- Iklan -
Rencana

25 persoalan berkenaan indeks persepsi rasuah kepada TI-M

Adakah kes rasuah di Malaysia perlu wajar didiamkan untuk meningkatkan nama Malaysia dalam indeks CPI?

Jais Abdul Karim
4 minit bacaan
Kongsi
Pegawai SPRM membuat tangkapan pesalah dalam kes besar melibatkan skandal kartel daging di Malaysia tahun lalu. Gambar: Bernama
Pegawai SPRM membuat tangkapan pesalah dalam kes besar melibatkan skandal kartel daging di Malaysia tahun lalu. Gambar: Bernama

1. Siapakah yang memberi dana untuk penyelidikan indeks ini? Adakah negara yang berada pada kedudukan utama indeks ini antara penyumbang utamanya?

2. 70% daripada hasil penyelidikan CPI bagi Malaysia adalah berkenaan tadbir urus, kebebasan media, politik, hak asasi manusia, perniagaan dan ekonomi negara. Persoalannya, kenapa kajian ini tidak dinamakan sebagai “Indeks Persepsi Governance”?

3. Kebanyakan cadangan penambahbaikan CPI Malaysia oleh TI-M adalah cadangan lama yang sedang dalam proses kelulusan atau persiapan pelaksanaan pada peringkat akhir. Kenapa TI-M tidak cuba membetulkan indeks tersebut berdasarkan pengetahuan dan penglibatan TI-M dalam proses pembuatan dasar tersebut?

4. CPI ini dijadikan penanda aras antarabangsa yang dilaksanakan mengikut kerangka kerja dan konsep berasaskan budaya, sistem sosial, perundangan, norma masyarakat dan pemikiran negara-negara Eropah. Adakah ianya sengaja dijadikan sebagai senjata perang saraf untuk mengambarkan betapa buruknya amalan rasuah di sesebuah negara, termasuk Malaysia?

5. CPI ini langsung tidak mempedulikan segala usaha keras yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa Malaysia dalam memerangi rasuah seperti memperkemaskan perundangan dan pengukuhan institusi SPRM serta peningkatan kes pendakwaan. Apakah CPI ini lebih berminat menanda aras persepsi rasuah dari perspektif politik dan berniat jahat untuk melemahkan kuasa politik parti politik tertentu serta mungkin juga ada dalang di belakang tabir yang mahu mengkhianati negara sendiri dengan mempengaruhi kedudukan teruk CPI Malaysia?

6. Adakah TI-M pernah mengkaji tahap kefahaman responden terhadap proses/kompleksiti pelaksanaan polisi antirasuah di Malaysia terutamanya apabila melibatkan pindaan dalam Perlembagaan Persekutuan?

7. Betulkah terdapat responden yang bergantung semata-mata kepada maklumat di portal online dan berita rasuah di google sahaja? Bukankah “secondary data” di internet biasanya tidak berdasarkan fakta dan lebih cenderung kepada gosip dan khabar angin?

8. Negara China berjaya menjadi kuasa ekonomi terkini dunia yang tidak mengamalkan demokrasi dan juga tidak mempedulikan hak asasi manusia atau CPI ini. Mengapa? Kenapa CPI Negara China tidak bertambah baik walaupun mereka hukum tembak sampai mati pesalah rasuah?

9. Singapura masih mempunyai undang-undang ISA yang kelihatan zalim ke atas hak asasi manusia dan menjadi syurga kepada jenayah penipuan dan kegiatan rasuah “money laundering” berada dalam kedudukan kelima ranking ini. Kenapa?

10. SPRM ambil banyak tindakan agresif dengan menyiasat dan menangkap serta mengumumkan kes-kes mereka di media terutamanya melibatkan orang politik. Tidakkah tindakan ini memberi gambaran bahawa Malaysia benar-benar serius melawan rasuah? Adakah kes-kes ini wajar didiamkan (swept under the carpet) untuk meningkatkan nama Malaysia dalam indeks ini?

11. Kenapa dikaitkan dengan kes-kes yang masih berjalan seperti Skandal Air Sabah dan Littoral Combat Ship (LCS) sebagai faktor penurunan CPI? Sedangkan kes dan siasatan berkenaan masih berjalan dan ada yang dilaporkan media. Harus diingatkan bahawa banyak faktor yang menyumbang kepada perjalanan kes atau siasatan menjadi lebih panjang, namun dapatan TI-M dalam isu ini seolah-olah ingin menunjukkan tiada kemajuan langsung.

12. Dalam isu Skandal Air Sabah, dapatan TI-M hanya melihat sudut operasi iaitu perjalanan kes terhadap OKT, sedangkan SPRM telah mengambil tindakan memperbetulkan sistem dan prosedur dalam JANS untuk menutup ruang dan peluang rasuah supaya isu ini tidak berulang. Ini adalah pelan tindakan jangka masa panjang. Bukankah perkara seperti ini sepatutnya menambahkan keyakinan masyarakat sekaligus meningkat CPI Malaysia?

13. Kes SRC dan 1MDB juga merupakan perbicaraan yang sedang berjalan dan umum mengetahui mengenainya. Jadi kenapa masih dikaitkan sebagai perkara yang menyumbang kepada kejatuhan CPI? Sekiranya perjalanan kes rasuah di mahkamah dikatakan antara faktor turun naik CPI, kenapa semasa penarikan balik kes banglo Lim Guan Eng (LGE) pada tahun 2018 namun CPI pada tahun tersebut kekal dengan skor 47 berbanding tahun sebelumnya tanpa penurunan. Begitu juga pada tahun lalu (2021) terdapat pertuduhan terhadap individu berprofil tinggi seperti LGE dan Syed Saddiq, namun CPI tetap turun, sepatut boleh meningkatkan CPI?

14. Bagi isu transformasi institusi melibatkan isu pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM dan transformasi SPRM, perkara tersebut adalah peruntukan baharu dan memerlukan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dengan sokongan dua pertiga ahli Parlimen bagi membolehkan pindaan itu dilaksanakan. Perkara ini juga merupakan proses yang sedang berjalan dan memerlukan political will, jadi adakah adil isu ini dikatakan menjadi antara faktor penurunan CPI Malaysia?

15. Isu Akta Pembiayaan Dana Politik juga merupakan perkara yang memerlukan sokongan penuh daripada Ahli Parlimen, adakah selagi perkara ini tidak berlaku maka CPI Malaysia akan terus merudum?

16. Bukankah Malaysia telah menubuhkan GIACC dan NFCC serta mempunyai Pelan Antirasuah Kebangsaan (NACP) yang terbaik didunia dan sedang dilaksanakan dengan agresif dan kerajaan juga sering melaungkan komitmen mereka untuk melawan rasuah? Adakah ianya belum cukup baik untuk meningkatkan indeks CPI ini?

17. Adakah parti politik yang memerintah menjadi salah satu ukuran bahawa CPI kita bagus dan akan melonjak seperti yang berlaku pada tahun 2018/2019 dahulu?

18. Kenapa keadaan budaya dan sosio ekonomi yang berbeza antara Eropah, Asia dan Afrika diletakkan dalam “raga” kumpulan yang sama dalam penilaian indeks ini? Adakah adil membandingkan negara maju, negara membangun dan negara dunia ketiga dalam satu penyelidikkan yang sama?

19. Bukankah kaedah membandingkan “epal” dengan “oren” akan memberikan keputusan penilaian yang sangat tidak tepat? Sebagai contoh, membandingkan Denmark dan Somalia berdasarkan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi (inflasi dan kadar pengangguran) dan lain-lain sedangkan semua faktor ini adalah penyumbang utama kepada berlakunya rasuah.

20. Adakah TI ada bercadang untuk melaksanakan CPI khusus mengikut acuan Asia/Asean atau khusus untuk negara Islam bagi memberikan keputusan yang lebih adil kepada negara Asia dan juga negara Islam yang lain?

21. Apakah kes baru rasuah yang besar di Malaysia menyebabkan CPI Malaysia jatuh? Masihkah SRC dan 1MDB menjadi punca setelah hampir lima tahun berlalu? Bukankah kejayaan tindakan mengembalikan semula harta kes ini serta keputusan bersalah di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sepatutnya meningkatkan CPI Malaysia?

22. Apakah kesannya kepada Malaysia jika kita tidak lagi mahu ambil tahu atau ambil berat CPI ini? Apakah ada agenda untuk memburukkan negara-negara Asia dan Islam seperti Malaysia?

23. Adakah TI-M bersetuju bahawa manifesto jelas berkenaan agenda antirasuah parti politik yang bertanding di Malaysia akan membantu meningkatkan CPI walaupun kemudiannya gagal atau sengaja tidak melaksanakannya?

24. Mengapakan tiada penjelasan yang telus tentang ketidakterlibatan Brunei dalam laporan CPI 2021? Apakah justifikasi penyertaan negara baru seperti Cote d’ivoire dalam laporan terkini? Apakah punca atau kriteria pengecualian dan penyertaan setiap negara-negara ini? Atau “by default”, setiap negara akan dinilai sekiranya tiada bantahan dikemukakan untuk tidak dinilai bagi CPI tahun mendatang?

25. Daripada isu-isu yang dibangkitkan ini, dikhuatiri soalan-soalan dalam kajian yang dilakukan merupakan “leading question” yang mendorong responden kepada perkara-perkara negatif berkenaan Malaysia?

Jais Abdul Karim adalah presiden NGO Pemerhati Rasuah Malaysia.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow