- Iklan -
Rencana

Fakta: Peneroka Felda hampir bebas hutang bawah PN

Kejayaan dasar Perikatan Nasional berhubung Felda turut diakui orang kuat Amanah Mazlan Aliman.

Saladin Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Pekerja di ladang Felda sedang mengait hasil sawit bagi proses pembuatan minyak masak. Gambar: Bernama
Pekerja di ladang Felda sedang mengait hasil sawit bagi proses pembuatan minyak masak. Gambar: Bernama

Najib Razak digambarkan Umno, Barisan Nasional (BN) sebagai perdana menteri paling prihatin dengan nasib peneroka Felda.

Bunyinya cukup lunak, maklumlah bapanya Tun Razak adalah pengasas Felda.

Pun begitu, sepanjang menerajui kerajaan Umno, BN dari 2009 hingga 2018, Najib tidak pernah ‘menghalalkan’ walau satu sen hutang peneroka. Sebaliknya bebanan hutang bertambah akibat penyenaraian Felda Global Venture (FGV) yang tidak menjadi.

Kemudian, datang Pakatan Harapan (PH) menjanjikan penghapusan sepenuhnya hutang peneroka dalam masa 100 hari pemerintahan. Janji populis ini akhirnya “dicapati” dan Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad tanpa rasa malu kata manifesto bukan kitab suci.

Akhirnya, keprihatinan sebenar diterjemahkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan perdana menterinya Muhyiddin Yassin hanya mengambil masa 17 bulan sahaja untuk membuktikannya.

Ia bermula dalam Belanjawan 2021 apabila kerajaan PN memperuntukkan RM400 juta untuk menghapus faedah hutang kebun peneroka Felda.

Komitmen itu seterusnya dimuktamadkan pada Julai 2021 apabila Muhyiddin mengumumkan pelupusan sebahagian hutang peneroka bernilai RM8.3 bilion, menjadikan bebanan pinjaman berkurangan secara purata sebanyak 80% bagi setiap peneroka.

Ini bermakna, bayaran balik pinjaman secara purata berkurangan daripada RM800 hingga RM1,000 kepada hanya RM250 hingga RM300 sebulan bagi peneroka sawit dan serendah RM150 bagi peneroka getah iaitu satu kadar yang sangat munasabah dan mampu dibayar.

Menariknya, pengumuman yang memanfaatkan 112,638 warga peneroka dibuat dalam masa kurang dua tahun PN memerintah tanpa perlu menjaja janji sebagaimana kerajaan PH atau masuk bakul angkat sendiri seperti Umno, BN.

Pengarah Besar Felda, Amiruddin Abdul Satar dalam satu taklimat media mendedahkan purata hutang setiap peneroka yang dilupuskan menerusi inisiatif itu adalah di antara RM80,000 hingga RM100,000 seorang.

Jika hal tersebut terus dibiarkan tanpa inisiatif dari kerajaan, dikhuatiri ia menjadi liabiliti yang terpaksa ditanggung generasi pewaris Felda pada masa depan.

Jumlah itu sangat besar malah pemimpin Amanah Mazlan Aliman yang juga bekas pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), mengiktiraf pelupusan hutang itu sebagai kejayaan besar Muhyiddin.

Lebih penting, pelupusan hutang itu dibuat sewaktu negara sedang bergelut dengan pandemik Covid-19 yang menjejaskan ekonomi dan kewangan rakyat secara keseluruahannya.

Kadar bayaran semula hutang yang jauh lebih rendah pastinya dapat membantu peneroka Felda bertahan dalam kesuraman ekonomi negara.

Lebihan wang itu seterusnya boleh dibelanjakan di pasaran domestik yang secara tidak langsung merancakkan aktiviti ekonomi serta dimanfaatkan untuk menambah simpanan peneroka seperti di Tabung Haji atau ASB untuk kegunaan masa hadapan atau waktu kecemasan.

Apabila tidak terbeban dengan hutang yang tinggi, peneroka juga lebih bermotivasi dan boleh menumpukan sepenuh perhatian kepada aktiviti peladangan dengan meningkatkan hasil yang lebih konsisten. Ia satu formula menang-menang untuk peneroka dan Felda.

Maka, sudah terang lagi bersuluh, pihak manakah yang paling prihatin dengan nasib warga peneroka Felda dan perlu terus diberi kepercayaan termasuk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.

Pastinya bukan Umno, BN yang “masuk bakul angkat sendiri” mahupun PH ‘manifesto bukan kitab suci’ tetapi PN yang diterajui Muhyiddin.

Saladin Hasan Salleh adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow