- Iklan -
Kolum

Kekuatan luar biasa

Bagi seorang bukan Islam, menahan diri daripada minum sebarang minuman selama 14 jam memerlukan tekad setinggi bukit.

Timmy Say
1 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Berpuasa bukan satu perkara yang senang.

Sebagai seorang bukan Islam yang cuba berpuasa, amalan agama ini adalah satu cabaran besar.

Bagi seorang bukan Islam, menahan diri daripada minum sebarang minuman selama 14 jam memerlukan tekad setinggi bukit.

Ia memerlukan satu keputusan yang nekad.

Ia memerlukan satu kepercayaan yang teramat tinggi bahawa diri dapat menahan dahaga sehingga matahari terbenam.

Ia memerlukan satu keyakinan bahawa waktu Maghrib akan tiba jua meskipun apa yang berlaku.

Bayangkan mereka yang terpaksa bekerja di bawah panas terik seperti petani atau kerja yang memerlukan tenaga banyak seperti nelayan, namun tetap meneruskan puasa mereka.

Bayangkan juga mereka yang kerja di dalam bilik pejabat yang penuh dengan dugaan dan pelawaan untuk menamatkan puasa pada bila-bila masa.

Yang lebih hebat ialah mereka yang tua dan uzur, akan tetapi tetap berpuasa.

Keputusan mereka tetap untuk meneruskan puasa walau apa pun berlaku.

Bukan sehari tapi sebulan walau apa pun berlaku.

Bagaimana mereka melakukannya?

Tidak terbayang betapa kuatnya iman mereka untuk terus berpuasa.

Tidak terukur betapa eratnya mereka memegang keputusan untuk terus berpuasa sehingga matahari menghilangkan diri.

Bagi mereka yang biasa berpuasa, berpuasa itu mudah dan tiada apa yang luar biasa.

Tapi bagi bukan Islam seperti penulis yang cuba berpuasa, apa yang dicapai itu bukan satu kekuatan yang biasa.

Ini satu kekuatan yang luar biasa.

Jangan pandang remeh akan kekuatan ini.

Jika kekuatan ini dapat diaplikasikan di segenap kehidupan, sudah pasti segalanya di dunia menjadi mudah.

Tiada cabaran yang dapat menyusahkannya kerana ia sudah dilatih untuk beristiqamah sehingga saat terakhir, dan ia dididik supaya yakin bahawa saat terakhir untuk berjaya akan tiba jua.

Ungkapan putus asa tiada di dalam kamusnya.

Memang hebat orang yang dapat berpuasa sebulan!

Tabik hormat.