- Iklan -
Rencana

PM harus selesaikan masalah ekonomi, bukan benar pengeluaran KWSP

Persoalan kini timbul sama ada KWSP telah bersedia selepas pengumuman Ismail untuk benar orang ramai keluarkan simpanan persaraan mereka.

Mahdzir Ibrahim
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap di Dewan Rakyat. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap di Dewan Rakyat. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan kebenaran pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 bagi semua pencarum hari ini.

Selepas dua tahun, kerajaan pimpinan beliau dilihat telah gagal menyelesaikan masalah ekonomi walaupun perintah kawalan pergerakan (PKP) telah tamat dan diganti dengan PKP Pemulihan pada 7 Jun 2020.

Langkah kerajaan pimpinan Ismail ini merupakan suatu langkah yang terdesak selepas hanya tujuh bulan mengambil alih jawatan perdana menteri pada Ogos tahun lalu.

Untuk rekod, kerajaan sebelumnya, yang dipimpin Muhyiddin Yassin telah membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik Covid-19 melanda negara dua tahun lalu.

Langkah ini dianggap wajar kerana keadaan ekonomi yang sangat mendesak apatah lagi PKP masih berjalan dan banyak sektor ekonomi belum dibuka sepenuhnya ketika itu. Ia amat berbeza pada tahun 2021 hingga sekarang.

Apabila pengumuman ini dibuat, transaksi sejumlah wang yang cukup besar akan berlaku yang pastinya mencecah pengeluaran berbillion ringgit dana persaraan orang ramai dalam tempoh masa yang pendek.

Persoalannya, adakah pihak KWSP telah bersedia dengan keadaan ini?

Bagaimana pula KWSP dapat memastikan dividen yang disasarkan pada tahun ini dapat direalisasikan selepas pengumuman Ismail?

Pada Disember 2021, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz menyatakan kerajaan tidak bercadang untuk tidak membenarkan pengeluaran wang dari KWSP adalah bertujuan untuk mengimbangi kebajikan selain menjamin masa depan rakyat.

Namun hari ini, keadaan sebaliknya berlaku.

Perdana menteri tidak sepatutnya melayan desakan dan ugutan sesetengah pihak dalam menyelesaikan isu ini kerana agensi seperti KWSP ditubuhkan dengan bermatlamatkan untuk melindungi simpanan para pencarum untuk jangka masa panjang demi kebaikan mereka, bukan untuk tujuan jangka pendek.

Permasalahan ekonomi rakyat adalah tanggungjawab kerajaan dengan menggunakan pendekatan dan mekanisme yang lebih bertanggungjawab.

Pada belanjawan 2022 yang diumumkan sebelum ini, segala peruntukan perlu segera dibelanjakan untuk keperluan rakyat baik untuk menjana aktiviti ekonomi, kebajikan, kesihatan dan pendidikan bukan untuk pilihanraya seperti di Melaka dan Johor.

Namun agak pelik selepas belanjawan diumumkan beberapa bulan lalu, hanya pada suku pertama tahun 2022, kerajaan pimpinan Ismail begitu terdesak hingga membuat keputusan membenarkan penggunaan dana KWSP untuk tujuan yang tidak jelas matlamatnya.

Soalan yang perlu dijawab, bagaimana tahap perbelanjaan belanjawan 2022 pada ketika ini?

Adakah ianya sudah habis kerana digunakan untuk dua pilihan raya yang tak sepatutnya berlaku?

Perlu diingat, seramai 7,591,053 pencarum di KWSP bukanlah jumlah yang kecil.

Kumpulan ini akan terdedah dengan masa depan yang tidak menentu selepas ini.

Ismail harus lebih bertanggungjawab.

Mahdzir Ibrahim adalah ahli Pejuang Parit Sulong.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow