- Iklan -
Rencana

Pandangan supaya Muhyiddin berundur dari Bersatu pramatang

Tinjauan Institut Masa Depan dan Merdeka Centre menunjukkan Muhyiddin mendahului sebagai calon PM berbanding Anwar Ibrahim dan Ismail Sabri Yaakob.

Marzuki Mohamad
3 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin.
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin.

Ulasan Dr Azmi Hassan bahawa Muhyiddin Yassin perlu berundur sebagai presiden Bersatu susulan kegagalan Perikatan Nasional (PN) memenangi PRN Johor adalah agak gopoh.

Saya tidak pasti mengapa pandangan sedemikian dilontarkan. Adakah untuk melihat Bersatu menjadi lebih kuat atau sekadar komen cakap buang sahaja.

Apapun, dalam dunia politik komen sedemikian mudah mendapat tarikan dan dijadikan polemik oleh mereka yang mempunyai motif tertentu.

Saya ingin berikan sedikit pandangan balas.

Jika kekalahan pertama PN dalam PRN Johor dijadikan sebab mengapa Muhyiddin perlu berundur, maka ramai presiden parti lain yang mesti berundur juga.

Ada parti yang semua calonnya hilang wang deposit. Pengerusi dan presiden parti ini mesti berundur lebih awal dari Muhyiddin. Ada parti yang kerusinya merosot hanya tinggal satu. Presiden parti ini pun mesti berundur jugalah agaknya.

Jika lojik presiden parti mesti berundur apabila parti kalah pilihan raya, maka banyak parti di negara kita telah mengalami pertukaran kepimpinan akibat partinya kalah. Tetapi perkara tersebut tidak berlaku kepada semua parti.

PAS misalnya tidak pernah menang dalam pilihanraya persekutuan kecuali di Kelantan, Kedah dan Terengganu. Presiden PAS tidak bertukar dengan sebab PAS kalah pilihan raya.

Sebaliknya parti itu terus teguh. Apabila kerajaan PN dibentuk pada 1 Mac 2020, PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan.

Ada juga parti yang mengalami kekalahan dalam banyak pilihan raya, tetapi akhirnya menang tanpa menukar kepimpinannya.

Misalnya PKR di bawah kepimpinan Dr Wan Azizah mengalami kekalahan dalam PRU tahun 1999, 2004, 2008 dan 2013 tetapi akhirnya menang dalam PRU 2018.

Adakah kekalahan PN dalam PRN Johor adalah amat teruk sehinggakan Muhyiddin mesti letak jawatan?

Dari segi bilangan kerusi mungkin nampaknya begitulah.

Tetapi dari segi trend sokongan pengundi, data menunjukkan sebaliknya.

Dalam PRN Johor, PN adalah satu-satunya parti yang mencatat peningkatan sokongan pengundi Melayu berbanding BN dan PH. Jika undi PAS dalam PRU 2018 dijadikan undi asas PN, sokongan pengundi Melayu Johor kepada PN telah meningkat dari 18.1% dalam PRU 2018 kepada 34.5% dalam PRN 2022.

Sebaliknya sokongan pengundi Melayu kepada BN telah merosot dari 58.8% dalam PRU 2018 kepada 51.1% dalam PRN 2022. Data menunjukkan berlaku peralihan hampir 8 mata peratus sokongan pengundi Melayu BN kepada PN.

Perlu diingat, Johor adalah kubu kuat BN.

Sokongan pengundi Melayu kepada PH juga telah merosot dengan ketara iaitu dari 28.3% dalam PRU 2018 kepada 11.3% dalam PRN 2022. Sebanyak 17 mata peratus sokongan Melayu PH telah beralih kepada PN.

Bukankah ini suatu pencapaian kepda PN iaitu sebuah parti baru di bawah kepimpinan Muhyiddin?

Malah, sebuah kaji selidik tinjauan pendapat umum pengundi negeri Johor yang dijalankan oleh Institut Masa Depan Malaysia dengan kerjasama Merdeka Centre for Opinion Research pada 4 hingga 21 Februari 2022 mendapati Muhyiddin adalah pemimpin paling popular di negeri Johor dengan approval rating sebanyak 52% berbanding Najib Razak (39%), Dr Mahathir Mohamad (35%), Lim Guang Eng (24%) dan Ahmad Zahid Hamidi (14%).

Dalam kalangan pengundi Melayu negeri Johor, kajian ini juga menunjukkan Muhyiddin adalah pemimpin paling popular dengan approval rating sebanyak 67% berbanding Najib (43%), Mahathir (43%), Zahid (17%) dan Lim (12%).

Muhyiddin juga mendahului sebagai calon PM iaitu dengan 29% responden bersetuju berbanding Anwar Ibrahim (23%) dan Ismail Sabri Yaakob (16%).

Dalam kalangan responden Melayu, Muhyiddin memperolehi (41%), Ismail (22%) dan Anwar (10%).

Trend peralihan sokongan pengundi Melayu yang ketara kepada PN dalam PRN Johor mungkin juga disebabkan oleh populariti Muhyiddin sebagai bekas perdana menteri dan anak Johor.

Berdasarkan data-data ini, bagi saya pandangan supaya Muhyiddin berundur hanya dengan sebab PN kalah dalam PRN Johor adalah agak gopoh dan pramatang.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow