- Iklan -
Kolum

Bila nak calonkan Ismail sebagai presiden Umno?

Atas alasan apapun, apa yang terjadi pada Hasni memberikan pengajaran yang sangat besar bagi ahli politik dan rakyat Malaysia.

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Ismail Sabri Yaakob dicalonkan sebagai calon perdana menteri Umno untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ya, perdana menteri hari ini dicalonkan semula untuk PRU15 akan datang.

Maksudnya Ismail akan menjadi watak utama kempen Umno pada PRU15.

Namun begitu, berita yang lebih besar ialah bilakah Ismail akan dicalonkan sebagai presiden Umno dan secara automatik akan menjadi pengerusi Barisan Nasional (BN)?

Bilakah Ismail akan mempunyai kuasa untuk menandatangani watikah pencalonannya sendiri dalam BN?

Dan bilakah Ismail boleh menentukan hala tuju Umno selari dengan pentadbirannya di Putrajaya.

Mengapa Umno tidak mencalonkan Ismail sebagai presiden Umno dan juga PM?

Bukankah ini lebih baik untuk politik Umno?

Tidakah ini akan dapat membawa keadaan yang lebih stabil berbanding hari ini?

Sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini, Hasni Mohammad juga dicalonkan sebagai calon menteri besar.

Wajah Hasni menjadi poster utama kempen Umno dan beliau berjaya mendapat mandat yang besar daripada rakyat Johor.

Namun begitu, semua orang tahu selepas PRN Johor beliau tidak menjadi menteri besar.

Atas alasan apapun, apa yang terjadi pada Hasni memberikan pengajaran yang sangat besar bagi ahli politik dan rakyat Malaysia.

Janji politik adalah perkara yang paling tidak boleh dipercayai di Malaysia ini.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno juga membuat keputusan agar kerajaan pusat tidak menyambung perjanjian persefahaman (MoU) dengan pihak pembangkang.

Setelah dicalonkan sebagai perdana menteri Umno untuk PRU15, Ismail memberikan reaksi.

“Itu keputusan setakat ini, apapun tunggu lepas 31 Julai.

“Itu keputusan MKT dah dibuat semalam. Kerajaan akan ikut keputusan MKT,” kata Ismail.

Nampaknya ramuan untuk membubarkan Parlimen lebih awal demi memberi laluan kepada PRU15 sudah tersedia.

Lawan lemah, pihak yang kuat boleh buat ikut suka hati.

Tiada siapa yang boleh menyalahkan siapa kerana ini adalah “real-politic”.

Matlamat dan semuanya demi kuasa.

Yang dapat kuasa menentukan cara sejarah ditulis.

Rakyat bukannya ada hak untuk menentukan hala tuju politik negara.

Rakyat ini sekadar “taman permainan” bagi ahli politik sahaja.