- Iklan -
Kolum

AKC wayang Gurkha

Wayang AKC di kem Gurkha ini menjadi tarikan bulanan untuk warga Kuala Klawang.

Hishamuddin Rais
7 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Kem Gurkha di tepi pekan Kuala Klawang ini dikawal ketat. Orang awam atau “civilian” tidak dibenarkan masuk.

Malah pintu utama di sebelah kubu tercegat berdiri satu atau dua orang tentera Gurkha yang siap siaga dengan senjata.

Mata tentera ini liar memerhati setiap sosok awam yang lalu di hadapan kubu.

Pegawai Inggeris, guru dan anak-anak sekolah yang memakai pakaian seragam agak bebas melintas di sebelah kubu Gurkha.

Tapi aku sudah beberapa kali masuk ke dalam kem Gurkha ini.

Begini ceritanya. Kem Gurkha ini semuanya lengkap. Di bawah gaung di sebelah kem ialah tempat masak-memasak.

Pernah aku ternampak beberapa ekor kambing terikat di kawasan dapur. Ini mungkin untuk sambutan Hari Raya Gurkha.

Aku rasa di gaung ini juga ada kuil mereka. Dari apa yang aku tahu, orang Gurkha ini beragama Hindu.

Aku dan kawan-kawan bila kami ternampak kambing-kambing yang terikat, kami akan bersembang tentang parang Gurkha.

Cerita yang selalu aku dengar ialah parang Gurkha yang digelar “kukri”, amat tajam.

Leher kambing akan putus dengan sekali cantas. Begitu juga leher Cina Komunis. Ini “urban legend” yang aku dengar.

Aku hanya mendengar cerita atas cerita.

Parang Gurkha yang dikatakan amat tajam ini belum pernah aku lihat. Jauh sekali memegangnya.

Luas kawasan kem Gurkha ini mungkin hampir tiga ekar. Semua tentera tidur dalam khemah.

Kawasan khemah ini di pagar oleh kawat berduri. Kawasan gaung dapur terpisah dari kawasan khemah tidur oleh jalan ke sekolah Government English School (GES).

Ada dua pintu. Pintu utama di mana kereta dan lori boleh masuk dan pintu belakang untuk pejalan kaki.

Di pintu belakang ada pondok kawalan untuk satu sosok duduk atau berdiri dari hujan dan panas.

Mungkin 10 orang tentera atau lebih tinggal dalam satu khemah. Ini aku tidak pasti.

Jumlah tentera mungkin lebih daripada 500 orang. Ketua kem ini Orang Putih. Apa pangkatnya aku tidak pasti.

Khemah mereka dari kain kanvas kelabu yang tebal dan kalis air. Di atas bumbung khemah ini dibubuh pula perca kain celoreng hijau seakan-akan mereka dalam hutan belantara.

Semua keperluan tentera ini boleh didapati dari dalam kem.

Sesekali aku ternampak juga satu dua Gurkha masuk ke dalam pekan Kuala Klawang.

Kadang-kadang mereka ke pekan berkumpulan, empat hingga lima orang.

Pakaian mereka kemas, baju putih dan berseluar gelap.

Warna kulit Gurkha ini sama seperti kulit Melayu. Mungkin sedikit hitam.

Ada juga Gurkha yang aku lihat berkulit hitam bermata sepet seperti mata orang Cina.

Waktu petang aku selalu nampak Gurkha bermain bola sepak dan kriket di padang Kuala Klawang di hadapan rumah pasung.

Bagaimana aku dapat masuk ke dalam kemah yang dikawal rapi?

Jawabnya ialah wayang.

Aku mengenali wayang sebelum masuk ke sekolah lagi.

Aku diperkenalkan alat memutar wayang atau “projector” oleh Pak Teh Amat.

Sosok ini bertanggungjawab mendekatkan aku pada seni bayang bergerak.

Pak Teh Amat ini berkahwin dengan Mat Teh Kiteh, yang menjadi isteri keduanya.

Mak Teh Kiteh orang Kampung Chenor, kaum kerabat aku.

Pak Teh Amat ini sebulan sekali pasti akan datang dari Kuala Lumpur ke Kuala Klawang.

Dia bekerja dengan Army Kinema Cooperation (AKC). Ibu pejabat AKC di Kuala Lumpur.

Oleh kerana dia membawa wayang AKC, maka kami panggil Pak Teh Amat sebagai Pak Teh Akc.

Pak Teh Akc akan datang dengan van berwarna biru tua yang terpampang logo AKC di badan.

Pak Teh Akc akan datang dengan anaknya Abang Ali, anak muda yang baru masuk 20-an.

Dalam van ini ada alat projector untuk memutar dan menayangkan filem.

Tugas Pak Teh Akc ialah melawat dari kem ke kem di Selangor dan Negeri Sembilan untuk menayangkan wayang gambar kepada tentera Inggeris, askar Melayu dan tentera Gurkha.

Aku rasa kem Gurkha tidak banyak. Di Seremban ada satu yang dikenali dengan nama Sikamat Kem.

Aku ingat lagi kali pertama Pak Teh Akc datang melawat rumah kami di belakang Sekolah Melayu Kuala Klawang.

Pak Teh dan Abang Ali menziarah emak aku.

Abah aku ketika itu tidak ada di rumah.

Abah sedang bertugas sebagai Special Constable (SC), menjaga ladang getah orang Inggeris.

Sebelum beredar Pak Teh Akc mempelawa aku menonton filem dalam kem Gurkha.

Emak aku bersetuju dan aku cukup gembira.

Petang itu sebelum masuk ke kem, Pak Teh Akc membawa kami ke Kedai Kopi Ah Fook.

Kedai kopi ini dalam pekan. Kedai kopi ini terbuka tanpa atap tetapi bukan warung.

Cuma Ah Fook, tuan empunya kedai tidak membuat bangunan walaupun kedainya terletak di bahagian akhir di sebelah bangunan kedai dua tingkat berdinding batu.

Dalam Kedai Kopi Ah Fook inilah kali pertama aku bertemu dengan kek kismis berwarna coklat.

Kek kismis ini sentiasa ada di atas meja dalam mangkuk kaca. Harganya 20 sen sekeping. Petang itu aku minum teh susu dengan kek kismis.

Kedai Ah Fook ini tidak jauh dari kem Gurkha.

Selesai minum kami meluncur dengan van masuk ke kem. Tentera yang berkawal sudah kenal akan van AKC, maka kami masuk tanpa halangan.

Wayang AKC wayang pacak. Abang Ali memasang kain putih di tepi pagar menghala ke jalan raya.

Di sebelah jalan raya, orang ramai, warga Kuala Klawang boleh menonton wayang yang sama.

Menonton terbalik, yang kiri ke kanan yang kanan ke kiri.

Tentera Gurkha menonton dari dalam kem.

Aku perhatikan bagaimana Pak Teh bekerja. Cara dia memasang filem dari satu lubang ke satu lubang.

Cahaya dipancarkan ke atas talian nipis “celluloid” dan diarahkan ke kain putih.

Muncul bayang-bayang bergerak.

Kemudian Pak Teh memusing tiub laluan cahaya untuk memastikan bayangan ambar tidak kabur.

Abang Ali memasang dan mengangkat alat pembesar suara agar orang awam penonton yang di luar kem pun dapat mendengar.

Wayang ini cerita Hindustan. Aku hanya melihat gambar bergerak.

Kata bual dan jalan cerita aku tidak tahu.

Bila babak nyanyian, tarian atau bergaduh tembak menembak mata aku terbuka luas.

Jika filem terputus maka penonton di luar kem akan bersorak.

Dalam van Pak Teh dengan pantas akan menyambung celluloid filem ini.

Hampir jam 10 tayangan selesai.

Pak Teh menghantar aku pulang. Pak Teh Akc terus beredar pulang ke rumah Mak Teh Kiteh di Kampung Chenor.

Wayang AKC di kem Gurkha ini menjadi tarikan bulanan untuk warga Kuala Klawang.

Mereka akan tertanya-tanya bila tayangan AKC akan datang sekali lagi.

Wayang AKC ini ramai peminat.

Kaum keluarga mata-mata yang berek kediaman mereka tidak jauh dari kem juga akan datang.

Warga Cina yang duduk dalam pekan datang sama menonton. Orang kampung penduduk di sekitar Kuala Klawang jika mereka tahu, akan datang sama.

Ketika menonton orang awam duduk di tanah lapang di seberang jalan di luar kem.

Ada beberapa kali aku masuk kem mengikut Pak Teh Amat Akc.

Semuanya wayang Hindustan yang diputar oleh Pak Teh Akc untuk tentera Gurkha.

Aku ingat lagi pernah satu kali aku menonton wayang di rumah Mak Teh Kiteh. Anjung rumah Melayu kampung ini dijadikan panggung wayang. Tingkap ditutup rapat.

Dinding papan yang berlubang ditutup dengan kain perca.

Penonton duduk bersila menonton.

Pertunjukan “spesial” untuk orang Kampung Chenor ini dilakukan sesudah Pak Teh Amat Akc selesai menjalankan tugas di kem Gurkha di Kuala Klawang.

Dengan menggunakan bateri dari kereta, maka wayang Hindustan dapat diputar untuk hiburan pak long, mak long, kak cik, makcik dan sanak saudara di Kampung Chenor.

Selain dari wayang AKC Hindustan, ada satu lagi yang amat menarik tentang tentera Gurkha ini.

Tentera Gurkha ini memiliki satu pancaragam atau “military band”.

Semua warga Jelebu tahu tentang pancaragam Gurkha ini.

Dalam setahun ada tiga atau empat kali pancaragam Gurkha ini akan mengadakan pertunjukan untuk orang awam di padang Kuala Klawang.

Ini lebih hebat dan lebih ramai penonton dari wayang AKC.

Biasanya satu dua hari sebelum pertunjukan, warga di sekitar Kuala Klawang sudah tahu.

Tandanya cukup senang. Akan ada kain cadar putih diletak di tengah padang.

Ini ertinya ada sesuatu akan berlaku di atas padang.

Kali pertama aku melihat pancaragam Gurkha ini amat menakjubkan.

Aku rasa dalam 50 orang tentera yang mengambil bahagian. Mereka berbaris dengan pakaian seragam dan membawa alat muzik.

Ada gendang, trompet, serunai, tabuh, geduk tembaga dan paling menarik di barisan belakang ada serunai dalam beg dari Scotland.

Di barisan akhir ada tiga orang berselempang dengan kulit harimau.

Kepala pancaragam yang mengetuai perarakan ini berdiri seorang diri di hadapan dengan cokmar logam di tangan.

Cokmar ini akan diguna sebagai juru arah untuk pancaragam ini berkawat ke hadapan atau berpusing ke kiri atau ke kanan.

Paling menarik untuk penonton ialah apabila cokmar ini dibalingkan ke udara kemudian dengan cekap disambut kembali dengan sebelah tangan oleh kepala pancaragam.

Babak membaling cokmar ini dilakukan beberapa kali. Setiap kali dilakukan ianya ini akan mendapat tepuk tangan dan sorak sorai kegembiraan orang ramai.

Pancaragam Gurkha ini akan berkawat berpusing-pusing di atas padang.

Lebih dari satu jam pertunjukan berjalan. Budak Cina, Keling dan Melayu, jantan dan betina menebeng di tepi padang melihat pancaragam Gurkha

Aku yang masih belum sekolah mencelah-celah di belakang pak cik dan Ah Soo , di celah Ah Chong dan Muthu, mencari tempat strategik untuk melihat pertunjukan “band Gurkha”.

Aku merasa puas hati dan gembira dengan adanya Gurkha di Kuala Klawang.

Awas! Setiap kali aku melintas depan padang aku wajib memberi perhatian yang rapi.

Ini kerana ada satu lagi tanda yang wajib aku beri perhatian, kain cadar tebal berwarna terbentang.

Budak-budak di Kuala Klawang, anak-anak polis dan budak sekolah semua tahu makna kain cadar ini.

Kain cadar berwarna ini dipasang waktu pagi.

Siapa memasang aku tak pernah nampak. Aku hanya melihat sesudah ianya terbentang.

“Woit… ada helikopter nak turun petang ini.” Suara budak-budak ini akan kedengaran.

Petang itu sekali lagi Kuala Klawang berpesta.

Kali ini melihat helikopter turun. Aku tak tahu helikopter ini datang dari mana.

Orang-orang kampung akan menebeng berdiri atau duduk di gigi padang.

Dari jauh lagi helikopter ini akan berpusing untuk turun di atas padang.

Bila helikopter ini hampir mencecah padang – songkok, ketayap, topi dan kain sarung semuanya terbarai ditiup putaran angin dari kipas helikopter.

Aku pernah ternampak seorang pakcik terkejar-kejar kerana songkok ditiup angin.

Paling bahaya ialah perempuan Melayu. Putaran angin dari kipas helikopter ini boleh mengangkat ke atas kain sarung yang dipakai.

Kes kain sarung perempuan Melayu tersingkap ini tak pernah aku lihat berlaku di padang Kuala Klawang.

Tapi cerita kain sarung perempuan diterbangkan helikopter sering tersebar setiap kali helikopter turun di padang.

Setiap kali aku lihat yang keluar dari badan helikopter ini ialah Tuan Orang Putih.

Dia memakai pakaian seragam hijau.

Memakai topi berlidah dan sebatang tongkat di celah ketiak.

Bersama Tuan Orang Putih ini ada tentera pengiring dua orang.

Satu membawa beg jinjing. Dari tepi padang yang agak jauh aku tak pasti dua tentera pengiring ini Melayu atau Gurkha.

Turun saja dari helikopter dia disambut oleh Tuan OCPD dan Komandan Kem Gurkha.

Mereka bergerak menuju ke rumah pasung di atas bukit di tepi padang. Siapa lagi yang ada menunggu di sana aku tidak tahu.

Aku dan orang ramai masih menunggu lagi di padang. Tadi melihat helikopter turun. Sebentar lagi akan melihat helikopter naik.

Kurang lebih satu jam rombongan Tuan Orang Putih datang kembali ke padang.

Enjin helikopter dihidupkan kipas mula berpusing.

Kali ini sampah sarap di sekeliling padang akan berputar-putar bertaburan naik ke udara.

Aku mendongak ke langit melihat helikopter dari awal ianya besar kemudian mengecil dan semakin kecil dan akhirnya hilang dari pandangan.

Kami yang ditinggalkan oleh helikopter di tepi padang Kuala Klawang mulla bergerak pulang ke rumah segera.

Kami masih lagi dalam darurat.