- Iklan -
Kolum

Mata pena dan mata pedang

Tetapi untuk melakukan perubahan sosial dalam zaman digital internet mata pena dan mata pedang wajib berjalan bersama.

Hishamuddin Rais
8 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Pada tahun 1968 aku dalam tingkatan lima di Sekolah Menengah Undang Jelebu (SMUJ).

Sekolah ini letaknya di pinggir pekan Kuala Klawang. Semenjak tingkatan empat lagi aku tinggal di Asrama Putera SMUJ.

Syarat untuk tinggal di asrama ini tidak sulit. Pertama perlu ada tempat kosong kerana asrama ini hanya boleh muat 35 orang pelajar.

Pelajar yang tinggal jauh dari sekolah akan diberi keutamaan.

Aku tinggal di asrama kerana ketika itu Cikgu Zaleha Sidek berpindah dari Sekolah Umum Batu Serambai ke Sekolah Amar Penghulu, enam batu dari pekan Kuala Klawang.

Ada 35 orang pelajar dari sekolah menengah yang menjadi warga asrama ini.

Asrama ini dikongsi sama dengan pelajar-pelajar dari Sekolah Menengah Bandar Tinggi (SMBT).

Bangunan dinding papan atap zink asrama ini letaknya hanya lima minit menapak ke pintu utama SMUJ.

Manakala SMBT jauhnya hampir dua batu dari pekan Kuala Klawang.

Warga asrama dari SMBT perlu naik bas atau berbasikal untuk ke sekolah.

Di zaman kolonial Inggeris, Jelebu hanya ada satu sekolah menengah, hanya aliran Inggeris.

Untuk sekolah menengah semua belajar di Goverment English School (GES). Di Jelebu tidak ada sekolah menengah aliran Melayu.

Zaman berubah. Apabila ramai pelajar sekolah rendah aliran Melayu terkumpul maka pelajar wajib ditampung.

Maka pelajar kelas menengah aliran Melayu masuk sama belajar di SMUJ.

Ini menjadikan SMUJ sekolah dua aliran, Inggeris dan Melayu dalam satu bumbung.

Akhirnya SMUJ menjadi padat.

Maka pada tahun 1967 untuk menampung pelajar aliran Melayu sebuah sekolah baru didirikan.

SMUJ pecah dua. SMUJ terus wujud di tempat yang sama di tepi pekan Kuala Klawang.

Manakala Sekolah Menengah Bandar Tinggi dengan bangunan baru dibina dalam kawasan kebun getah yang luas, dua batu dari pekan Kuala Klawang.

Tenaga pengajar dan kakitangan pentadbiran juga terpisah dua. Tetapi warga asrama tidak berubah. Warga asrama dari SMUJ dan SMBT masih di bawah satu bumbung.

Semenjak wujudnya SMBT, sekolah aku ada persaingan dalam arena sukan terutama sepak bola. Persaingan dalam bahagian akademik juga hebat. Kami lawan berlawan.

Di sekolah aku ada akhbar bulanan. Kadang-kadang ada kadang-kadang senyap.

Nama saja akhbar bulanan tetapi selalu tak muncul. Akhbar Berita SMUJ ini dikendalikan oleh pelajar.

Lapan muka surat bersaiz A4 yang disaikostail kemudian diedarkan secara percuma.

Jumlah edaran pun tidaklah banyak.

Aku masih ingat lagi laporan dalam Berita SMUJ tentang guru Orang Putih American Peace Corps yang mengajar di SMUJ.

Ada surat dari pembaca yang menuntut agar murid tingkatan empat dan lima dibenarkan memakai seluar panjang. Ada juga halaman masak memasak.

Aku tertarik juga dengan Berita SMUJ ini. Maka ketika aku dalam tingkatan empat aku cuba menjadi “reporter” untuk Berita SMUJ.

Satu petang diadakan perlawanan bola sepak antara pasukan SMBT dengan pasukan SMUJ.

Perlawanan bola sepak ini diadakan di padang SMBT yang luas.

Sekolah aku tidak memiliki padang sekolah. Semua aktiviti sukan untuk SMUJ menggunakan padang milik Majlis Bandaran Kuala Klawang.

Pada petang itu aku sebagai reporter pergi melihat perlawanan itu.

Aku ini bukan kaki bola dan juga bukan ahli sukan. Tetapi aku tidaklah kaki bangku.

Aku pernah memenangi larian merentas desa untuk SMUJ.

Malah aku pernah mewakili SMUJ sebagai salah seorang daripada lima pelari merentas desa untuk Sukan Terbuka Negeri Sembilan 1968.

Kami berlari berganti-ganti empat batu dari Port Dickon ke Seremban.

Aku ingat lagi pasukan bola sepak sekolah aku tewas pada petang itu. Pasukan SMBT berjaya menjaringkan dua gol berbalas satu.

Jaringan gol ke dua ini menimbulkan kekecohan. Berlaku pergaduhan kecil di hadapan pintu gol SMUJ.

Aku di luar padang hanya memerhatikan apa yang berlaku. Pengadil perlawanan petang itu ialah Cikgu Zul dari SMBT. Justeru aku merasa tidak puas hati.

Pulang dari perlawanan bola sepak, aku menulis satu laporan untuk Berita SMUJ.

Aku ingat lagi apa yang aku tulis “satu perkara yang tidak diingini berlaku di hadapan pintu gol SMUJ”.

Aku memberi andaian bahawa pengadil pada petang itu berat sebelah. Justeru SMBT menang.

Satu minggu sesudah Berita SMUJ terbit, aku diberitahu Cikgu Kamarmahtum guru sukan wanita dari SMBT ingin berjumpa aku.

Pesanan ini disampaikan oleh pelajar SMBT yang tinggal seasrama dengan aku.

Aku merasa tidak selesa.

Entah kenapa aku merasa tidak sedap hati. Petang yang dijanjikan Cikgu Kamarmahtum berkereta datang ke SMUJ.

Aku ingat lagi kami bertemu berhampiran dengan tempat letak kereta.

“Apa dia yang kamu tulis? Apa dia yang tidak dingini berlaku depan pintu gol?”

Ini pembukaan kata-kata apabila Cikgu Kamarmahtum ternampak aku.

Dengan serta merta aku sedar bahawa apa yang aku tulis dalam Berita SMUJ menjadikan sebab mengapa Cikgu Kamarmahtum mahu berjumpa dengan aku.

“Apa dia? Apa terjadi? Apa yang kamu maksudkan?” Cikgu Kamarmahtum terus menyoal aku dan menghampiri aku. Aku melihat dia agak marah.

Aku mengundur tanpa memberi jawapan apa-apa. Aku merasa cuak dan takut.

Aku memerhati keliling. Tak ada sesiapa nampak. Aku seorang diri mungkin akan dikasari.

Lalu aku beredar. Aku juga tahu Cikgu Kamarmahtum ini bukan guru sekolah aku. Maka dia tidak boleh mengambil apa-apa tindakan terhadap aku.

Tapi aku merasa risau juga jika dia membuat aduan tentang aku kepada Mister Francis Xavier guru besar SMUJ. Atau dia membuat aduan kepada Mister Tay Puan Loong guru darjah aku.

Dua tiga hari aku menyimpan risau. Menunggu apakah aku akan dipanggil guru besar kerana apa yang aku tulis dalam Berita SMUJ.

Tunggu punya tunggu tidak ada apa-apa yang berlaku. Aku merasa selamat.

Aku kembali berseronok hidup dengan ramai kawan-kawan di asrama. Asrama kami ini bukan lumayan. Sekolah kami juga bukan sekolah ternama.

Kenalan baik aku ketika itu ialah Mat Sham Yahya. Dia dari Petasih, kampung Melayu 20 batu dari Kuala Klawang. Mat Sham belajar dalam tingkatan lima di SMBT.

Kami semua ini pada ketika itu mengikuti sastera Melayu seperti agama. Ini kerana kami sama-sama mengambil Sastera Melayu sebagai mata pelajaran untuk peperiksaan akhir.

Di SMBT ada diajar mata pelajaran Sastera Melayu.

Di SMUJ hanya aku seorang yang mendaftar mata pelajaran Sastera Melayu untuk peperiksaan Senior Cambridge dan Malaysia Certificate of Education (SC/MCE).

Justeru aku tidak ada guru walaupun ini mata pelajaran yang akan aku ambil dalam peperiksaan akhir tahun.

Untuk menyelamatkan diri aku ikuti Mat Sham, apa buku yang dia pakai dan baca aku ikut sama.

Buku puisi “Warna Suasana” garapan Masuri S N. Buku novel yang wajib dibaca ialah “Tulang-Tulang Berserakan” karya Usman Awang.

Kami, aku dan Mat Sham berangan-angan hendak menjadi penulis seperti Usman Awang atau Keris Mas.

Sesekali jika ada duit maka aku akan membeli majalah Dewan Sastera.

Atau jika bernasib baik ada kawan yang terjumpa Dewan Sastera lama atau dipinjam dari si anu dan si anu. Kami semua ulat buku.

Ketika ini aku berkongsi melanggan Mingguan Malaysia.

Ini kerana tiap Ahad ada ruangan cerpen dan sajak dalam akhbar mingguan ini.

Aku peminat sastera Melayu menjadikan ruangan cerpen dan sajak ini wajib dibaca.

Untuk akhbar harian kalau bernasib baik kami dapat membaca Utusan Malaysia, Berita Harian dan Straits Times di kutubkhanah.

Akhbar-akhbar ini sampai dulu ke bilik guru sebelum masuk ke perpustakaan.

Ketika ini aku sebagai warga asrama melihat ada beberapa perkara yang tidak betul dalam pengurusan asrama.

Tukang masak bersekongkol dengan pembekal makanan. Pinggan mangkuk yang agak uzur. Kerusi meja dalam bilik makan perlu diperbaharui.

Pada satu petang terlintas dalam kepala aku untuk menulis surat ke ruangan “Surat Dari Pembaca” di Utusan Malaysia.

Niat aku untuk meluahkan rasa tidak puas hati atau “komplen” melalui ruangan Surat Dari Pembaca.

Tulisan aku bukan cakar ayam tetapi tidaklah secantik mana.

Boleh dibaca walaupun kadangkala aku sendiri pun gagal untuk membaca kembali apa yang aku tulis.

Justeru aku berpakat dengan Mat Sham. “Aku karang… kau tulis… tulisan aku ok.”

Aku memberi cadangan kepada Mat Sham. Kami berdua memang berniat untuk menjadi Usman Awang atau Keris Mas.

Menulis ke akhbar ini sebagai uji bakat. Aku ingat lagi malam itu, bilik bacaan kosong, jam sudah melintas tengah malam menuju ke pagi Ahad.

Mat Sham mengambil pen dan kertas buku. Lalu aku mengarang. Kami hanya berdua. Tiada sesiapa yang tahu apa kami buat.

Bukan berahsia. Tetapi kami akan merasa malu kalau surat ini tidak dilayani dan terus masuk bakul sampah. Juga untuk keselamatan lebih baik tidak ramai yang tahu.

Apa yang keluar dari mulut aku ialah rasa tidak puas hati kami sebagai “Penghuni Asrama Putera Sekolah Menengah Undang Jelebu”.

Aku timbulkan hal makanan yang kami rasa berkualiti rendah. Kami timbulkan persekongkolan antara tukang masak dengan pembekal makanan.

Dari rasa hati aku timbulkan kedaifan kedudukan kami sebagai penghuni asrama.

Mat Sham menulis dan aku mengarang. Kami hanya menggunakan satu muka surat dari kertas buku yang dipotong rapi oleh Mat Sham.

Surat aku tidak bersurah panjang. Selesai penulisan kami mencari sampul surat.

Isnin keesokan harinya aku ke pejabat pos. Setem 10 sen ke alamat Utusan Malaysia di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur. Kami menunggu.

Kehidupan di sekolah dan asrama berjalan seperti biasa. Tiada yang menarik. Juga tiada yang memualkan.

Satu minggu berlalu. Tiada apa-apa yang berlaku. Mungkin Mat Sham sudah lupa apa yang kami lakukan.

Aku merasa surat kami tidak mendapat layanan. Tutup cerita.

Sepuluh hari kemudian pada hari Rabu kelas aku tamat pada pukul satu tengah hari. Aku menapak pulang ke hostel.

Aku ternampak kereta Cikgu Asli terletak di tepi tangga asrama. Aku merasa hairan. Pasti ada sesuatu yang berlaku.

Cikgu Asli ialah guru yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga asrama, guru pengawal asrama.

Biasanya Cikgu Asli yang juga kami panggil Bosseh akan datang melawat asrama pada waktu malam.

Kebiasaan Bosseh akan datang dengan isterinya Cikgu Fatimah ke asrama. Mereka datang sesudah selesai menonton filem di Ruby Theatre.

Cikgu Fatimah akan duduk dalam kereta dan Bosseh akan masuk ke bilik bacaan.

Atau Bosseh akan terus ke bilik tidur untuk memastikan semua pelajar sedang membaca atau membuat kerja sekolah di bilik bacaan.

Hari ini Bosseh sampai tengah hari. Apa yang berlaku? Aku tertanya-tanya.

Kemudian dari jauh aku nampak Bosseh bercakap dengan Mat Tahir rakan sekelas dengan aku. Mat Tahir sampai lebih awal. Kemudian Bosseh beredar. Kereta Cikgu Asli meluncur pergi.

“Ada apa Mat? Bosseh nak apa?” Aku bertanya.

“Ada berita hostel kita dalam surat khabar hari ini.” Mat Tahir menjawab ringkas.

Aku berdebar gemuruh bila mendengar ayat “berita hostel kita dalam akhbar hari ini”.

Aku tak tahu apa nak buat. Apakah surat aku muncul di halaman Surat Dari Pembaca di Utusan Malaysia?

Ketika makan tengah hari aku merasa gelisah. Aku menunggu Mat Sham pulang dari SMBT.

Bila Mat Sham muncul di dewan makan aku merasa lega.

Sesudah makan aku berbisik kepada Mat Sham tentang lawatan Bosseh dan kata-kata Mat Tahir.

Kami wajib membaca Utusan Malaysia terbitan hari ini. Hari Rabu kami dibenarkan keluar ke pekan Kuala Klawang.

Lalu aku dan Mat Sham menuju ke kedai Ah Kam untuk membeli akhbar, 20 sen senaskhah.

Dengan tak sabar aku terus mencari halaman Surat Pembaca.

Sahih. Suara “Penghuni Asrama Putera Sekolah Menengah Undang Jelebu” disiarkan. Kami bertepuk tangan. Bangga dengan apa yang kami lakukan.

Kami pulang ke asrama dengan gembira. Akhbar Utusan Malaysia bertukar tangan.

Aku dan Mat Sham gembira tetapi hanya sebentar kerana beberapa jam kemudian satu rombongan “gedebe” datang ke asrama.

Guru Besar Francis Xavier, Cikgu Asli datang bersama Mister Ibrahim, pengerusi jawatankuasa SMUJ.

Juga dua lelaki yang aku rasa bersangkutan dengan YB Lim Kim Kee, wakil rakyat Kuala Klawang.

Mereka berjalan memeriksa asrama kami. Mereka masuk ke bilik tidur, dewan makan, bilik sembahyang, melihat dapur dan berakhir di bilik bacaan.

Aku dan Mat Sham hanya melihat dari jauh apa yang sedang berlaku.

Aku sendiri tidak menyangka surat kami menjemput “para gedebe” ini datang melawat asrama kami.

Esoknya di sekolah SMBT dan SMUJ heboh tentang surat penghuni asrama terbit dalam Utusan Malaysia.

Dalam kelas Form Five Arts, Zulkifli Nordin “class monitor” atau ketua kelas terus menunjukkan tangan bahawa ini pasti kerja aku.

Aku tak berani mengakui kerana aku tidak tahu apa akan terjadi seterusnya. Malah Si Zul ini membawa mulut ke sana sini.

“Sir… Isham write to newspaper.”

Zul menyebarkan berita kepada Mister Tay Puan Loong guru darjah aku. Zul menjadikan aku risau.

Di asrama aku dan Mat Sham tidak banyak buat cerita.

Apa yang sahih semua tangan dan jari menunjukan ke arah aku yang menandatangani “Penghuni Asrama Putera Sekolah Menengah Undang Jelebu”.

Epilog 1:

Cikgu Kamarmahtum ialah kakak kepada gadis Malaysia yang dikurung di London.

Aku bertanggungjawab memecah nama Aishah kepada akhbar Daily Telegraph London melalui wartawan Dean Nelson.

Aku bersama Cikgu Kamar dibawa oleh Daily Telegraph ke London pada 27 November, 2013.

Epilog 2:

Aku tidak menyangka tulisan aku tentang jaringan bola boleh menimbulkan reaksi.

Aku juga tidak menyangka surat dari pembaca membawa impak kepada pihak berwajib.

Epilog 3:

Beberapa minggu setelah surat dari penghuni asrama terbit di Utusan Malaysia Asrama SMUJ menerima pinggan mangkuk baru dan kelengkapan memasak yang baru.

Epilog 4:

Tidak lama selepas surat dari pembaca ini, aku dengar asrama baru akan didirikan untuk Sekolah Menengah Bandar Tinggi.

Hari ini SMBT memiliki asrama mereka sendiri.

Epilog 5:

Asrama Putera SMUJ kini menjadi bengkel Giat Mara. Di mana asrama baru untuk Putera SMUJ aku tidak ada maklumat.

Epilog 6:

Ketika aku menulis tentang jaringan gol dan Asrama SMUJ aku ada terbaca: “Mata Pena Lebih Tajam Dari Mata Pedang”, tetapi aku tidak faham makna sepenuhnya.

Hari ini pada tahun 2022, aku percaya akan ketajaman mata pena.

Tetapi untuk melakukan perubahan sosial dalam zaman digital internet mata pena dan mata pedang wajib berjalan bersama. Tanpa mata pedang, mata pena akan terus tumpul.