Saturday, May 21, 2022

Peningkatan harga pasti berlaku pada 2022

Kos barang mentah seperti sayur, ikan dan daging serta kos pengangkutan sudah meningkat.

Other News

“Maaf ya, Selepas Tahun Baru Cina, semua mee sup kita naik 50 sen ke RM7 semangkuk. Terpaksa, semua sayur, udang naik harga,” kata peniaga mee sup di Shah Alam.

“Semua kopi O sekitar kopitiam ini dah naik 40 sen, dari RM1.60 ke RM2.00 secawan. Saya belum naik. Tapi nampaknya terpaksa naik juga selepas Tahun Baru Cina sebab semua harga dah mahal,” kata seorang pengusaha restoran sup ikan di Johor Jaya.

Masalah yang dihadapi kedua-dua peniaga ini sama.

Kos barang mentah seperti sayur, ikan dan daging serta kos pengangkutan sudah meningkat.

Mereka terpaksa menaikkan harga untuk meneruskan perniagaan.

Pada masa sama, para pekerja mereka juga mengeluh mengenai kehidupan yang semakin susah kerana kenaikan harga lalu memohon pertambahan gaji.

Namun, mereka tidak boleh menaikkan gaji pekerja pada waktu ini.

Ini kerana harga baru menu mereka hanya untuk mengimbang kenaikan kos barang mentah.

Jika mereka menaikkan gaji pada waktu yang sama juga, maka mereka terpaksa menaikkan harga pada kadar yang lebih tinggi untuk meneruskan kehidupan.

Jika ini berlaku, mereka risau restoran mereka diboikot kerana kenaikan harga yang terlalu mendadak akan menyebabkan para pelanggan merasakan tidak berbaloi untuk berbelanja di restoran mereka.

Ini berisiko menggagalkan tujuan asal untuk menaikkan harga.

Bukan sahaja ia tidak berjaya membantu mendapatkan pulangan yang diharapkan untuk mengimbangi kos, sebaliknya ia boleh menyebabkan perniagaan semakin merosot yang menjejaskan aliran tunai.

Bukan ini sahaja yang perlu difikirkan, mereka juga risau akan reaksi para pekerja mereka.

Apakah para pekerja mereka akan mencari kerja lain kerana kecewa tidak dinaikkan gaji?

Jika mereka kehilangan pekerja semasa kerana enggan menaikkan gaji, apakah mereka mampu mendapatkan pekerja baru pada tahap gaji yang lama di dalam masa yang singkat?

Persoalan lebih besar ialah apakah mereka mampu mendapat sebarang pekerja pada waktu ini?

Bagaimana pula dengan operasi perniagaan sekiranya “top performer” mereka memilih untuk berhenti kerana tidak puas hati?

“If you don’t take care of your top performer, someone else will,” itulah peringatan yang diberikan oleh pengusaha mee sup ketika kami sempat berbual.

Itulah dilemma-dilemma yang sedang dihadapi kebanyakan bos pada tahun 2022.

Kepada semua bos yang masih bertahan perniagaannya di dalam ancaman Covid-19 ini, kita harus semua memberikan satu tepukan gemuruh kepada mereka.

Syabas dan semoga dimurahkan rezeki.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles