Monday, July 4, 2022

‘Janda Pulang’ dan ‘Puteri Mandi’

Melayu sama seperti Sakai dan Dayak merayakan keindahan tubuh badan manusia.

Other News

Hari Raya adalah tarikh yang mustahil dapat aku lupakan.

Tapi sebelum Hari Raya sampai, ada puasa. Bulan puasa sampai dulu.

Raya dan puasa ini ikat berikat. Aku tak berapa pasti ketika bila aku mula ingat akan puasa dan raya.

Apa yang pasti sebelum aku masuk sekolah lagi aku sudah tahu raya dan puasa. Aku mungkin berusia tiga atau empat tahun. Ini ketika keluarga kami masih tinggal di Sekolah Tapak.

Zaman ini bila bulan puasa sampai, sekolah akan bercuti.

Keluarga aku semua pulang ke Kampung Tengah, kampung di mana aku dilahirkan.

Aku ingat lagi satu petang aku bermain di tepi laman rumah Mak Mok aku.

Mak Mok ialah kakak kepada emak aku.

Rumah Mak Mok tidak jauh dari rumah kami.

Ketika bulan puasa kadang-kadang kami berkumpul di rumah Mak Mok.

Kami budak-budak, seperti aku dan adik aku tidak berpuasa.

Abang aku yang lebih tua sudah mula berpuasa.

Kami yang masih kanak-kanak diberi kebebasan nak puasa boleh, nak makan pun boleh.

Emak dan abah aku tidak pernah menakut-nakutkan kami dengan api neraka kalau tak berpuasa.

Atau menjanjikan buah anggur di syurga jika kami berpuasa. Atau pun dapat bertemu bidadari.

Nama bidadari dari kecil lagi selalu aku dengar, tapi aku tak tahu di mana rumah si minah ini. Zaman budak-budak aku tidak tertarik sangat dengan gadis bernama “bidadari”.

Emak dan abah membesarkan aku dalam budaya Melayu.

Maka aku fahami yang kami berpuasa kerana kami Melayu.

Pada hemat aku kalau kita Melayu maka kita kena berpuasa sebelum raya. Puasa dan raya hari kebesaran orang Melayu.

Ketika itu aku tidak tahu pun orang Cina dan orang India pun ada Hari Raya.

Dalam tempurung kampung, aku menjangka hanya orang Melayu sahaja ada puasa dan ada Hari Raya.

Petang itu di rumah Mak Mok aku dan abang aku sibuk bermain di bawah pokok nangka.

Hari sudah petang dan kami menunggu masa berbuka puasa. Aku tahu di dapur makanan sedang dimasak.

Aku tahu petang ini ada “Janda Pulang”.

Dalam Kampung Tengah tak ada siapa jadi janda.

Malah ketika itu aku tidak faham akan makna perkataan janda.

Untuk aku janda ialah Janda Pulang.

Awal tadi sepupu aku, Abang Kassim Doyok memanjat dan mengambil kelapa muda untuk membuat Janda Pulang.

Janda Pulang adalah sejenis minuman yang selalu dihidangkan ketika bulan puasa.

Air kelapa muda yang isinya dikaut dan dimasukan sama ke dalam balang. Sedikit gula ditambah untuk memaniskan air kepala ini.

Kenapa nama minuman ini Janda Pulang tidak pula aku kaji. Apa yang aku tahu dalam bulan puasa selalu ada Janda Pulang sebagai minuman ketika berbuka puasa.

Ketika aku membesar bulan puasa adalah bulan paling seronok. Aku bukan seronok berpuasa tapi seronok menikmati pelbagai kuih muih berbuka puasa.

Adat keluarga kami ketika berbuka agak ketat.

Kami budak-budak yang tidak berpuasa duduk di tepi dahulu. Orang dewasa duduk bersila di atas tikar.

Orang yang berpuasa diberi penghormatan untuk merasa juadah terlebih dahulu.

“Wan dah buka ke belum?” Aku melaung bertanya kepada Wan Rahmah aku. Kesabaran untuk bertemu Janda Pulang teruja.

“Bolom… tengok bulu romo kau. Nampak lagi ko tidak?” Dari atas rumah aku terdengar jawapan dari Wan Rahmah.

Wan Rahmah aku ini menjadi pakar rujuk untuk kami kanak-kanak.

Untuk Wan Rahmah kunci mengenal waktu berbuka ini senang saja.

Caranya cukup ilmiah sama setaraf dengan Galileo Galilei (1564 -1642) pakar kaji bintang dari Itali.

Angkat tangan dan tengok bulu roma. Kalau masih nampak bulu roma ertinya belum waktunya untuk berbuka. Ertinya hari masih terang benderang.

“Cubo tengok bulu romo?” Suara Wan Rahmah.

Bila mendengar itu aku berlari ke bawah pokok nangka dan melihat bulu roma di lengan.

“Wan dah gelap dah boleh berbuka.” Aku melaungkan waktu berbuka.

“Kao bawah pokok memang la golap. Poei tongah laman, tengok bawah pokok tak aci.”

Wan Rahmah memberi penerangan kerana aku melihat bulu roma di bawah lindungan pokok nangka.

Aku menapak ke tengah laman dan mengangkat lengan.

Bulu roma aku masih jelas kelihatan. Petang itu aku gagal untuk mempercepatkan pertemuan aku dengan Janda Pulang.

Pada tahun 1954 keluarga kami berpindah dari Sekolah Tapak ke Sekolah Melayu Kuala Klawang. Rumah Cikgu Zaleha di pinggir pekan Kuala Klawang.

Hari berganti hari. Musim beralih. Tahun bertukar tahun. Aku dari tak sekolah sudah masuk sekolah pada tahun 1957.

Di Kuala Klawang Wan Rahmah tak perlu lagi melihat bulu roma untuk mengetahui bila waktu berbuka.

Berek sekolah rumah kami tinggal tidak jauh dari rumah pasung. Setiap petang akan kedengaran siren dari rumah pasung dengan jelas.

Ketika aku dalam darjah dua sekali lagi keluarga kami pindah.

Kali ini ke Sekolah Umum Batu Serambai.

Ini kawasan kampung Melayu tradisional.

Tanda berbuka puasa kami berubah. Kali ini kami berbuka puasa apabila terdengar pukulan beduk buluh dari Surau Lebai Juri.

Bunyi beduk ini boleh didengar dengan jelas. Surau Lebai Juri terletak tepi kawasan sawah tidak jauh di hadapan sekolah dan berek guru.

Dalam darjah satu hingga ke darjah tiga aku tidak berpuasa. Bila masuk darjah empat aku mula belajar berpuasa. Puasa aku puasa ikut-ikutan.

“Kalau tak tahan, boleh berbuka.” Nasihat Wan Rahmah aku yang demokratik.

Bila aku masuk Standard Six di Goverment English School (GES) puasa aku berubah.

Kali ini bukan lagi puasa pantun dua kerat:

“Puasa yang yuk,
Pagi-pagi buka periuk.”

Aku masih ingat lagi Wan Rahmah aku mengajar aku memasang niat puasa.

Wan Rahmah aku buta huruf tapi dia hafal niat puasa dalam bahasa Arab.

“Nawaitu saumarodin.” Wan Rahmah aku mengajar aku memasang niat berpuasa selepas sahur sebelum tidur.

Di atas bantal aku mengulang-ulang niat puasa dalam bahasa Arab.

Aku terlupa bahasa Arab ini dan merasa agak kekok.

“Nawaitu sama rodin. Wan Tuhan ni tak faham bahasa Melayu ko?” Aku bertanya bila aku merasa susah untuk menghafal bahasa Arab.

“Pasang niat dalam ati, tak po kito ni Melayu, bukan Arab.”

Wan Rahmah aku memberi pendidikan awal tentang falsafah Islam Budaya yang sampai sekarang aku pegang.

Tok Wan Rahmah aku berkahwin dengan Tok Sidek yang tak pernah aku temui.

Tok Sidek ini peneroka, pembuka dan pengasas Kampung Tengah.

Tok Sidek juga guru agama.

Aku masih ingat lagi surau dalam kawasan rumah kami.

Ini surau tempat Tok Sidek mengajar anak-anak kampung membaca Quran.

Hakikatnya aku dibesarkan dalam suasana Islam Melayu dan bukan Islam Arab.

Aku masih ingat lagi surah Wan Rahmah aku tentang asal-usul kami. Kami ini dari suku Biduanda. Ini darah keturunan Sakai Negeri Sembilan.

“Kito ni dengan Rayat samo.” Wan Rahmah memberi penerangan.

Untuk orang Negeri Sembilan, Orang Asli dipanggil Rayat.

“Dulu, tujuh keturunan dulu, kito samo macam Rayat, tapi tok penghulu kito, Muhamad. Kito ikut Muhamad jadi tok penghulu. Itu sajo bezonya. Rayat ado tok batin.”

Wan Rahmah aku menerangkan susur galur perpisahan Melayu dengan Orang Asli.

Wan Rahmah aku menggunakan konsep penghulu untuk nabi.

Penghulu ini lahir dari konsep budaya Melayu.

Aku memahami kebenaran pandangan Wan Rahmah aku ini.

Tambahan pula aku selalu melihat Rayat yang tinggal di Guntur lalu depan rumah kami.

Guntur ini nama kawasan perkampungan Orang Asli yang terkenal dengan air terjunnya.

Di zaman kanak-kanak ada satu perkara yang amat menarik ketika bulan puasa dan Hari Raya. Ini tentang melihat anak bulan di Teluk Kemang untuk menentukan bila puasa bermula dan bila kita akan berhari raya.

Teluk Kemang ini aku tahu.

Wilayah ini terletak di pantai Port Dickson.

Teluk Kemang Batu 8 pantai berkelah dan mandi-manda.

Tempat orang nogori Mandi Safar.

Hanya Teluk Kemang tidaklah segah dan hebat seperti Tanjung Keling dalam pesta Mandi Safar.

Di minggu akhir bulan puasa Warta Berita Radio Malaya akan mengumumkan lebih awal tentang tarikh menengok bulan di Telok Kemang.

Ketika ini aku memasang telinga macam telinga lintah ke hadapan radio.

Cikgu Zaleha menerangkan cara menengok anak bulan dengan memakai teropong.

Dari atas bukit akan diteropong ke tengah lautan.

Anak bulan ini dilihat di waktu senja dalam gelap.

Cahaya anak bulan ini akan melintas sebentar sebelum menghilang.

“Jika sekelimbas cahaya anak bulan ini dilihat, itu tanda bulan baru suado sampai.” Cikgu Zaleha memberi penerangan.

Di zaman kanak-kanak malam melihat anak bulan untuk mula berpuasa tidaklah begitu menggerunkan.

Tapi malam melihat anak bulan untuk menetapkan tarikh bila Hari Raya untuk aku adalah detik-detik saspens macam babak filem olahan Alfred Hitchcock (1899-1980).

Pada petang pak haji dan tok lebai mendaki bukit di Teluk Kemang, jiwa aku menjadi tegang.

Aku menyimpan penuh harapan agar anak bulan akan dapat dilihat.

Paling menggerunkan jika petang itu di Jelebu bercuaca suram dan renyai-renyai.

“Kalau macam ini hari ujan, tak nampak anak bulan malam ini.” Wan Rahmah aku memberi pendapat.

Pandangan Wan Rahmah aku ini amat-amat menakutkan aku.

Malah kawan-kawan sekampung juga menjadi risau dan gelabah.

Kami budak-budak hanya nak tahu esok raya atau tak jadi raya.

Pengumuman dari Radio Malaya dinanti-nanti.

Di rumah mereka yang ada radio telinga akan terus di pasang untuk mendengar Warta Berita jam 8.00 malam.

“Anak bulan kelihatan di Pantai Telok Kemang… maka Hari Raya jatuh pada hari…”

Inilah suara pembaca warta berita Radio Malaya aku hendak dengar.

Berita lain seperti “harga getah” atau “perang di Vietnam” atau “pilihan raya di Amerika” aku tidak peduli. Aku tak mahu dengar.

Bila puasa selesai Hari Raya sampai.

Hari Raya ini akan menenggelamkan semua ingatan-ingatan dalam bulan puasa.

Pada Hari Raya aku bertemu lemang, rendang, tapai, kuih wajik dan kuih bahulu.

Untuk aku dari zaman aku kanak-kanak lagi aku fahami lima juadah ini memberi definisi raya bagi budaya Melayu.

Di zaman itu aku anggap tanpa juadah ini, Hari Raya akan gagal.

Kemelayuan Hari Raya akan hilang.

Aku tak dapat membayangkan Hari Raya tanpa lemang.

Bagaimana agaknya hari raya tanpa tapai. Pada ingatan aku, tanpa tapai Hari Raya akan gagal, tak manis seperti tapai.

Hari Raya juga ada lemang.

Lemang beras pulut yang dimasak dalam buluh asal-usulnya adalah cara masakan Sakai, Rayat atau Orang Asli.

Untuk ini lemang adalah bukti kebenaran kata-kata Wan Rahmah aku bahawa antara Melayu dengan Sakai ini tidak ada bezanya.

Lalu aku teringat akan Puteri Mandi.

Apa dia Puteri Mandi ini? Apakah Puteri Mandi juga jambatan penghubung antara Melayu dengan Sakai?

Puteri Mandi bunyinya mengghairahkan dan mengancam kejantanan.

Pertama kali aku berkenalan dengan Puteri Mandi aku juga hairan kenapa namanya Puteri Mandi.

Puteri Mandi ini juadah bulan puasa. Cara membuatnya tidak susah.

Tepung beras pulut diuli kemudian dijadikan ketulan sebesar guli.

Tepung yang dibulatkan ini akan ditenyeh sebelum direbus dalam air panas.

Dalam masa yang sama kelapa yang tidak tua dan tidak muda akan dikukur dan direbus dalam cecair gula kabung.

Kemudian tepung yang telah direbus dimandikan dalam cecair gula kabung.

Maka inilah Puteri Mandi. Tepung mandi dalam cecair gula kabung.

Kelapa yang telah dikukur itu akan menjadi rambut “Tuan Puteri” yang badannya putih melepak mandi dalam kolam air manis berwarna coklat.

Aku yakin juga Puteri Mandi ini lahir dari pembudayaan Melayu yang berakar umbi dari budaya Orang Asli.

Melayu dan Sakai tidak ada masalah dengan tubuh badan manusia.

Melayu tidak obsesi untuk mengawal tubuh badan manusia.

Melayu bukan seperti budaya Arab yang takut dengan nikmat tubuh badan manusia.

Justeru perlu dibungkus.

Ketika aku membesar aku tidak hairan melihat kakak dan abang, emak atau ayah mandi bogel, separa bogel atau berkemban atau berkain cukin dalam sungai atau di perigi.

Melayu sama seperti Sakai dan Dayak merayakan keindahan tubuh badan manusia.

Sama ada dapat dilihat tubuh badan puteri yang sedang mandi itu, aku rasa terpulang kepada imaginasi sendiri.

Apa yang indah ialah Puteri Mandi seperti Tapai ini manis untuk berbuka puasa.

Selamat Hari Raya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles

Bulan Bahasa Kebangsaan

Kancil dan harimau

Orang tua dan gasing

Ayam Siam di Padang Besar

Sasaran akhir: Kangar