- Iklan -
Rencana

Tanpa Bersatu, PAS, berapa kerusi PH boleh menang?

Istilah 'khemah besar PH' tidak memberi sebarang erti jika pada akhirnya hanya sekadar untuk menjadi pembangkang yang berkesan.

Mikail Firdaus
3 minit bacaan
Kongsi
Bendera parti politik berkibar di Pantai Puteri, Melaka sempena pilihan raya negeri tahun lalu.
Bendera parti politik berkibar di Pantai Puteri, Melaka sempena pilihan raya negeri tahun lalu.

Jika PRU15 diadakan tahun ini atau awal tahun depan, berapa kerusi Pakatan Harapan (PH) boleh menang andai pemimpin seperti Mat Sabu dan Lim Guan Eng terus ego menolak Bersatu dan PAS dalam khemah besar PH?

Berapa pula negeri yang mampu PH tawan dan mampukah PH kalahkan Barisan Nasional (BN)?

Bolehkah PH dengan yakin menamakan kerusi-kerusi berkenaan? Itu soalan yang perlu dijawab Mat Sabu dan Lim.

Mana tahu kalau-kalau mereka ada data atau formula istimewa – kerana jika ikut perkiraan Nurul Izzah Anwar – PH tidak boleh menang PRU-15.

Perkiraan Izzah antaranya dibuat bersandarkan kepada realiti sokongan orang Melayu kepada PH.

Di Johor, purata undi yang diberikan orang Melayu kepada PH cuma antara tujuh hingga 10%. Malah, di sesetengah kerusi DUN – PH hanya mendapat kurang 7% sokongan.

Dalam PRN Melaka dan Johor, sudah terang lagi bersuluh bahawa alternatif sokongan orang Melayu adalah kepada Perikatan Nasional (PN).

PN meraih undi majoriti kedua terbanyak selepas BN dan selaku kelompok majoriti rakyat di negara ini yang membentuk sehingga 68%, tiada mana-mana parti mampu memenangi pilihan raya jika mereka gagal mendapat sokongan orang Melayu dan Bumiputera.

Jadi, jika data di Melaka dan di Johor serta peri pentingnya dukungan orang Melayu dijadikan asas mampukah Mat Sabu dan Lim menjawab berapa kerusi PH boleh menang?

Apakah Mat Sabu dan Lim boleh mendabik dada kononnya PH boleh bentuk kerajaan dan mengalahkan BN jika sekadar bergantung kepada undi bukan Melayu semata-mata?

Istilah “khemah besar PH” itu tiada memberi sebarang erti jika pada akhirnya hanya sekadar untuk menjadi pembangkang yang berkesan.

Matlamat utama bertanding dalam pilihan raya adalah untuk menang dan membentuk kerajaan. Nak bentuk kerajaan pula mestilah kena ikut jalan yang boleh menang dan bukannya terbelenggu oleh sekatan emosi.

Realitinya PH harus berjiwa besar seperti kata Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.

Hendak jadi orang politik mana boleh jiwanya mudah koyak dan merajuk seperti Mat Sabu dan Lim. Lebih-lebih lagi mereka ini orang lama dalam pentas politik Malaysia tetapi merajuk bak budak-budak yang baru “nak up” – kata istilah orang sekarang.

DAP khususnya jangan lupa, episod Langkah Sheraton yang kini dijadikan alasan untuk menolak Bersatu adalah berpunca daripada sikap pemimpin DAP sendiri.

Orang Melayu kecewa, marah dan memberontak melihat DAP naik tocang semasa berkuasa dalam kerajaan PH dulu. Berapa banyak kepentingan dan sensitiviti orang Melayu yang DAP kacau dahulu?

Kerana sikap rakus dan besar kepala DAP itulah yang menyaksikan PH dihukum kalah berturut-turut dalam siri pilihan raya kecil. Senario-senario tersebutlah yang membawa kepada terjadinya Langkah Sheraton.

Namun, dalam politik rakyat hendak melihat ke hadapan. Baik DAP, Bersatu, PH dan PN tentunya sudah belajar daripada kesilapan-kesilapan lalu dan kini adalah masa terbaik untuk fokus ke arah kerjasama sesama mereka.

Jika dengan kerajaan pun PH boleh bekerjasama sehingga memungkinkan termeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang natijahnya memberi banyak keuntungan kepada rakyat, tiada sebab “khemah besar” PH, Bersatu dan Pas ini tidak boleh direalisasikan.

Lebih-lebih lagi ia merupakan satu daripada enam resolusi retreat Port Dickson yang diputuskan tahun lalu.

Dalam hal kerjasama ini, sesiapa sahaja boleh berbeza pandangan tetapi ambillah nasihat Saifuddin Nasution Ismail bahawa semua parti perlu “register” dahulu untuk ambil pendekatan terbuka dan berbincang mencari jalan terbaik ke arah mencapai objektif utama iaitu menang PRU15.

Objektif itu tidak akan tercapai jika PH menolak Bersatu dan Pas. Jadi tepuklah dada dan gunakanlah kematangan politik – bukannya “koyak” dengan kisah-kisah lalu.

Mikail Firdaus adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow