Monday, May 16, 2022

Era Kit Siang: Dari 9 ke 42 kerusi Parlimen

Beliau bersara dalam keadaan DAP berada di puncaknya.

Other News

Lim Kit Siang mengumumkan persaraan politiknya minggu lalu dalam kongres tahunan DAP.

Beliau menyatakan tidak akan lagi bertanding pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Bagaimanapun, DAP melantiknya sebagai mentor. Suatu panggilan atau peranan baru yang sebelum ini tiada dalam politik Malaysia.

Pertama kali saya berjumpa Lim ialah di Parlimen pada tahun 1982 ketika membuat liputan berita Dewan Rakyat.

Beliau adalah ketua pembangkang yang berdepan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Turut bersama di pihak kerajaan ialah Anwar Ibrahim yang merupakan bintang baru Barisan Nasional (BN). Pada masa itu ahli pembangkang tidak ramai.

DAP adalah parti pembangkang terbesar dengan sembilan kerusi sementara PAS pula mempunyai lima kerusi.

Selain Lim, tokoh DAP yang turut sering berucap ialah Lee Lam Thye dan Tan Seng Giaw.

Mereka berperanan menyuarakan isu-isu membela masyarakat Cina dalam konteks hak awam di negara demokrasi.

Suara Lim lantang, terus terang dan nyaring. Nadanya mencabar kepimpinan Melayu.

Sebagai seorang pemberita dari akhbar Melayu, ada kalanya saya juga rasa tersinggung dengan kata-katanya walaupun ada kebenaran dalam hujah-hujahnya.

Sementara ucapan Lee dan Tan lebih sederhana. Selalunya, salinan teks ucapan Lim diedarkan kepada pihak akhbar di bilik pemberita di bahagian belakang Parlimen.

Tetapi para pemberita tetap keluar mencari beliau di lobi untuk mendapatkan komen-komen terhadap isu-isu berbangkit.

Beliau melayan baik para pemberita walaupun umumnya semua media dikawal oleh kerajaan atau parti komponen BN.

Walaupun saya sering ditugaskan menulis berita dari pihak pembangkang tetapi ia jarang disiarkan oleh akhbar.

Umumnya pembaca tidak akan tahu apa yang disuarakan oleh pihak pembangkang di Parlimen.

DAP mempunyai imej rasis serta cauvinis dalam kalangan orang Melayu dan itulah persepsi yang saya miliki semasa remaja. Pertama kali saya melihat lambang roket adalah pada tahun 1969 menjelang Peristiwa 13 Mei.

Pada masa itu saya darjah empat dan tinggal di Kuala Lumpur. Pada tahun 1971, saya membaca buku “Sebelum dan Sesudah 13 Mei” tulisan Tunku Abdul Rahman.

Dari situ baru saya tahu mengenai Parti Buruh, DAP, Gerakan dan Lim.

Apabila membaca buku itu, timbul rasa sentimen perkauman.

Namun apabila melihat bagaimana DAP meletakkan ramai calon Melayu di Perak dalam PRU tahun 1974, dengan Lim menamakan seorang calon menteri besar Melayu, maka ternyata ia berusaha untuk menjadi parti berbilang kaum.

Pada tahun 1970-an dan 1980-an, iaitu zaman pra-internet adalah sukar untuk mendapatkan maklumat daripada parti pembangkang yang bukan sahaja DAP tetapi juga PAS dan Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM).

Semua maklumat disampaikan melalui media arus perdana yang mempunyai amalan mengawal laporan mengenai pihak pembangkang.

Maka apabila DAP Perak dilanda krisis pada tahun 1975 dengan tokoh-tokohnya keluar parti, maka ia disiarkan di muka depan akhbar arus perdana.

Saya juga membaca ulasannya dalam bentuk buku lembaran yang diterbitkan oleh Karangkraf.

Gambar kulitnya memaparkan wajah Lim dan Daeng Ibrahim Othman, pemimpin DAP Perak yang keluar parti.

Pada tahun 1975 dan 1976, DAP menerbitkan lidah rasmi “The Rocket” yang dijual di sekitar Kuala Lumpur.

Saya membeli dan membacanya seperti mana juga lidah rasmi PSRM bernama Mimbar Sosialis dan Parti Keadilan Masyarakat bernama Matahari.

Pada masa itu PAS tidak mempunyai akhbar.

Pada tahun-tahun itu juga DAP menerbitkan koleksi ucapan Lim di Parlimen, “A Time Bomb in Malaysia”.

Daripadanya saya dapat lebih memahami perjuangan Lim dan DAP. Buku itu diterbitkan semula beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun saya menganggap tajuk buku itu adalah keterlaluan.

Akhbar-akhbar parti pembangkang itu diterbitkan sebulan sekali dan dicetak tipis serta diedarkan sedikit.

Tentulah mereka tidak dapat menyaingi akhbar arus perdana yang diterbitkan setiap hari dan diedarkan secara meluas ke seluruh negara.

Ditambah pula Umno mempunyai akhbarnya sendiri bernama Merdeka dan MCA bernama The Guardian.

Tetapi akhbar tabloid politik mingguan seperti Watan, Suara Rakyat, Suara Merdeka dan Mingguan Rakyat memberi ruang kepada berita pembangkang.

Namun begitu akhbar arus perdana tidaklah anti-DAP.

The Star yang dimiliki MCA menyiarkan banyak berita DAP memandangkan sudah tentu dalam kalangan pembacanya mahu mengetahui mengenainya.

Malah Utusan Malaysia tidaklah anti-DAP walaupun ia mengkritik parti itu.

Lee sering datang ke pejabat Utusan pada tahun-tahun 1980-an untuk menghantar sendiri kenyataan akhbar.

Beliau selalunya datang pada hari Ahad dengan menyedari bahawa hari itu kekurangan bahan berita untuk keluaran hari Isnin. Ini membuka peluang untuk kenyataannya disiarkan.

Masa saya bertugas pada hari Ahad, seringkali Lee berjumpa dengan saya.

Isu-isu yang dibawa adalah berbentuk permasalahan tempatan kerana beliau mewakili Kuala Lumpur Bandar.

Ada kalanya jika bersesuaian, Utusan akan menyiarkannya.

Sementara ibu pejabat DAP pula sentiasa menghantar kenyataan akhbar Lim walaupun selalunya ia tidak disiarkan.

Sejak tahun 1982 hingga 2022, sudah 40 tahun berlalu.

DAP meraih 42 kerusi Parlimen pada PRU14 dalam kerangka Pakatan Harapan (PH) yang menang dengan undi bersama penyokong Bersatu, PKR dan Amanah.

Kini orang yang ditentangnya pada taahun 1982 iaitu Mahathir dan Anwar menjadi pembangkang bersama dengannya.

Apabila DAP menjadi sebahagian daripada kerajaan PH pada tahun 2018, ia merupakan pencapaian tertinggi parti itu setakat ini.

Setiausaha agungnya pada ketika itu Lim Guan Eng menyandang jawatan menteri kewangan, walaupun dilaporkan mereka mengharapkan kedudukan timbalan perdana menteri.

Selain itu, DAP menjadi kerajaan negeri di Pulau Pinang dan sebagai anggota PH pada tahun 2018, mereka turut menyertai kerajaan negeri Perak, Selangor, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Tanda-tanda pencapaian itu bermula dengan kejayaan DAP dalam PRU12 tahun 2008 bersama gabungan yang dianggotai oleh PKR dan PAS dengan kemenangan bersejarah memenangi Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kedah.

Dengan berupaya menafikan majoriti dua pertiga BN, barisan pembangkang itu bersatu menubuhkan Pakatan Rakyat yang kemudian berubah menjadi PH apabila PAS meninggalkannya.

Pada keseluruhannya, kejayaan DAP dalam perjuangannya selama itu adalah di atas kepimpinan Lim, baik sebagai setiausaha agung mahupun sebagai pemimpin veteran dalam jawatankuasa tertinggi parti.

Beliau bersara dalam keadaan DAP berada di puncaknya.

Sememangnya kini DAP menghadapi cabaran. Ia kehilangan kerusi dalam pilihan raya negeri Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor.

Maka ramai pemerhati meramalkan DAP akan juga kehilangan kerusi dalam PRU15 akan datang berdasarkan pada trend pengundian itu.

Tetapi masa depan DAP masih dianggap cerah kerana terdapat ramai pemimpin dan pengikut muda yang menyertainya.

Walaupun tidak ramai, adanya orang Melayu yang menonjol dalam kepimpinan DAP menunjukkan ia sedang bergerak menuju sebagai parti yang benar-benar bersifat pelbagai kaum.

Buat masa ini DAP masih mewakili orang Cina, tetapi pada waktu akan datang, ia boleh menjadi parti rakyat semua kaum lebih-lebih lagi dengan demografi negara yang turut berubah.

Tetapi lebih penting ialah jika ia dapat melaksanakan nilai demokrasi sosial yang dipegangnya hingga dapat mendatangkan manfaat pada rakyat.

Perjalanan masa depan akan ditentukan oleh Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.

Dengan itu, DAP mula memasuki era baru meninggalkan generasi 1966.

Sudah tentu pemikiran dan sikap Loke tidak sama dengan Lim.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles