Monday, May 16, 2022

Kisah orang-orang kalah

Pembangkang memerlukan satu 'common value' yang dikongsi melangkaui perbezaan parti demi kesejahteraan negara untuk menumbangkan kleptokrat BN.

Other News

Pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor – keputusan itu telah membungkam semangat ahli, bekas calon dan juga pimpinan Pejuang.

Kekecewaan itu dapat dirasai. Ramai juga yang sinis dengan saya setelah kalah, bagi saya semua ini adalah proses panjang yang memang memenatkan. Kekalahan adalah guru terbaik untuk lelaki budiman.

Usahawan billionair yang juga pengasas SpaceX, Elon Musk menguji roketnya ratusan kali bermula tahun 2010 untuk memastikan kapalnya benar-benar mampu ke angkasa dan usaha beliau hanya berjaya 10 tahun kemudian pada 2020 untuk ujian kali ke 148! Maka, sabar dan lalui setiap proses adalah lebih baik untuk kita.

Namun demikian, keputusan ini rupa-rupanya bukan saja mengejutkan ahli Pejuang tetapi juga pengkritik Mahathir. Ada yang menjangka undi Pejuang akan jadi “spoiler vote” kepada parti pembangkang yang lain, tapi tidak berlaku. Maka kritikan itu bertukar menjadi modal untuk melecehkan Pejuang.

Walau bagaimanapun, fasa baru sedang berlaku pasca PRN Johor. Ramai warga telah tampil mendaftar menjadi ahli Pejuang.

Daripada tiada satu pun cawangan – zero, kini setiap DUN sudah mula mencari tarikh untuk membuka cawangan pertamanya. Alhamdulillah. Proses ini akan berterusan kerana kita tahu kita lemah dan kita perlukan lebih banyak dukungan dari rakyat. Tiada jalan pintas untuk jadi “Elon Musk”.

Tentang kritikan dan perlecehan daripada pelbagai pihak, ahli Pejuang perlu membacanya sebagai satu peluang bukan saja untuk mempertingkatkan usaha dan memperbaiki diri, tetapi ia membuka ruang untuk warga menyertai parti Pejuang dengan penuh kesedaran di hati, bukan bermotifkan “kebendaan”.

Bayangkanlah jika Pejuang menang banyak kerusi hari itu, mungkin berbondong-bondong ahli yang “fake” jiwanya akan mendaftar menjadi ahli Pejuang.

Hikmahnya, kekalahan ini telah menyelamatkan Pejuang daripada bahaya yang akan lebih merosakkan parti pada masa hadapan.

Pada PRN Melaka dan Johor termasuk PRN Sarawak dan Sabah, semua parti politik terluka dan kalah.

Luka dan kekalahan ini sedang dirawat dengan pelbagai cara, antaranya pemilihan parti.

DAP telah selesai menjalankan pemilihan dan saya ucap tahniah kepada Saudara Anthony Loke setelah dipilih menjadi setiausaha agung DAP yang baru. Dengan karismanya, mungkin DAP akan memiliki kekuatan baru selepas ini.

Begitu juga dengan PKR yang akan membuat pemilihan tak berapa lama lagi. Saya ucap selamat maju jaya kepada calon-calon yang akan bertanding.

Semua ini adalah proses yang harus dijalani oleh setiap parti politik untuk memperkuatkan parti masing-masing sebagai persediaan menghadapi PRU15.

Imbau kembali ketika API dan KMM bersaing sesama sendiri dalam kancah politik tanah air era 40an-50an, mereka masih berkongsi matlamat yang sama iaitu membebaskan tanah air daripada penjajah.

Barangkali itulah gambaran yang sedang berlaku pada hari ini bila pergeseran antara parti pembangkang memerlukan satu “common value” yang dikongsi melangkaui perbezaan parti demi kesejahteraan negara untuk menumbangkan kleptokrat BN.

Kita semua sedang kalah, kita menggigil dan saling bermusuh dalam keadaan kita sama-sama kalah, tidak akan membawa makna atau kemenangan antara kita.

Mungkin hanya untuk kepuasan ego peribadi saja. Apa guna PKR atau Bersatu dapat lebih undi daripada Pejuang kalau semua masih jadi pembangkang? Tetapi jika ini yang lebih utama, maka kita tak perlu kecewa bila rakyat malas keluar mengundi dan BN kembali menjadi kerajaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak boleh diharap untuk berkempen kepada rakyat agar keluar mengundi kerana mereka tidak meletakkan hal ini sebagai keutamaan mereka.

Jika hujah saya ini salah, wakil SPR boleh nafikan secara terbuka dan nyatakan apa rancangan mereka untuk melaksanakan kempen kesedaran mengundi dikalangan rakyat 18 tahun ke atas.

Justeru, untuk memastikan BN tidak mendapat berkat dari kelemahan ini, kita semua harus berkempen kepada rakyat agar mereka keluar mengundi.

Tak kira parti, kita kena senada mengajak rakyat keluar mengundi di PRU15 nanti, inilah “common value” yang penting untuk kita dan “common value” ini jugalah akan menjadi racun sianida kepada BN.

Mengundi ketika ini bukan soal hak asasi, tetapi kewajipan bagi setiap rakyat untuk menyelamatkan masa depan mereka. Mesej kempen ini harus jelas dan fokus.

Jika dahulu kita ada Deklarasi Rakyat dengan mengumpul tandatangan rakyat Malaysia sebagai sokongan untuk mengubah kepimpinan negara, maka hari ini kita perlu undi rakyat sebagai manifestasi nasib Malaysia yang semakin tenat dengan penyakit rasuah dan ketidakcekapan kerajaan yang menghempap kepala kita semua.

Jika PKR bertanding 80 buah kerusi, mampukah menang 100%? sekalipun menang semua, dapatkah membentuk kerajaan bersendirian dengan 80 buah kerusi itu?

Jika Bersatu bertanding 120 buah kerusi? Apakah ia mampu menang 100%? Sebenarnya kita semua sudah tahu akan jawapan kepada soalan bodoh ini.

Tanpa jumlah rakyat keluar mengundi yang cukup tinggi, kita semua hanya akan berputih mata.

Justeru, adakah kita masih mahu terus bermusuhan dan terus menghampakan impian rakyat?

Mahathir dan Lim Kit Siang telah mengesahkan bahawa mereka akan memberi laluan kepada pimpinan baru untuk melaksanakan tugas ini.

Ini boleh menjadi butang mula untuk permulaan pimpinan baru.

Jika setiap ahli semua parti-parti pembangkang berani mendesak dan meyakinkan kepimpinan mereka untuk memastikan formula satu lawan satu berlaku, kita semua hampir pasti akan memenangi PRU15 insya Allah.

Bagi saya, tidak ada formula ajaib dalam mengurus isu ini. Hanya tepuk dada tanya selera. Kita yang akan tentukan kalah menang parti masing-masing ke atas BN. Soal siapa akan jadi PM, itu bukan urusan orang-orang yang sedang kalah.

Kerja hari ini ialah kerja “Elon Musk” untuk mencari kemenangan. Ia bermula sekarang, bukan esok.

Mahdzir Ibrahim adalah ahli Pejuang.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles