Monday, May 16, 2022

Berakhirnya Muafakat Nasional 

Hayat MN ini begitu pendek, tidak sempat untuknya disaksikan dapat bertanding dalam PRU15.

Other News

Ramai kalangan orang Umno terutamanya di Kelantan, Terengganu dan Kedah tentunya berasa lega apabila PAS sudah tidak bersama mereka dan Muafakat Nasional (MN) berakhir.

Ini kerana pembahagian kawasan antara kedua-dua parti di ketiga-tiga negeri boleh mendatangkan masalah besar kepada Umno, dari pucuk pimpinan hingga ke akar umbi.

Semasa PAS dengan Umno masih mesra pun, pemimpin di Terengganu pernah bersuara bahawa di negeri itu, kerjasama antara kedua parti itu tidak akan dapat dilakukan.

Biarlah kerjasama hanya di peringkat pusat dan juga di negeri-negeri lain.

Tentunya Umno Terengganu mahu bertanding dalam pilihan raya untuk melawan PAS.

Ini kerana mereka bukan saja berpeluang untuk merampas kembali Terengganu tetapi pada asasnya ia dianggap sebagai negeri Umno.

Rakyat Terengganu hanya memberi kemenangan kepada PAS hanya pada waktu-waktu tertentu iaitu apabila mereka marah kepada Barisan Nasional (BN) seperti dalam pilihan raya umum (PRU) tahun 1990 dan 2018.

Hayat MN ini begitu pendek, tidak sempat untuknya disaksikan dapat bertanding dalam PRU15.

Ketika awal penubuhannya pada tahun 2018, tentunya ia diharapkan berpanjangan sebagai suatu persepakatan kekal yang menyatukan orang Melayu bertepatan dengan semangat perpaduan ummah.

Bagi PAS, ia merupakan suatu dasar yang dinamakan “matang dan sejahtera”.

Umno dan PAS ketika itu mengharapkan MN menjadi benteng kepada orang Melayu-Islam dalam menghadapi apa yang dicanangkan sebagai kemaraan politik “orang bukan Melayu” melalui DAP dan Pakatan Harapan (PH).

Tetapi bagi ramai penganalisis, MN itu hanyalah usaha Umno untuk memenangi PRU15 dengan bantuan PAS.

Ini kerana corak keputusan PRU14 adalah jelas bahawa pakatan Umno-PAS boleh mampu menjadikan PH hanya sebagai kerajaan sepenggal.

Perhitungan ini betul apabila Barisan Nasional (BN) dengan sokongan PAS memenangi rentetan pilihan raya kecil (PRK) yang memberi tekanan besar kepada PH.

Beserta kempen sentimen Melayu-Islam, sebahagian pemimpin PH berasa tergugat dan hilang keyakinan untuk dapat memenangi PRU15.

Dari satu segi, tekanan kepada kerjasama Umno-PAS turut memberi sumbangan kepada tumbangnya kerajaan PH apabila PKR dan Bersatu berpecah yang membawa kepada penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Tetapi MN ini disangka “panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari”.

Hayatnya lebih pendek daripada “BN asal.”

Apa yang dimaksudkan dengan “BN asal” ialah BN yang dibutuhkan pada tahun 1974.

Tonggak “BN asal” ini adalah kerjasama Umno-PAS bermula dengan kerajaan campuran Perikatan-PAS pada tahun 1973.

“BN asal” ini hanya sempat bertanding dalam PRU tahun 1974.

Dalam PRU berikutnya, iaitu pada tahun 1978, PAS sudah dikeluarkan daripada BN.

Dalam PRU itu, BN mampu menang besar tanpa PAS, malah berjaya meraih negeri Kelantan.

Maknanya Umno tidak memerlukan PAS untuk berkuasa.

Kini, pilihan raya negeri Melaka dan Johor menunjukkan bahawa Umno tidak memerlukan PAS untuk kembali berkuasa, malah memiliki majoriti dua pertiga.

BN sudah kembali yakin untuk memasuki PRU15, tidak seperti keadaan pada tahun 2018 dan 2019.

Perhimpunan Agung Umno yang berlangsung menyaksikan sentimen ini dalam kalangan para perwakilan.

Malah perhatian para penganalisis kepada Umno bukan lagi terhadap kekuatan mereka untuk melawan pembangkang khususnya PH dan PN tetapi lebih kepada pertarungan antara kelompok-kelompok pucuk pimpinan parti itu.

Di pihak PAS pula, kegagalan MN ini mendatang kesan dalaman di peringkat pucuk pimpinan.

Bekas ahli Jawatankuasa PAS, Khairuddin Aman Razali yang disingkirkan daripada jawatan itu bukan saja bertindak keluar parti tetapi mengkritik pucuk pimpinan kerana menghentikan pakatan dengan Umno, dan serentak itu beralih daripada dasar asal “matang dan sejahtera.”

Apa yang dimaksudkan dengan dasar “matang dan sejahtera” ialah bersikap untuk tidak mengkritik, menghentam dan mengecam Umno.

Iaitu PAS berubah daripada sikap berkonfrontasi dengan Umno, daan sebaliknya mencari titik persefahaman untuk membolehkan kerjasama supaya dapat melaksanakan dasar dan program yang mendatangkan kesenangan untuk kesejahteraan kepada parti Islam itu dan rakyat.

Dasar “matang dan sejhtera” ini dimulakan lebih awal lagi sebelum tertubuhnya MN, iaitu sebelum PRU14.

Ia dilakukan atas kesedaran bahawa sikap PAS yang agresif melawan Umno sejak keluar BN pada tahun 1978 kurang mendatangkan manfaat kepada parti, orang Melayu dan rakyat Malaysia.

Tetapi bagi sebahagian orang PAS ketika itu, dasar “matang dan sejahtera” itu hanyalah alasan oleh anasir-anasir tertentu dalam parti yang mahu bekerjasama dengan Umno.

Kerjasama itu tidak dapat dilakukan selagi ada Aallahyarham Nik Aziz Nik Mat selaku mursyidul am yang amat menentang sebarang pakatan dengan Umno.

Selepas ketiadaan beliau dan golongan “Erdogan” yang disingkirkan melalui pemilihan parti, PAS keluar daripada Pakatan Rakyat (PR), dan kerjasama dengan Umno dapat dilakukan.

Golongan “Erdogan” itu menubuhkan Amanah dan PR terbubar.

PAS menubuhkan Gagasan Sejahtera (GS) yang turut dianggotai oleh Ikatan Bangsa Malaysia dan Berjasa dengan rakan strategik terdiri daripada Parti Cinta Malaysia dan Parti Alternatif Rakyat (PAP).

Perkataan “sejahtera” dalam pakatan itu menggemakan dasar “matang dan sejahtera.”

Secara rasmi, GS bertanding PRU14 tetapi tentunya yang kelihatan hanyalah PAS.

Ketika itu, banyak pemerhati melihat PAS yang bertanding di banyak kawasan adalah bertujuan untuk memecah undi PH.

Strategi itu gagal kerana undi yang menentang BN itu terlalu banyak untuk dipecahkan.

Tetapi PAS meraih keuntungan dengan menang Terengganu dan banyak kerusi di Kedah atas undi mereka yang menolak BN tetapi tidak memilih PH.

MN berjaya tumbangkan PH

Jadi, MN yang ditubuhkan secara rasmi dengan majlis meriah merupakan strategi mengalahkan PH untuk PRU15.

Platformnya adalah Melayu-Islam dengan menolak DAP.

Acara majlis penubuhan MN disifatkan sebagai bersejarah apabila dua parti utama Melayu itu berdamai.

Dari satu segi MN ini berjaya sebelum penggal Parlimen berakhir.

Sebahagian daripada PH tidak dapat menangkis kempen Melayu-Islam Umno-PAS.

Kerajaan PH tumbang dan satu pakatan baru ditubuhkan dengan diketuai oleh Bersatu.

PN ini pada cadangan awalnya merupakan pakatan parti yang menyertai kerajaan pimpinan Bersatu, iaitu termasuk PAS dan BN.

Tetapi BN enggan menyertai PN, mereka hanya menyokong kerajaan Muhyiddin Yassin.

PAS pula bersedia untuk menyertai PN.

Pada awalnya MN masih wujud dengan PAS, yang dinamakan oleh para pemerhati sebagai “bermain dua kolam.”

Selagi tidak ada pilihan raya, kaedah ini boleh diteruskan.

Tetapi dengan PRN Melaka apabila berlaku bertembungan tiga penjuru BN-PN-PH, PAS perlu tentukan kedudukannya, sama ada bersama PN atau BN.

Maka pada detik-detik akhir menjelang penamaan calon, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mengeluarkan arahan supaya partinya bersama PN, dan bukannya BN.

Ketika itu ia merupakan satu perjudian politik.

Melaka menunjukkan BN sedang bangkit semula.

Tetapi ujian sebentar berada di Johor.

Ketika itu PAS masih menaruh harapan pada kerjasama dengan Umno.

Tidak puas hati dengan bilangan kawasan yang diperuntukkan oleh BN, mereka kembali kepada PN yang menyambut dengan tangan terbuka.

Ternyata Johor kembali menjadi kubu Umno. PN dan PAS kecundang.

Dengan kemenangan di Johor, tidak ada sebab politik untuk Umno bekerjasama dengan PAS.

Maka hayat MN dikira berakhir.

Maka setakat ini, pertandingan utama dijangka bersifat tiga penjuru seperti Melaka dan Johor.

Hasilnya dijangka hampir akan menjadi seperti Johor dan Melaka. BN kini memang selesa.

Di peringkat negeri, BN mampu memenangi semula Terengganu dan Kedah.

Dalam keadaan ini tentulah PN dan PH juga tidak akan duduk diam dengan hanya menanti supaya mereka akan dikalahkan.

Usaha perlu dibuat untuk menyatukan penentang BN supaya berlaku satu lawan satu dalam PRU15.

BN juga tentu tidak duduk diam. Mereka akan berusaha memecah-belahkan penentang-penentangnya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles