- Iklan -
Kolum

Tahun 2032, baru PH boleh menang PRU

Malah sama ada ia akan terus wujud pun tidak ada kepastian.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Bekas naib presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, Pakatan Harapan (PH) mesti bersedia untuk kalah dalam dua lagi pilihan raya umum (PRU).

Ini bermakna dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan PRU16, boleh jadi PH kalah.

Maka PH wajar bersedia menghadapi keadaan itu selama dua penggal.

Apabila diandaikan bahawa PRU15 diadakan pada tahun ini dan PRU16 pada tahun 2027, maka PH hanya boleh menang pada PRU berikutnya, iaitu pada tahun 2032, 10 tahun akan datang.

Ketika itu usia Anwar Ibrahim adalah 84 tahun dan Nurul Izzah 51 tahun.

Nurul Izzah mengeluarkan kata-kata itu dalam wawancaranya dengan Sinar Harian pada hari Anwar diisytiharkan menang tanpa bertanding sebagai presiden PKR.

Sehari selepas itu Umno membuat keputusan bahawa Ismail Sabri Yaakob adalah calon perdana menteri mereka bagi PRU15.

Maka calon-calon utama perdana menteri bagi PRU15 ini adalah Ismail dan Anwar.

Kalau ikut kata-kata Nurul Izzah itu, PH boleh jadi kalah dan Barisan Nasional (BN) akan kembali menang dengan Ismail terus menjadi perdana menteri.

Namun begitu, walaupun kalah, PH tidak semestinya menjadi pembangkang.

Percaturan politik kepartian Malaysia sejak tahun 2020 menunjukkan bahawa pihak yang kalah boleh menjadi kerajaan walaupun nanti ada Akta Anti Lompat Parti.

Wakil-wakil rakyat tidak boleh melompat parti tetapi ia tidak menghalang parti mereka menyertai kerajaan.

Ismail juga tidak terjamin untuk menjadi perdana menteri walaupun Umno menamakan beliau sebagai calonnya.

Tidak ada perjanjian untuk itu dan terdapat banyak faktor yang memungkinkan perubahan.

Antara faktornya ialah politik dalaman Umno. Umno belum membuat pemilihan parti.

Jawatan Ismail masih naib presiden Umno. Di atas beliau ada presiden dan timbalan presiden Umno.

Ada dua lagi naib presiden Umno.

Dalam PKR juga ada pergolakan politik dalaman. Buat masa ini ia melalui proses pemilihan.

Nurul Izzah yang sebelum ini menyandang jawatan naib presiden tidak bertanding dalam pemilihan PKR kali ini.

Tetapi beliau adalah sekutu Rafizi Ramli yang bertanding jawatan timbalan presiden menentang Saifuddin Nasution Ismail.

Sementara Anwar pula lebih selesa dengan Saifuddin.

Dalam 10 tahun, banyak perkara boleh berlaku.

Ramalan Rafizi dan Nurul Izzah mungkin bukan realiti

Pada tahun 2032, PH juga belum tentu boleh menang.

Malah sama ada ia akan terus wujud pun tidak ada kepastian.

PKR, DAP dan Amanah pun boleh berubah. Mungkin ada parti lain yang menyertai PH.

Atau Amanah mungkin tidak dapat bertahan ada ahlinya mungkin kembali bergabung dengan PAS dengan selebihnya menyertai PKR.

Perkara-perkara yang tidak dijangka boleh berlaku.

Sering kali jangkaan atau ramalan ahli politik, ahli akademik, para pemerhati dan wartawan meleset.

Walaupun mugkin ramalan Rafizi dan sekutunya, termasuk Nurul Izzah boleh hampir pada kenyataan kerana membuat penyelidikan dan mengumpul data, tetapi ia tidak dapat menjangkau keseluruhan realiti.

Ini kerana terlalu banyak faktor yang akan mempengaruhi keadaan politik.

Cuba lihat ke belakang, iaitu 10 tahun lalu, pada tahun 2012.

Ketika itu Pakatan Rakyat (PR) masih ada. PKR, DAP dan PAS sedang berdepan dengan kerajaan BN pimpinan Najib Razak untuk menghadapi PRU13 pada tahun 2013.

Pada masa itu PR juga tidak meletak harapan tinggi untuk mengalahkan BN.

Tetapi di pihak BN, Najib berusaha bersungguh-sungguh untuk mengambil balik negeri-negeri yang mereka terlepas dalam PRU12 iaitu Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

Dalam PRU13, walaupun kalah di Perak dan Kedah, PR kelihatannya berpuas hati dapat mengekalkan Selangor dan Pulau Pinang.

Namun pada tahun 2012, tiada sesiapa menjangkakan bahawa PAS akan berpecah dan keluar dari PR dengan gabungan itu sendiri terbubar.

Sedangkan adalah jelas bahawa Umno sedang berusaha untuk memecahkan PR dengan mengadu-dombakan PAS dan DAP.

Perkara ini dapat dilihat dengan cara laporan akhbar milik Umno iaitu Utusan Malaysia ketika itu terhadap PAS.

Apa saja yang berlaku dalam politik dari jangka panjangnya memang sukar diramalkan.

Orang sering melihat ke belakang untuk membuat sesuatu jangkaan politik.

Masa lalu atau sejarah adalah panduan bagi masa depan.

Ini kerana sejarah sering berulang tetapi generasi baru tetap berbeza daripada yang lama.

Generasi baru yang akan mengubah senario politik dan ini seringkali berada di luar jangkauan pemerhatian.

40 tahun lalu, iaitu pada tahun 1982, Anwar mula menyertai Kabinet Dr Mahathir Mohamad dengan jawatan menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas Bahagian Hal Ehwal Agama.

Dari bahagian inilah mula dikeluarkan dasar penerapan nilai-nilai Islam, asas pada program Islamisasi kerajaan Malaysia.

Bahagian itu kini menjadi Jabatan Kemjuan Islam Malaysia (Jakim).

Pejabat Anwar terletak di sebuah bangunan kecil setingkat berhampiran Masjid Negara.

Nurul Izzah ketika itu berusia setahun. Anwar yang di bawah bayangan Mahathir naik cepat dalam Umno.

Beliau berjaya memenangi jawatan ketua Pemuda Umno. Timbalannya adalah Najib.

Anwar kemudian dilantik sebagai menteri kebudayaan, belia dan sukan, menteri pertanian dan menteri pendidikan.

Ketika itu jawatan menteri pendidikan sering disandang oleh bakal perdana menteri.

Abdul Razak Hussein, Hussein Onn dan Mahathir pernah menyandang jawatan menteri pendidikan.

Pada bulan Ramadan tahun 1986, saya menghadiri satu majlis berbuka puasa di rumah Anwar di Petaling Jaya bersama wartawan media arus perdana yang lain.

Masa itu beliau adalah menteri pendidikan. Anwar menyambut kami di pintu pagar.

Beliau mendukung anak keduanya, Nurul Nuha sementara Nurul Izzah yang berusia lima tahun berdiri di sisinya.

Isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail kelihatan sibuk melayani tetamu wanita.

Beliau mengimamkan solat selepas berbuka puasa.

Daripada dialog dengannya, suasana politik semasa yang digambarkan adalah suatu yang penuh optimis dan positif.

Masa depan negara dilihat cerah untuk menjadi negara maju dan mengamalkan Islam yang progresif, iaitu menurut kaca mata Mahathir dan Anwar.

Tidak seperti PAS yang dianggap sebagai konservatif.

Pada tahun 1986, pembangkang amat lemah. Parti pembangkang utama adalah DAP yang mewakili kawasan bandar.

PAS hanya ada satu kawasan dan Parti Rakyat langsung tiada kerusi.

Pergolakan politik lebih tertumpu pada konflik dalaman Umno.

Ia berbentuk cabaran daripada Tengku Razaleigh Hamzah.

Anwar berpihak pada Mahathir.

Dalam parti, beliau dengan mudah memperoleh laluan untuk menyandang jawatan naib presiden Umno.

Akhirnya Anwar menjadi timbalan presiden Umno dan dapat menyandang jawatan timbalan perdana menteri.

Tetapi selepas itu, kesemuanya merudum bagi Anwar.

Ketika beliau mula dipenjara pada tahun 1998, Nurul Izzah berusia 17 tahun dan dipanggil sebagai puteri reformasi oleh para pendokong PKR.

Harapan sebahagian rakyat yang mahukan Anwar menjadi perdana menteri berkecai.

Tetapi lebih besar lagi ialah harapan rakyat untuk menyaksikan Malaysia menjadi maju bersama nilai-nilai Islam progresif musnah akibat pertelingkahn Mahathir-Anwar.

Wawasan kedua-duanya tinggal impian sejaarah. Idealisme awal Anwar hilang ditelan pergolakan politik.

Sementara wawasan Mahathir tidak diteruskan oleh penggantinya, Abdullah Ahmad Badawi dan Najib yang mempunyai agendanya sendiri.

Umno kini menjadi parti yang dicurigai oleh sebahagian rakyat.

Jika hanya mengharapkan kemenangan PH, Anwar tidak akan menjadi perdana menteri.

Pada usia 84, sukar bagi Anwar untuk menjadi perdana menteri pada tahun 2032.

Dalam 10 tahun, rakyat akan menyaksikan apakah yang akan dilakukan oleh Rafizi dan Nurul Izzah.

Ketika itu, Rafizi bakal berusia 54 tahun.

Di pihak Umno pula ialah Khairy Jamaluddin yang ketika itu akan berusia 56 tahun.

10 adalah jangka waktu yang tidak lama dalam politik.

Suasana politik berubah dengan cepat, dari setahun ke setahun.