- Iklan -
Kolum

Siapa PM selepas PRU15?

Presiden Umno amat berkuasa dalam hal politik parti itu.

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Mengikut kebiasaannya, presiden Umno akan menjadi perdana menteri jika Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya umum (PRU).

Apa yang terjadi pada Ismail Sabri Yaakob, seorang naib presiden Umno yang diangkat menjadi perdana menteri tidak mungkin berulang selepas mana-mana pilihan raya akan datang.

Presiden Umno amat berkuasa dalam hal politik parti itu.

Watikah calon perlu ditandatanganinya sebagai pengerusi BN.

Ini bermaksud kerusi mana perdana menteri bertanding pun adalah keputusan presiden Umno.

Pada perhimpunan agung Umno baru-baru ini, suara menuntut PRU diadakan terlebih dahulu sebelum pemilihan parti itu.

Persoalannya, mengapa tiada suara yang menuntut agar pemilihan Umno disegerakan dahulu sebelum PRU?

Bukankah lebih baik untuk Umno mengadakan pemilihan terlebih dahulu supaya parti dapat dibersihkan daripada golongan yang menghadapi masalah tuduhan rasuah dan penyelewengan sebelum merayu undi rakyat pada PRU?

Apakah pasukan yang menerajui Umno hari ini bimbang pasukan baru yang akan terbentuk lebih lemah?

Jika begitu, sepatutnya mereka yakin ahli-ahli parti akan mengekalkan kedudukan mereka.

Ataupun ada yang bimbang pada kelebihan yang ada pada Ismail selaku perdana menteri jika pemilihan Umno diadakan?

Betul, Ismail boleh memilih bertanding mana-mana kerusi, termasuk kerusi presiden.

Namun begitu, risiko yang dihadapi Ismail jauh lebih besar berbanding para pemimpin Umno yang lain di dalam pemilihan.

Bayangkan jika Ismail tewas di dalam pemilihan Umno sama ada di kerusi naib presiden, timbalan presiden atau presiden.

Karier politik Ismail akan tamat selepas Parlimen dibubarkan.

Jadi, mereka yang bimbang akan kenaikan Ismail dalam Umno sepatutnya mendesak agar pemilihan parti diawalkan.

Di dalam Umnolah, karier politik perdana menteri boleh ditamatkan.

Kelebihan Ismail sebagai perdana menteri di bawah kerajaan hari ini sepatutnya tidak menjadi masalah kepada pemegang jawatan tertinggi Umno hari ini.

Banyak perkara yang sudah berlaku dalam Umno tetapi di luar kawalan perdana menteri.

Jika Umno menghadapi PRU15 dahulu, dan BN dapat membentuk kerajaan sendiri tanpa bantuan parti lain, maka Ismail akan kehilangan jawatan perdana menteri kepada pemimpin berjawatan lebih tinggi dalam parti.

Akan tetapi, jikalau Umno memerlukan kerjasama dengan parti-parti lain untuk membentuk kerajaan selepas PRU15, tiada jaminan presiden Umno akan dilantik menjadi perdana menteri.

Kemungkinan, Ismail akan berpeluang besar untuk terus menjadi perdana menteri.

Pendek kata, desakan mengawalkan PRU15 mahupun melewatkan pemilihan Umno bukanlah dilakukan demi rakyat.

Ia hanyalah langkah catur menghadapi kemaraan Ismail di dalam Umno.

Ia tidak lebih daripada satu drama politik perebutan kuasa yang rakyat terpaksa telan.