakan yang dibawa pimpinan Umno biarpun sehingga dibuang dari Umno semata-mata hanya kerana berkata benar.

Adakah ini Shahril yang sebenarnya?

Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir adalah ketua penerangan Armada Bersatu

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.

 

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles