- Iklan -
Kolum

Kesan kejatuhan nilai ringgit pada minda

Perkembangan intelek, pemikiran minda negara banyak bergantung kepada buku yang diimport dari Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Apabila nilai ringgit jatuh ke paras rendah, atau menurun secara bertubi-tubi tentulah ia mendatangkan kebimbangan kepada rakyat yang pastinya menerima kesan daripadanya.

Sebagai negara yang banyak mengimport sebahagian besar barang keperluannya, kesan kejatuhan nilai ringgit akan dirasakan oleh semua orang.

Ramai pihak sudah bercakap mengenai jangkaan akan berlaku hiperinflasi, iaitu inflasi keterlaluan di Malaysia menjadikan ringgit begitu kurang bernilai dan berada dalam keadaan lemah berbanding matawang lain.

Bagi pelancong yang nilai matawang mereka lebih tinggi tentulah perkara ini menggembirakan, umpamanya pelancong dari Singapura, dengan satu dolar, mereka memperoleh barang bernilai lima ringgit.

Sementara penduduk Malaysia terpaksa membayar mahal untuk barangan import dan ia memberi kesan lanjutan yang berangkai.

Umpamanya alat ganti yang diimport pastinya akan menjadi mahal, dan bagi para peniaga, kos itu akan diserahkan kepada pelanggan untuk ditanggung mereka.

Contoh lain ialah pada makanan.

Dedak diimport pasti naik harga, maka kesan ini pula merebak pada ayam.

Maka harga ayam akan naik dengan segala hidangan melibatkan ayam menjadi mahal.

Apabila mahal, pengguna kurang berbelanja dan pendapatan peniaga turut berkurangan.

Selain itu, Malaysia menjadi tidak menarik bagi pekerja asing.

Ini kerana pendapatan dalam matawang ringgit menjadi kurang bernilai.

Tekanan lain adalah terhadap ubat.

Kebanyakan ubat adalah diimport dan ia merupakan keperluan yang mesti diisi oleh pesakit untuk terus hidup.

Pesakit terpaksa membayar harga mahal.

Bagi ubat yang diperoleh daripada hospital kerajaan, tekanannya adalah kepada subsidi ubat yang ditanggung oleh kementerian kesihatan.

Sama ada peruntukan subsidi ditingkatkan atau pesakit pula terpaksa menanggungnya.

Di peringkat kerajaan, mereka boleh mengimbngkan antara kerugian daripada import dengan keuntungan daripada eksport akibat kejatuhan nilai ringgit.

Tetapi bagi rakyat biasa, imbangan seumpama itu tidak berlaku.

Mereka terpaksa membayar barang dengan mahal sedangkan nilai pendapatan dan simpanannya sudah merosot.

Nilai simpanan kumpulan wang simpanan pekerja (KWSP) menjadi kurang, termasuklah RM10,000 yang dikeluarkan oleh sebahagian rakyat Malaysia.

Kejatuhan nilai ringgit ini sudah lama disebut akan berlaku.

Kesan daripada Covid-19 yang berpanjangan adalah suatu faktor.

Begitu juga dengan kejatuhan harga minyak, yang kesemunya berkait-kait hinggalah kepada kesan daripada perang di Ukraine.

Polisi kewangan kerajaan juga mempengaruhi keadaan ini.

Namun begitu adalah juga diramalkan bahawa kedudukan ringgit akan menjadi lebih baik pada penghujung tahun ini.

Kedudukan nilai yang rendah adalah sementara, tetapi nilai matawang ada turun dan naik.

Persoalannya adalah berapa lama tetapi kalau berkekalan berada di bawah, ia menjadi masalah yang berpanjangan.

Negara-negara lain yang ekonominya tidak kuat sering mengalami penurunan nilai mata wang.

Turki sering mengalami keadaan ini dan ia menyukarkan kehidupan rakyatnya.

Tidak lama dulu, Zimbabwe menjadi bahan tawa dunia apabila nilai mata wangnya jatuh begitu rendah hingga seseorang perlu membawa wang kertas yang banyak untuk membeli barang yang kecil.

Tentulah Zimbabwe adalah contoh ekstrem dan Malaysia juga bukanlah seperti Turki.

Perbandingan yang selalu dibuat adalah dengan Singapura.

Ini kerana terdapat banyak hubungan antara rakyat kedua negara.

Sejak matawang dolar Singapura dan ringgit berpisah pada tahun 1971, penduduk republik itu sering kali mendapat kelebihan daripada Malaysia.

Tetapi tentulah perbandingan dengan Singapura adalah tidak berpadanan.

Polisi kewangan untuk kepentingan ekonomi mereka berlainan dengan kemampuan Singapura menurut kedudukannya juga perlu diambil kira.

Namun kejatuhan nilai wang ringgit merupakan bahan hujah beserta dengan sindiran tentang kelemahan kerajaaan serta parti pemerintah.

Seringkali ia dikaitkan dengan kepimpinan Umno berbanding dengan PAP di Singapura.

Di sebalik itu ada nada perkauman dengan menyindir kelemahan orang Melayu mengurus kerajaan dan kewangan, serta dikaitkan pula dengan ketidakjujuran dan korupsi.

Maknanya pemerintahan yang tidak cekap dan tidak amanah mengakibatkan kejatuhan nilai matawang negara.

Inilah gambaran hantaran-hantaran dan komen di media sosial dalam kalangan netizen.

Perkara ini sering berlaku setiap kali nilai ringgit jatuh.

Tetapi terhadap Singapura, apa saja isu, bukan saja soal kejatuhan nilai ringgit ini, ia akan diperkatakan untuk menunjukkan kecekapan pemerintah Singapura mengurus negara berbanding Malaysia.

Ada perasaan cemburu di pihak rakyat Malaysia dan ia pula dikaitkan pada hubungan kaum orang Melayu dengan bukan Melayu.

Namun hubungan politik dan ekonomi Malaysia dengan Singapura amat berkait rapat.

Walaupun Singapura adalah negara berasingan dan berdaulat tetapi luka yang berpunca daripada perselisihan antara pemimpin-pemimpin pejuang kemerdekaan dahulu terus berlarutan walaupun generasi sudah berganti.

Jadi di samping kesan daripada kenaikan harga barang akibat kejatuhan nilai ringgit yang mengganggu minda rakyat, terdapat pula kesan psikologi dari segi perbandingan dengan Singapura.

Walaupun ia hanya mendatangkan kesan kepada rakyat tetapi secara kolektif, kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar Singapura menimbulkan rasa sakit hati terhadap republik itu, iaitu selain daripada isu–isu biasa yang lain.

Ada satu lagi perkara yang menjejaskan minda rakyat negara ini.

Perkara ini lebih besar tetapi bukan berbentuk emosi atau barangan pengguna.

Ia benar-benar melibatkan minda dari segi intelektual.

Namun ia hanya membabitkan segolongan kecil penduduk tetapi kesannya adalah besar, tetapi tidak ketara kepada negara.

Ia tidak melibatkan dolar Singapura.

Ia hanya melibatkan dolar Amerika dan matawang pound sterling.

Apa yang dimaksudkan ialah pembelian buku import.

Perkembangan intelek, pemikiran minda negara banyak bergantung kepada buku yang diimport dari Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Dari sanalah datangnya buku-buku terbaru untuk mengembangkan minda rakyat.

Sememangnya tidaklah ramai orang di Malaysia yang membaca buku bahasa Inggeria.

Tetapi mereka yang membaca buku, tidak semestinya ahli akademik dan pelajar, merupakan minda bagi perubahan negara.

Bukan saja perpustakaan universiti yang membeli buku dari luar negara, tetapi orang perseorangan dari pelbagai lapisan masyarakat dari beraneka bidang.

Walaupun kini, buku boleh diakses dengan harga lebih murah melalui e-book yang dibaca dari komputer, tablet atau telefon tetapi ia tidak sama dengn buku bercetak.

Sebab buku bercetak masih merupakan format yang tetap menjadi pilihan pembaca serius.

Buku bercetak menyampaikan pemikiran dan pengetahuan dengan lebih selesa dan berkesan.

Tetapi dengan kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika dan pound sterling menjejaskan daya beli para pembaca bahasa Inggeris di Malaysia.

Inilah yang dikatakan bahawa kejatuhan nilai ringgit menjejaskan minda negara.

Sejak 20 tahun lalu, harga buku import terus meningkat kerana kemerosotan nilai ringgit berbanding dolar Amerika.

Untuk menggalakkan masyarakat kuat membaca buku adalah suatu yang sukar dalam zaman digital ini.

Apatah lagi apabila ada cabaran harga buku.

Sebenarnya dengan adanya perkhidmatan memesan buku secara dalam talian yang cekap, seseorang dapat mencari dan membeli buku dengan mudah dari mana-mana di seluruh dunia.

Kemudahan ini memberi kesan besar kepada pembaca buku berbahasa Inggeris di negara ini.

Walaupun kedai buku dan perpustakaan masih mempunyai peranannya tetapi orang ramai sudah memiliki banyak cara lain untuk mendapatkan pemikiran maklumat melalui platform dalam talian.

Tetapi buku yang dibeli dan dimiliki masih wadah terbaik untuk menyelami sesuatu pemikiran dan ilmu.

Sebab itu, kenaikan herga buku yang berpunca daripada kejatuhan nilai ringgit menjejaskan minda negara