Saturday, May 21, 2022

Order Ismail, yang sampai kluster mahkamah?

Jika Zahid benar-benar ikhlas, beliau perlu beri laluan untuk Ismail menduduki kerusi presiden Umno dan pengerusi BN, bukan berpegang dengan formula 'Zahid jaga parti, Ismail jaga kerajaan.'

Other News

Sejak malam kelmarin, bagaikan berlumba-lumba pemimpin Umno membuat kenyataan memuji keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti yang menamakan Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Sambil mendabik dada, mereka mendakwa pencalonan itu membawa mesej betapa Umno kini berada pada puncak solidariti dan kesiapsiagaan terbaik untuk masuk gelanggang PRU-15.

Pun begitu, seorang Ahli MKT Tajuddin Abdul Rahman tampil dengan reaksi menongkah arus kurang dua jam selepas pencalonan Ismail diumumkan melalui kenyataan akhbar Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan.

Bagi Tajuddin, keputusan MKT bukan jaminan untuk naib presiden itu kekal memegang jawatan perdana menteri kerana apa sahaja boleh berlaku dengan memberi contoh kejadian menimpa “poster boy” Hasni Mohammad di Johor.

Reaksi bekas pengarah pilihan raya Umno itu wajar diberi perhatian kerana beliau mungkin mempunyai maklumat dalaman selain sudah masak benar dengan kerenah kepimpinan partinya terutama kelompok kluster mahkamah.

Jika Tajuddin yang berada dalam MKT kurang yakin dan berjaga-jaga dengan pencalonan itu, adakah rakyat patut menjadi “lebih sudu daripada kuah” dengan menelan bulat-bulat naratif pencalonan Ismail?

Lagipun pencalonan itu dibuat kurang dua bulan selepas persembahan “silap mata” Umno pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila Hasni yang dijaja akan dilantik semula sebagai menteri besar telah diganti dengan Onn Hafiz Ghazi secara tiba-tiba.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang kononnya akan membuat penjelasan berkenaan isu itu dalam Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung Umno 2021 (PAU 2021) pula sekadar berucap:

“Biarpun barang yang kita order online barang lain, barang yang sampai barang lain, tetapi beliau (Onn Hafiz) tetap menjadi kebanggaan rakyat Johor,”.

Sikap lepas tangan Zahid dalam menguruskan isu yang menyebabkan ada tokoh dari Johor mengakui malu untuk menghadiri PAU 2021 boleh dijadikan petunjuk sejauh mana Umno dan presidennya yang bergelut dengan 47 pertuduhan di mahkamah boleh dipercayai apabila berjanji.

Keputusan MKT itu jika diamati ada kejanggalannya kerana secara tiba-tiba tanpa angin dan ribut, Ismail dinamakan sebagai calon perdana menteri.

Layanan kluster mahkamah terhadap beliau nampaknya berubah 180 darjah secara tiba-tiba.

Walhal sebulan yang lepas, seluruh negara menjadi saksi bagaimana tidak beradabnya layanan kluster mahkamah terhadap Ismail pada malam keputusan PRN Johor dan pada PAU 2021 atas alasan protokol parti.

Perkara ini membuka ruang spekulasi, adakah wujud perjanjian dan tawar menawar “you scratch my back, and I’ll scratch yours” di antara Ismail dan kluster mahkamah.

Malah ada yang bergossip dalam media sosial sehingga mengaitkan pencalonan itu dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang menangguhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas bekas presiden Umno, Najib Razak dalam kes SRC International pada Disember lalu.

Sekiranya keputusan lain yang dibuat MKT Umno turut diperhalusi, pemilihan Ismail sebagai perdana menteri boleh diibaratkan sebagai gula-gula politik kerana ia menyebabkan Ismail terperangkap dan hanya mempunyai dua pilihan.

Sama ada akur dengan ketetapan parti yang dikuasai kluster mahkamah atau berdepan dengan situasi “order barang lain, tapi sampai barang lain”.

Hal ini kerana MKT Umno telah menetapkan 14 Mei ini sebagai tarikh mengadakan PAU Umno Khas bagi meminda perlembagaan yang bertujuan menghalalkan penangguhan pemilihan parti sekali lagi.

Dengan berselindung di sebalik keputusan PAU 2021, pindaan itu akan membolehkan Zahid kekal sebagai presiden Umno sekaligus menjadi perdana menteri belakang tabir yang memegang alat kawalan jauh untuk menekan Ismail mengikut kehendak kluster mahkamah.

Sekiranya benar-benar ikhlas mencalonkan Ismail, beliau perlu diberi laluan untuk menduduki kerusi presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional (BN), bukannya terus berpegang dengan formula “Zahid jaga parti, Ismail jaga kerajaan.”

Formula itu hanya sesuai jika Zahid langsung tidak mencampuri urusan kerajaan, tetapi keputusan MKT yang tidak mahu meneruskan memorandum persefahaman (MoU) bersama Pakatan Harapan (PH) itu sendiri adalah salah satu bentuk campur tangan dalam urusan kerajaan.

Apa hak Umno untuk menekan perdana menteri supaya tidak meneruskan MoU itu selepas tempohnya berakhir pada 31 Julai ini sedangkan kerajaan itu dibentuk oleh sokongan ahli Parlimen pelbagai parti, bukannya kerajaan Umno.

Persoalannya, jika Ismail tidak akur keputusan parti, apa yang bakal berlaku? Adakah akan disabotaj sehingga terpelanting dari kerusi perdana menteri untuk diganti dengan kluster mahkamah atau sekutunya?

Dengan mengambil keberkatan Ramadan, berdoalah supaya kebangkitan semula kluster mahkamah Pakistan tidak berjangkit ke negara ini kerana jika Pakistan boleh, Malaysia pun boleh dan Umno lagilah boleh.

Saladin Hasan Salleh adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles