- Iklan -
Kolum

Kini Nusantara jadi nama ibu negara

Perkataan Nusantara mempunyai keistimewaan bagi orang Indonesia dan Malaysia tetapi membawa maksud berbeza bagi kedua-dua rakyat negara itu.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Indonesia mengumumkan ibu negara barunya akan bernama Nusantara.

Kota yang akan didirikan di wilayah atau provinsi Kalimantan Timur itu bakal menggantikan Jakarta.

Maka Nusantara akan digunakan untuk merujuk ibu kota baru Indonesia itu saja dan tidak pada perkara lain.

Asal perkataan Nusantara adalah dari kata-kata Mahapatih Majapahit, Gajah Mada yang berkuasa pada kurun ke-14.

Walaupun pusat pemerintahan Majapahit adalah di Jawa tetapi kekuasaannya banyak wilayah di kepulauan sekitarnya termasuk Temasek iaitu Singapura dan juga Semenanjung Melayu.

Mahapatih bermaksud bendahara, iaitu semacam perdana menteri.

Walaupun Gajah Mada bukan seorang raja tetapi beliaulah yang mempunyai kuasa dan berperanan besar menjadikan Majapahit sebagai sebuah empayar agung.

Gajah Mada membahagikan empayar Majapahit kepada dua, Jawa dan Nusantara.

Segala wilayah di luar Jawa dipanggil Nusantara.

Nusa membawa maksud negeri.

Walaupun Nusantara diterjemahkan sebagai gugusan pulau-pulau tetapi ia juga bermaksud negeri.

Dalam pandangan dunia Majapahit, pulau dan negeri adalah serupa.

Perkataan nusa sudah menjadi sebahagian daripada bahasa Melayu Indonesia dan Malaysia.

Frasa “untuk nusa dan bangsa” yang berasal dari Indonesia juga turut digunakan dalam Bahasa Malaysia.

Indonesia juga menamakan Kepulauan Sunda Kecil sebagai Nusa Tenggara iaitu negeri-negeri yang berada di Indonesia tenggara.

Begitu juga dengan perkataan antara.

Agensi berita Indonesia bernama Antara.

Di Malaysia, istilah antarabangsa juga digunakan sejak sebelum merdeka lagi.

Jadi, dari maksud asal yang diterbitkan oleh Majapahit, Nusantara merujuk kepada pulau-pulau di luar Jawa.

Maknanya Nusantara tidak termasuk Jawa.

Ada satu lagi istilah yang merangkumi kedua-dua Jawa dan Nusantara.

Istilah itu adalah Kepulauan Sunda. Ia terbahagi dua.

Kepulauan Sunda Besar yang merujuk kepada Sumatera, Jawa, Kalimantan dan Sulawesi.

Kepulauan Sunda Kecil pula terdiri daripada Nusa Tenggara termasuk pulau Timor di mana terletaknya Timor Timur atau Timor Leste.

Semenanjung Malaysia, Singapura dan Thailand Selatan tidak termasuk dalam Kepulauan Sunda.

Begitu juga dengan Kepulauan Maluku dan pulau Papua.

Perkataan Nusantara mempunyai keistimewaan bagi orang Indonesia dan Malaysia tetapi membawa maksud berbeza bagi kedua-dua rakyat negara itu.

Bagi orang Malaysia, Nusantara merujuk kepada suatu rantau yang didiami oleh kaum-kaum rumpun Melayu di Asia Tenggara.

Rumpun Melayu di sini bermaksud kaum-kaum yang bertutur bahasa Melayu atau berkaitan dengannya.

Maka wilayah Nusantara ini meliputi Thailand Selatan, Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei.

Sejak tahun 1980-an, perkataan Nusantara dipopularkan oleh sasterawan, seniman dan budayawan Malaysia.

Ia lebih banyak digunakan dalam bidang kebudayaan bagi merujuk bentuk seni yang berasal dari Malaysia dan Indonesia.

Ini kerana kedu-dua negara berkongsi budaya dan kesenian yang tidak mengenal batas politik.

Ini kerana batas politik itu hanyalah berasal daripada perjanjian antra Belanda dan British.

Maka timbul istilah Balada Nusantara.

Penyanyi tersohor Malaysia yang berasal dari Singapura, M Nasir pernah mendendangkan lagu bernama Nusantara.

Tetapi istilah Nusantara mula dipopularkan di Malaysia oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1970-an melalui majalah-majalahnya terutama Dewan Sastera.

Malah ia menerbitkan jurnal ilmiah bernama Nusantara bagi menyiarkan artikel-artikel berkaitan Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei.

Pertama kali saya terjumpa perkataan Nusantara adalah pada awal tahun 1970-an.

Ia disiarkan oleh majalah Time dalam suatu tajuk iklan besar pelancongan yang dibuat oleh agensi pemerintah Indonesia.

Tulisan Nusantara yang besar itu dipaparkan bersama gambar Presiden Suharto.

Iklan itu disiarkan berulangkali oleh majalah itu.

Bagi orang Indonesia, perkataan Nusantara hanyalah nama alternatif bagi negara mereka.

Ia tidak melibatkan Malaysia ataupun Brunei.

Ketika sebelum kemerdekaan Indonesia, ada perbincangan mengenai nama negara itu.

Semasa penjajahan Belanda, Indonesia bernama Hindia Timur Belanda.

Jadi Nusantara adalah salah satu nama yang dicadangkan.

Nusantara merupakan istilah tempatan sedangkan Indonesia adalah perkataan yang berasal dari Greek, bermaksud pulau-pulau India.

Dalam kerangka pandangan Barat, Asia Tenggara dianggap sebagai India Timur, iaitu rantau yang terletak di sebelah timur kepada India. Sementara India Barat adalah atau Amerika Tengah.

Pengasas-pengasas Indonesia melalui suatu jawatankuasa penggubal Perlembagaan yang turut dianggotai oleh seorang tokoh nasionalis, Muhammad Yamin akhirnya memilih perkataan Indonesia sebagai nama rasmi negara mereka.

Selain daripada ia bersifat antarabangsa, perkataan Indonesia juga menegaskan bahawa ia mewarisi semua wilayah Hindia Timur Belanda, dari Sumatera hinggalah ke Papua Barat.

Pada awal kemerdekaan, Belanda enggan melepaskan Papua Barat kepada Indonesia.

Sedangkan perkataan Nusantara boleh membawa maksud kawasan yang turut meliputi Malaya, Singapura Sarawak, Brunei dan Sabah.

Pada awal kemerdekaan, Indonesia tidak berhasrat untuk meliputi penguasaannya ke atas tanah jajahan British di Asia Tenggara walaupun nama Indonesia bagi keseluruhan pulau Borneo adalah Kalimantan.

Maka pada zaman Sukarno, Sarawak, Brunei dan Sabah dinamakan sebagai Kalimantan Utara.

Tetapi pada zaman Suharto, Kalimantan Utara adalah nama sebuah wilayah Indonesia yang tiada kaitan dengan Sarawak, Brunei atau Sabah.

Walaupun nasionalis Indonesia tidak berminat terhadap Malaya kerana tumpuan mereka hanyalah pada tanah jajahan Belanda, tetapi pejuang-pejuang kemerdekaan Tanah Melayu pada peringkat awal mendokong penyatuan Malaya dan Indonesia.

Mereka adalah dari kalangan Kesatuan Melayu Muda (KMM), sebelum Perang Dunia Kedua dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) selepas perang itu.

Malah pemimpin KMM mengadakan pertemuan dengan Sukarno di Taiping dalam perjalanan pulang mereka dari Vietnam selepas pertemuan dengan pemimpin Jepun.

Sukarno mendapat mandat mereka untuk kemerdekaan Indonesia, tetapi ia tidak meliputi Malaya.

Para pemimpin Indonesia tidak berminat terhadap Malaya kerana tumpuan mereka adalah kepada mempertahankan Indonesia daripada Belanda dan British yang mahu menakluk semula Indonesia.

Ketika itupun pemimpin KMM dan PKMM tidak menggunakan istilah Nusantara bagi merujuk pada gabungan Indonesia-Malaya.

Mereka menggunakan istilah Melayu Raya.

Maksudnya ialah kalau Melayu, ia hanya merujuk pada Tanah Melayu tetapi apabila Melayu Raya ia meliputi seluruh bekas tanah jajahan Belanda dan British di Asia Tenggara.

Tetapi ada sarjana Barat yang menamakan Melayu Raya ini sebagai Malaysia.

Ia merupakan panggilan geografi, dan bukannya entiti, lama sebelum gagasan Persekutuan Malaysia dikemukakan.

Tetapi Malaysia yang juga disebut sebagai Malay Archipelago atau Gugusan Kepulauan Melayu turut meliputi Filipina.

Bagaimanapun nasionalis Filipina, Jose Rizal menyebut Malayan Nation untuk merujuk keseluruhan tanah-tanah jajahan Belanda, British dan Sepanyol di Asia Tenggara.

Sebaik saja nama Malaysia diambil bagi menamakan entiti politik bekas tanah-tanah jajahan British di Asia Tenggara, istilah itu tidak lagi digunakan oleh para sajana untuk merujuk kepada rantau Kepulauan Melayu bagi mengelak kekeliruan.

Ia bermakna istilah Malaysia telah diperkecilkan menjadi hanya nama sebuah negara di rantau itu.

Begitu juga dengan nasib perkataan Nusantara.

Daripada suatu perkataan yang merujuk kepada suatu rantau besar, Nusantara sudah menjadi hanya sebuah nama bandar raya walaupun ia merupakan ibu kota sebuah negara besar.