Sunday, May 15, 2022

Utusan Melayu dan konfrontasi

Melalui Utusan Melayu kali pertama aku mengenal perkataan bersetubuh.

Other News

Aku membesar dengan akhbar Utusan Melayu tulisan Jawi. Semenjak tahun 1959, keluarga Cikgu Zaleha sudah melanggan Utusan Melayu.

Akhbar ini datang dari Seremban dengan bas Lim yang melintas depan Sekolah Umum Batu Serambai. Ini bas pertama dari Seremban ke Kuala Klawang.

Dalam lebih kurang pukul 8.00 pagi, bas akan melintas.

Si pemandu akan membaling keluar tingkap dua naskah akhbar yang sudah digulung dan diikat ke arah Kedai Kopi Makcik Jarah.

Satu naskah untuk Cikgu Zaleha dan satu lagi untuk Makcik Jarah, si empunya kedai.

Sistem penghantar akhbar ini diatur baik oleh Cikgu Hamid.

Cikgu Hamid ini sudah pencen dan dia memiliki kiosk akhbar di stesen bas Seremban dan juga kedai akhbar dan bahan bacaan dalam pekan Kuala Klawang.

Cikgu Zaleha dan Makcik Jarah berurusan dengan kedai Cikgu Hamid di Kuala Klawang.

Dari Utusan Melayu aku mengikuti kisah Dol Keropok dan Wak Tempe hasil lakaran Raja Hamzah.

Siri komik ini aku ikuti walau pun aku agak kurang faham maknanya.

Aku juga mula berkenalan dengan Nancy dan Sluggo dua watak dari dunia luar. Lawak dan komedi mereka juga tidak aku fahami.

Aku juga mula berkenalan dengan Tarzan. Jantan kacak berseluar pendek tanpa baju.

Menayangkan sosok badan yang sado. Jantan Tarzan yang berkulit putih ini seperti Nabi Sulaiman yang faham akan bahasa binatang.

Emak aku menerangkan yang Tarzan ini orang putih sesat di Afrika.

Ini benua orang Negro. Dalam hutan Afrika Tarzan berkawan dengan binatang. Siapa perawi emak aku ini tidak pula aku selidiki.

Utusan membuka satu dunia baru. Aku mengenal Nat King Cole (1919-1965) dan membaca bagaimana penyanyi Negro ini mula menyanyi.

Dari apa yang aku baca Nat King Cole dipaksa untuk menyanyi.

Aku juga mengikuti berita tentang filem tempatan dan luar negara. Sesekali aku terbaca berita pementasan sandiwara dari Singapura.

Biasanya dalam Utusan akan ada tulisan panjang yang bukan berita. Ini amat menarik untuk aku.

Aku ingat lagi siri tulisan panjang yang mengeraskan nafsu kecil aku.

Ini tentang kisah perempuan pelacur dalam kapal laut.

Ketika itu aku berada dalam darjah enam atau “standard six”, baru lepas bersunat, bulu ari belum tumbuh.

Melalui Utusan Melayu kali pertama aku mengenal perkataan bersetubuh. Awalnya aku tidak tahu apa maknanya.

Tetapi bila aku ulang baca kisah pelacur ini, baru aku dapat faham makna perkataan bersetubuh ini.

Aku merasa amat bangga mengetahui perkataan ini. Aku rasa aku seorang saja dalam kelas yang tahu makna perkataan bersetubuh.

Hakikatnya ketika aku membesar dunia luar aku adalah Utusan Melayu dan Utusan Zaman.

Ketika konfrontasi banyak berita dan tulisan panjang tentang Indonesia.

Zaman konfrontasi, Sukarno tidak lagi dianggap sebagai Bung Karno.

Kini Sukarno dianggap sebagai seorang diktator yang mengamalkan demokrasi terpimpin.

Ini juga ayat yang aku tidak faham. Aku hanya membaca.

Perkataan diktator ini aku temui dari Utusan.

Mengikut Utusan di belakang Diktator Sukarno ini ialah Parti Komunis Indonesia (PKI).

Dari Utusan juga aku mengenal perkataan boneka. Sukarno menuduh Tunku Abdul Rahman sebagai boneka Inggeris.

Manakala Utusan menuduh Sukarno sebagai boneka PKI. Dari perkataan boneka ini aku mula berkenalan dengan perkataan tali barut.

Tali barut aku tahu. Barut ini mengikat perut anak-anak yang baru lahir agar tidak sejuk. Tapi bukan ini maksud Utusan.

Perkataan tali barut ini berkait pula dengan perkataan kuncu-kuncu. Semua ini istilah politik yang semuanya baru untuk aku.

Aku tidak akan melupakan satu tulisan panjang tentang kisah Sukarno melawat Amerika Syarikat (AS).

Dari tulisan ini aku membaca bagaimana satu jamuan makan malam dianjurkan untuk menyambut Sukarno sebagai tetamu kehormat.

Turut sama dalam jamuan makan malam ini ialah Jayne Mansfield (1933-1967). Dari apa yang aku baca pada malam itu Sukarno menari dengan Jayne Mansfield.

Mengikut Utusan, Sukarno amat tertarik dengan bintang filem ini kerana buah dadanya besar menonjol.

Malah pada malam itu mengikut Utusan, Jayne tidak memakai “coli”.

Aku anak sekolah rendah dalam standard six tidak faham apa yang menarik tentang buah dada.

Juga aku tidak tahu jamuan makan malam ini siapa yang mengatur.

Tentang ini Utusan tidak melapor.

Malah aku juga tidak faham apa yang menarik tentang Jayne Mansfield yang tidak memakai coli.

Tok Wan Rahmah aku pun tidak pernah ada coli atau baju dalam.

Hanya Tok Wan Rahmah aku tidak pandai menari atau bertandak.

Berita tentang rakyat Indonesia kelaparan hingga terpaksa makan tikus berkali-kali aku baca di Utusan.

Dan juga aku dengar dari Radio Malaya. Ketika itu aku ambil semua berita ini dan apa yang aku baca sebagai ayat-ayat suci yang betul lagi benar.

Aku tidak memiliki was-was atau menyimpan curiga terhadap Utusan ada menyimpan niat jahat.

Tahun 1965, ketika aku dalam tingkatan dua tersebar berita tentang Presiden Sukarno ditahan dalam rumah.

Ketika ini aku selalu membaca nama Jeneral Nasution. Nama ini bersangkutan dengan Lubang Buaya. Aku tidak faham apa yang sedang berlaku.

Pada satu pagi di sekolah aku ternampak akhbar Straits Times di bilik guru dengan tajuk berita: “Summit in Tokyo”.

Walaupun aku masuk sekolah Inggeris, tetapi aku tidak ada upaya untuk membaca dan memahami akhbar berbahasa Inggeris.

Di rumah aku membaca Utusan tentang apa yang berlaku.

Baru aku tahu bahawa kerajaan Jepun bersedia menjadi orang tengah untuk menyelesaikan konfrontasi antara Malaysia dan Indonesia.

Daripada apa yang aku baca, Utusan terus melaporkan tanpa henti-henti cerita Lubang Buaya dan Gerakan 30 September.

Dari Utusan juga aku terbaca perkataan “gestapo”. Aku tidak tahu apa maknanya dan apa hubungan dengan Lubang Buaya dan Sukarno.

Di Sekolah Menengah Undang Jelebu kami tidak lagi mengadakan latihan “sekolah kena bom”.

Kelas tidak diganggu lagi. Semua seperti sedia kala.

Kemudian pada 28 Mei 1966, Utusan melaporkan ada perundingan antara Malaysia dan Indonesia di Bangkok.

Indonesia diwakili oleh Adam Malik yang kini menjadi wakil kepada Jeneral Suharto. Nama Subandario lenyap.

Pada 11 Ogos 1966, perjanjian perdamaian antara Malaysia-Indonesia ditandatangani di Kuala Lumpur.

Aku ingat lagi gambar Lilis Suryani (1948-2007) mengetuk dram di muka hadapan akhbar Straits Times.

Penyanyi Gang Kelinchi menjadi penyanyi Indonesia pertama datang membuat persembahan di Kuala Lumpur sesudah tamatnya konfrontasi.

Kemudian ketika aku bercuti di rumah kak lang di Kuala Lumpur, aku berpeluang menonton filem Indonesia pertama masuk ke Malaysia sesudah konfrontasi.

Filem Matjan Kemajoran (1965) garapan Wim Umboh (1933-1996).

Aku menonton filem ini di panggung wayang di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sungai Besi.

Filem purbawara bersilat ini cukup hebat. Filem ini menjadikan aku mula meminati filem Indonesia.

Orang soborang, istilah Tok Wan Rahmah kini kembali bersaudara dengan orang semenanjung.

“Biduk lalu kiambang bertaut”, ini kata-kata dari Utusan Melayu.

Epilog 1:

Zaman kanak-kanak, zaman peta kehidupan aku putih bersih tanpa cakaran. Apa yang aku baca itulah pemahaman aku.

Putih ketika itu adalah putih. Hitam ketika itu adalah hitam.

Aku tidak sedar apa yang aku baca dari Utusan Melayu atau dengar dari Radio Malaya ketika konfrontasi berjalan adalah berita yang bertujuan untuk mengolah persetujuan pembaca dan pendengar untuk membenci Bung Karno dan Indonesia.

Sekarang aku faham semua ini adalah perang saraf.

Jayne Mansfield yang berdansa dengan Sukarno tanpa memaki coli hanyalah untuk memburukkan watak Bung Karno di mata Bani Melayu pembaca Utusan.

Watak nasionalis Bung Karno wajib dimusnahkan agar Tunku dilihat sebagai orang baik manakala Bung Karno penuh maksiat.

Berita warga Indonesia makan tikus adalah perang saraf untuk membuktikan bahawa Sukarno gagal dan rakyat menjadi papa kedana.

Sama ada berita tikus ini sahih atau palsu pada ketika itu tidak ditimbulkan.

Utusan dan Radio Malaya memiliki hegemoni dan monopoli untuk menyebar berita dan dakyah palsu.

Epilog 2:

Berita tentang kerajaan buangan itu memang betul. Ketika konfrontasi berjalan Shamsiah Fakeh dan kawan-kawan dari PKM berada di Jakarta.

Mereka mendapat sokongan daripada Bung Karno. Kemudian mereka di tangkap apabila Suharto merampas kuasa.

Mereka dibebaskan dengan pertolongan Ho Chi Minh dari Vietnam Utara. Mereka berpindah dari Jakarta ke Hanoi.

Apa yang palsu ialah berita penangkapan di Lapangan Terbang Sungai Besi dengan penemuan 200,000 ringgit.

Aku tahu ini berita palsu kerana pada tahun 1975, ketika polis sedang mencari aku setelah Demonstrasi Baling, aku untuk sementara menumpang di rumah Hasnul Hadi di Melaka.

Hasnul Hadi ini ialah sosok pertama, setiausaha politik Tunku Abdul Rahman. (Ini Bab Lain)

Hasnul Hadi meninggalkan Umno dan menjadi pemimpin Parti Rakyat.

“Betul ke masa abang kena tangkap di airport nak lari ke Jakarta, ada duit 200,000 ringgit?”, aku bertanya ketika aku menumpang di rumah Hasnul.

“Bohong.. bohong besar… aku masa tu baru pulang dari Cairo… Konferensi Afro-Asia…. di Cairo pun ada agen Inggeris mengekor kami… kami tidur bukan dalam hotel tapi dalam bot di Sungai Nil…. duit bohong…. hal duit itu propaganda Tunku dan kerja SB.” Hasnul bersurah.

“Tangkap di mana?” Aku bertanya lagi.

“Di hotel murah di Chow Kit Road, masa itu pejabat parti kita di Chow Kit… dalam poket aku hanya ada 1.65 sen.” Hasnul menerangkan.

Hanya ada satu ringgit enam puluh lima sen. Ini kata-kata dari Hasnul yang masih aku ingati sampai ke hari ini. Bukan 200,000 ringgit seperti laporan Utusan.

Epilog 3:

Ketika aku kanak-kanak, aku menunggu di tepi jalan melambai pada tentera Inggeris. Mereka membaling coklat, gula-gula dan biskut.

Ketika itu tidak aku sedar bahawa ini juga adalah sebahagian dari perang saraf kuasa kolonial Inggeris.

Ini bertujuan untuk memenangi hati budak-budak agar bersimpati dengan tentera penjajah dan benci kepada sosok nasionalis yang berjuang menuntut kemerdekaan.

Coklat dan gula-gua ditaburkan agar kami benci kepada komunis.

Epilog 4:

Pada 15 Julai 1974, aku pertama kali sampai ke Australia.

Aku menghadiri persidangan tahunan Asian Student Association (ASA).

Aku menjadi wakil Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia (PKPM). Bersama aku ke Australia ialah Idris Jusi dari UKM dan Radzi dari ITM.

Persidangan ini dirasmikan oleh Dr Jim Cairns, timbalan perdana menteri kerajaan Parti Buruh pada ketika itu.

Sesudah perasmian ada masa untuk soal jawab.

“Sir… from Malaysia… what is Australian military bases doing in my country? When are you withdrawing from Butterworth air base?”

Aku bertanya tentang Pangkalan Tentera Udara Australia di Butterworth.

“That’s part of Five Power Defence Arrangements. We will end it, in the near future.”

Jawapan diplomatik daripada timbalan perdana menteri Australia, seorang sosialis dalam Parti Buruh.

Epilog 5:

Bila aku masuk ke Universiti Malaya dan menjadi ahli Kelab Sosialis baru aku diberi pencerahan apa itu Five Power Defence Arrangement (FPDA).

Ini adalah perjanjian bersenjataan lima negara Singapura, Malaysia, Australia, New Zealand dan Britain.

Ini negara bekas tanah jajahan Britain.

Maka tentera Negro yang aku temui di tepi perigi Cikgu Ali di Kampung Batu Serambai adalah tentera dari FPDA.

Tentera Negro ini pasti dari United Kingdom kerana banyak negeri di Afrika bekas tanah jajahan Baginda Queen.

Malah latihan di Kenaboi itu adalah sebahagian dari lihatan ketenteraan FPDA.

Tentera orang putih yang aku panggil Jon dan Joni itu pasti dari Australia, New Zealand atau United Kingdom.

Ketika konfrontasi sebenarnya ada perang besar antara tentera Inggeris dengan tentera Indonesia. Ini tidak dilaporkan oleh Utusan Melayu.

Epilog 6:

Aku tak pernah kenal Sukarno. Dari jauh pun aku tak pernah nampak sosok Sukarno.

Tapi aku kenal baik dengan dua sosok yang rapat dengan Bung Karno.

Seorang bernama Pak Budi Archo bekas menteri muda Perkapalan Sukarno.

Dan seorang lagi Prof Dr Ernst Utrecht (1922-1987 ) penasihat Sukarno.

Pak Budi aku temui di London, orang pelarian politik sekapal macam aku.

Tahun 1965 ditangkap Suharto di penjarakan selama 12 tahun. Kemudian bebas dan mendapat suaka politik di United Kingdom (Bab Tersendiri).

Prof Ernst juga ditangkap pada tahun 1965 oleh Suharto dipenjara selama dua tahun. Kemudian apabila dibebaskan mendapat suaka politik di Belanda.

Prof Ernst mula aku kenal pada tahun 1974. Ini ketika Universiti Malaya mahu menubuhkan Fakulti Undang-Undang.

Prof Ernst dibawa dari Amsterdam untuk menjadi tenaga pengajar Fakulti Undang-Undang di Universiti Malaya.

Kedatangan Prof Ernst menjadikan rejim Suharto marah.

Indonesia membantah sikap Malaysia memelihara musuh Suharto. Prof Ernst diberi tempoh 24 jam untuk meninggalkan Malaysia.

Ketika itu aku setiausaha agung Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM).

Kami membantah tetapi Prof Ernst tetap dipaksa meninggalkan Kuala Lumpur. Dia pulang ke Amsterdam.

Tahun 1976 aku ke Australia sekali lagi. Aku bertemu dengan Prof Ernst.

Kami sama-ama berkempen memberi pencerahan tentang politik Malaysia dan Indonesia kepada pelajar dari Malaysia, Indonesia, pelajar Asia dan juga warga Australia.

Prof Ernst ini memakai dua jam tangan, di tangan kiri dan kanan.

Dia lebih awal membawa fesyen dua jam tangan ini daripada Bros kumpulan pop dari London yang juga memakai dua jam tangan.

“Bung… pasal apa ada dua jam?” Aku bertanya kerana hairan.

“Ha ha…. satu waktu di Sydney.. satu lagi waktu di Belanda.” Aku senyum bila mendengar jawapan.

Di Sydney Prof Ernst mengendalikan satu badan yang mengkaji peranan Multinational Organisation. Justeru dia rapat dengan para aktivis kiri.

Aku difahamkan Prof Ernst ini rapat dengan Bung Karno.

Lalu satu petang di Sydney ketika kami bersantai dan bercanda-canda sambil minum air anggur merah aku bertanya: “Sukarno ni macam mana orangnya?”

“Ha ha kayak nak tahu…. satu hari di Medan…. kami ada bertemu rakyat… aku duduk di sebelah Bung Karno… dia memberi ucapan. Kemudian dia duduk. Kepala bupati pula bangun berucap.”

Aku memasang telinga hendak mendengar apa terjadi.

“Bung Karno merapati aku dan berbisik…. Ernst… tu.. tu… nombor dua dari kiri… aturkan.”

“Apa tu?” Aku tak pasti apa yang berlaku.

“Ah Bung Karno… dia ternampak anak gadis nombor dua dari kiri… kayak …ha ha hah.”

Kami berdua sama-sama terbarai ketawa.

Dan aku tak perlu bertanya lanjut.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles

Sayang emak pada anak

Taiping, kami sampai

Pusing papan di Batu Gajah