- Iklan -
Kolum

Jalan dimakan rasuah

Namun, untuk satu-satu kontraktor berjaya membida projek itu, banyak belanja yang perlu digunakan untuk menggembirakan mereka yang diberi kuasa meluluskannya.

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Dua tahun lalu, kerajaan Alam Boleh ingin membina jalan raya di Kampung Datuk.

Maka kerajaan Alam Boleh mengeluarkan tender untuk dibida.

Ramai yang membidanya kerana projek itu lumayan.

Namun, untuk satu-satu kontraktor berjaya membida projek itu, banyak belanja yang perlu digunakan untuk menggembirakan mereka yang diberi kuasa meluluskannya.

Sebahagian belanja adalah termasuk komisyen kepada mereka yang diberi kuasa membuat kelulusan dan juga orang tengah yang menjadi jambatan kepada mereka yang diberi kuasa.

Oleh kerana itu, kontraktor terpaksa mencari jalan untuk mengurangkan kos pembinaan.

Antara cara yang paling lazim ialah mencari kontraktor yang sanggup menerima kontrak itu pada harga yang lebih rendah.

Kontraktor pertama akan mendapat untung atas angin.

Kontraktor yang sanggup menerima kontrak yang lebih rendah pula perlu mencari jalan membina jalan raya tersebut pada kos yang lebih rendah agar keuntungan perniagaan masih ada.

Hasilnya, jalan raya yang sepatutnya dibina dengan ketahanan 10 tahun dibina dengan ketahanan tiga tahun dengan menggunakan barangan mentah yang tidak menepati spesifikasi yang dijanjikan demi mengurangkan kos.

Namun begitu, mengapa jalan raya cepat berlubang walaupun hanya selepas setahun dibina?

Ini kerana jalan raya yang tidak dibina mengikut spesifikasi itu terpaksa berdepan dengan mudarat yang lebih berat.

Lori-lori yang melebihi muatan yang dibenarkan dibiarkan lalu-lalang di atas jalan raya tanpa sekatan.

Sepatutnya ada sekatan, tapi duit menyebabkan sekatan itu dibolosi dengan mudah.

Pegawai-pegawai bergaji rendah diletakkan menjaga sekatan lori-lori yang dimiliki para peniaga jutawan.

Bagaimanakah mereka mungkin terdaya untuk melawan godaan yang ditawarkan para peniaga jutawan untuk melepaskan lori-lori yang terlebih muatan?

Akhirnya, kerajaan Alam Boleh terpaksa mengeluarkan tender baru untuk memperbaiki jalan raya yang baru berusia setahun, yang sepatutnya bertahan 10 tahun.

Itu hanya cerita jalan raya. Belum lagi yang lain-lain.

Rakyat Alam Boleh sering bertanya ke manakah duit cukai mereka. Kerajaan Alam Boleh pula bingung mengapa duit sentiasa tidak cukup setiap kali rakyatnya meminta bantuan.

Jalan raya berlubang itulah jawapannya.

Tak perlu buat macam tidak tahu.

Sebenarnya semua tahu, malah ramai berharap dapat terlibat bersama menikmati jalan berlubang rezeki lumayan ini.

Betul tak? Jangan tipulah.