- Iklan -
Kolum

Simpang Pertang dibom

Dalam kepala tergambar kedai-kedai papan di Simpang habis runtuh kena bom. Mungkin juga terbakar.

Hishamuddin Rais
8 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Ingatan itu masih jelas lagi. Hanya aku tak ingat ketika itu umur aku berapa.

Mungkin empat tahun atau mungkin juga lima tahun. Tapi yang aku pasti ketika itu Cikgu Zaleha Sidek mengajar di Sekolah Tapak. Keluarga kami duduk di rumah guru.

Di sebelah kiri di hadapan rumah guru ialah pokok kuinin. Pokok ini menjadi tanda permulaan padang sekolah.

Di hadapan padang sekolah ialah kolam ikan yang bersempadan dengan kebun tebu, kebun sayur, rumah dan kedai runcit milik Haji Hasan dan isterinya Sawi.

Di belakang sebelah kiri sekolah ialah kawasan kampung. Di sebelah kanan ialah kebun getah yang membawa masuk ke hutan rimba dara tropika yang aku tak berani meneroka. Aku hanya melihat dari jauh.

Dari hutan rimba bukit bukau ada air terjun kecil yang akhirnya menjadi laluan sebatang anak sungai yang melintas di belakang rumah kami. Anak sungai ini mengalir masuk ke Batang Muar.

Tidak jauh dari sekolah ialah gedung mesin padi yang memberi khidmat untuk penanam padi di sekitar Tapak, Majau, Tengkek dan Kampung Tengah.

Di sebelah mesin padi Kedai Amat, kedai runcit yang memberi khidmat kepada orang Tapak. Juga sebuah kedai kopi.

Jauh di hadapan rumah aku dan sekolah ialah kawasan sawah padi dan kawasan kampung.

Pada waktu petang jika aku duduk di atas tangga batu rumah, aku nampak kawasan padi luas terbentang.

Sawah-sawah ini di sempadani oleh hutan hijau yang semakin jauh semakin meninggi menjadi bukit bukau hutan rimba bergunung ganang. Warna gunung ganang ini berubah menjadi biru.

Mengikut emak aku di belakang bukit bukau gunung ganang ialah Simpang Pertang dalam daerah Jelebu.

Aku tahu sangat Simpang Pertang. Setiap kali keluarga kami pergi melawat Wan Timah di Kampung Chenor di Jelebu, kami akan melintas Simpang dan Pertang dari Batu Kikir.

Ada dua pekan kecil, Simpang dan Pertang yang jaraknya tujuh batu antara satu dengan lain.

Simpang ialah simpang pertemuan tiga jalan dari Kuala Klawang. Kiri ke Karak, Pahang. Kanan ke Batu Kikir di Kuala Pilah.

Manakala Pertang jalan simpang ke Kampung Geylang, perkampungan Melayu dan Sakai.

Pertang dan Simpang kampung penempatan orang Cina yang menjadi pekan kecil dengan sederet kedai papan.

Apa yang menonjol di Pertang dan Simpang ialah rumah pasung yang besar dan ramai mata-mata terang dan mata-mata gelap.

Dua daerah ini adalah kawasan panas. Wilayah ini termasuk dalam daerah operasi gerila Tentera Pembebasan Rakyat Malaya di bawah pimpinan Parti Komunis Malaya (PKM).

Kawasan ini di kawal rapi oleh tentera Gurkha dari pekan Kuala Klawang.

Ketika aku membesar di Tengkek dan Jelebu, aku tidak menyedari bahawa ketika aku memerhati sekeliling dan merakamkan babak-babak ini untuk menjadi ingatan, Tanah Melayu dalam darurat.

Kuasa kolonial Inggeris mengisytiharkan darurat ke atas Tanah Melayu pada 16 Jun 1948, tiga tahun sebelum aku lahir. Ini menjadikan aku “Anak Darurat” dan “Anak Kolonial Inggeris”.

Aku tidak faham apa yang sedang berlaku di sekeliling aku. Hakikatnya semua kejadian adalah manifestasi dari darurat.

Rumah Cikgu Zaleha ada radio bateri basah. Satu hari aku terdengar warta berita jam 1.00 tengah hari dari Radio Malaya Kuala Lumpur.

Berita dari radio melaporkan tentera udara Inggeris mengebom Simpang Pertang.

“Mak … bom tu sampai ke kampung Chenor ke?” Aku bertanya kerana Kampung Chenor hanya belasan batu dari Simpang Pertang.

“Bom dalam utan. Orang Putih bom komunis.” Emak aku memberi penjelasan.

Petang itu aku duduk di tangga. Mata aku mengarah ke gunung ganang biru, mengarah ke Simpang Pertang.

Aku memandang ke langit dengan harapan akan ternampak kapal terbang yang sedang menggugurkan bom.

Harapan aku ini bersandarkan berita dari Radio Malaya.

Dalam kepala tergambar kedai-kedai papan di Simpang habis runtuh kena bom. Mungkin juga terbakar.

Aku belum pernah melihat gambar kampung kena bom, jauh sekali merasainya.

Semua ini adalah manifestasi darurat.

Satu hari aku mendengar berita. Emak aku bercerita dari surah yang didengar dari cikgu di Sekolah Tapak.

Cerita ini mengisahkan bagaimana seorang mamat orang kampung didatangi oleh seorang lelaki Cina yang muncul secara tiba-tiba dari tepi hutan.

Orang kampung sedang bekerja dalam kebun getah.

Kisah ini berlaku di Kampung Guntur Tengkek tak jauh dari perkampungan Sakai.

Mamat ini terperanjat dan takut, tak tahu siapa jantan Cina ini. Bila ditanya baru di ketahui bahawa jantan Cina ini adalah seorang gerila Komunis yang ingin menyerah diri.

“Bila ada komunis serenda diri…. kita dapat hadiah.” Emak aku menerangkan.

“Serenda ni apa? Pasal apa dapat hadiah?” Aku bertanya.

“Serenda ni dia serah diri… tak mahu lagi jadi Komunis …orang yang jumpa Komunis itu dapat 2000 ringgit.” Penjelasan dari Emak.

“Sapa bagi duit?”

“Gamin Inggeris …. bagi duit… pada sesiapa yang berjaya bawak Komunis serah diri.” Penjelasan tuntas dari Cikgu Zaleha.

Kisah gerila Komunis serah diri kemudian dapat duit 2000 ringgit melekat dalam kepala aku.

Kemudian bila kami pindah ke Jelebu kami melintas Simpang Pertang.

Dari dalam kereta yang mengangkut kami pindah, aku perhatikan rumah dan kedai di Simpang dan Pertang seperti biasa. Tidak ada apa-apa kerosakan atau rumah runtuh.

Hanya bila aku sampai ke Kuala Klawang baru aku bersua dengan tentera Inggeris dan Gurkha.

Cerita mamat dari Guntur dapat 2000 ringgit ini masih segar dalam kepala aku.

Tapi Kuala Klawang sebuah pekan dan bukan di kawasan tepi hutan maka peluang untuk dapat 2000 ringgit itu jadi mustahil.

Pernah satu kali aku ternampak seorang jantan Cina mencangkung di tepi jalan.

Ketika itu aku dari Petaseh dalam kereta Pak Ngah Aminuddin, bapa saudara aku.

Aku dengan Joyo sepupu aku dalam perjalanan nak ke Kampung Chenor.

Bila aku nampak jantan Cina itu hati aku berkata: “Ini pasti Cina Komunis. Tapi aku hairan kenapa Pak Ngah aku tidak berhenti dan menangkap Cina Komunis ini. Dan dapat 2000 ringgit.”

“Itu Cina apa tu?” Aku bertanya secara terbuka.

“Itu Cino kobon pisang… dia berkobon…kek kobon gotah.” Joyo menjawab.

Aku merasa kecewa. Sangkaan aku jantan Cina yang mencangkung di tepi jalan itu Komunis terbukti salah.

Tapi pakaian yang buruk dan rambut tidak bersisir masih meyakinkan aku yang jantan ini Cina Komunis. Imej Cina komunis melekat dalam kepala aku.

Imej ini hasil dari aku melihat wajah Cina Komunis dalam gambar kertas surat kapal terbang.

Hari berganti hari. Aku kini perlahan-lahan berubah dari budak kampung untuk menjadi budak pekan.

Ingatan aku tentang Cina Komunis makan pudar.

Ini kerana kalau dulu di Tengkek yang aku temui hanya orang Melayu dan Sakai. Sesekali kalau ke Padang Lebar aku dapat melihat Cina dan Keling Malbari.

Kuala Klawang untuk aku menjadi pekan yang amat kosmopolitan.

Ada Melayu, ramai Keling, ramai Cina, ramai Gurkha dan ada orang Inggeris.

Aku belum pernah sampai ke Kuala Lumpur lagi. Hanya mendengar nama. Ke Seremban hanya beberapa kali. Kuala Klawang adalah rujukan hidup aku.

Satu petang, ketika itu aku masih belum masuk sekolah lagi, aku terdengar satu dentuman yang amat kuat diikuti oleh bunyi lori yang dipaksa berhenti. Aku tak tahu apa yang berlaku.

Esoknya ketika makan tengah hari emak aku bercerita satu kemalangan berlaku di hadapan padang sekolah di sebelah pejabat Public Works Department (PWD).

Lori Gurkha berdentum melanggar seorang anak Keling. Budak muda belasan tahun ini sedang berbasikal menurun bukit dari Kaman Keling hendak masuk ke jalan besar.

“Dia terhumban jauh…. berdarah.. basikal hancur. Mak rasa mati di situ…lori Gurkha ni dari Seremban, lori GMC…lori yang mengiringi konvoi.” Emak aku membuka cerita.

“Sapa salah mak?” Aku bertanya.

“Salah… salah apa pulak? Ini darurat ni.. takda salah apa…mana ada dakwa dakwi… mati macam tu laaa.” Jawapan ringkas.

Berita anak Keling kena langgar lori Gurkha heboh di Kuala Klawang. Malah berita ini tersebar ke kampung berdekatan.

Untuk menyedapkan cerita dua hari sesudah kemalangan itu berlaku, ada orang Kuala Klawang yang ternampak lelaki Gurkha pemandu lori yang melanggar anak Keling itu berada di tepi padang Kuala Klawang.

Dia datang melihat permainan kriket. Orang kampung cam dia kerana kaki kirinya berbalut.

“Mati macam tu laa anak Keling tu?” Aku masih mengasak emak aku.

“Laaa… ini negeri Orang Putih.. Gurkha itu askar Orang Putih… kau tak reti ke? Kita ni dalam darurat.. ni kerajaan Orang Putih… kalau kena tembak pun dalam darurat ni.. takda dakwa dakwi.”

Emak aku cuba memberi penjelasan.

Awal tahun 1957 aku masuk sekolah. Umur aku belum cukup tujuh tahun tapi emak aku meminta kepada Guru Besar Cikgu Fatimah agar aku diterima sebagai murid.

Seluar pendek hitam, kemeja lengan pendek putih, kasut getah dan stoking putih.

Abang aku dalam darjah tiga di sekolah yang sama, Sekolah Kuala Kawang A.

Aku ke sekolah membawa papan batu. Aku mula belajar menulis Rumi dan Jawi.

Sekolah aku ini di atas bukit di tepi pekan Kuala Klawang.

Jalan ke sekolah aku ini wajib melintasi kem tentera Gurkha.

Di tepi simpang jalan masuk ke jalan arah ke sekolah, ada kubu besar di mana sentiasa ada tentera Gurkha mengawal.

Kubu ini dibuat dari tanah dan pasir yang dimasukkan ke dalam guni.

Guni-guni ini disusun untuk dijadikan tembok. Tembok kubu ini ada lubang di mana muncung senapang terjulur keluar.

Kawasan bukit di belakang sekolah aku adalah kawasan perumahan pegawai Inggeris dan juga rumah guru sekolah Inggeris, Goverment English School (GES).

Cikgu sekolah Melayu aku yang pertama bernama Cikgu Raja Razali. Dia berbasikal dari Ulu Klawang ke sekolah.

Di atas bukit ini adalah rumah kediaman, Tuan Engineer ketua PWD, Tuan ADO dan juga Tuan Doktor.

Tuan DO duduk di sebuah banglo kayu bersendirian di atas bukit di tepi pekan Kuala Klawang.

Rumah-rumah banglo batu pegawai Inggeris di atas bukit belakang sekolah didirikan dengan reka bentuk rumah seperti di England.

Banglo ini ada serombong asap dan lekar besi tempat membakar arang batu untuk pemanasan rumah.

Dari bukit ini kita boleh melihat pekan Kuala Klawang yang di kelilingi oleh sawah padi.

Dari bukit ini juga boleh dilihat pokok-pokok besar yang mengeliling pekan Kuala Klawang. Pokok-pokok rendang di sepanjang jalan besar meredupkan pekan kecil ini.

Di Kuala Klawang ada padang bola, padang kriket, gelanggang tenis dan gelanggang badminton.

Di tepi padang depan rumah pasung ada taman kanak-kanak. Ada empat buaian, ada empat biji jongkang-jongket dan sebuah pondok kecil rumah rehat.

Kuasa kolonial Inggeris mendirikan Kuala Klawang sama seperti pekan kecil di “shire county” di England.

Tiba-tiba berita heboh, Orang Putih nak balik kampung.

Yang membawa berita ini emak aku. Abah aku ketika ini sedang bertugas sebagai Special Constable (SC).

“Orang Putih nak balik kampung.” Emak aku membuka cerita.

“Kampung di mana?” Aku mahu penjelasan.

“England …jauh.. naik kapal.”

“Gurkha kek Klawang balik sekali ke?”

“Semua balik kampung… Tuan DO, Tuan OCPD dan Tuan Engineer. Mem-mem semua balik… Gurkha ikut sama…. kita nak buat kerajaan sendiri…nak Merdeka.” Cikgu Zaleha memberi penjelasan.

“Merdeka ini apa?” Pertanyaan aku tidak mendapat jawapan. Mungkin Cikgu Zaleha dan letih dengan aku.

Heboh merdeka ini menjadi-jadi. Heboh semakin heboh kerana diberitakan sebuah padang baru akan dibuat untuk menyambut Merdeka. Padang ini letaknya di Kuala Lumpur. Namanya Stadium Merdeka.

Kuala Lumpur ini satu yang amat asing dan jauh untuk aku. Kali pertama aku berpeluang melawat Kuala Lumpur ketika kami sekeluarga melawat Pak Ngah Aminuddin.

Ketika itu pak ngah bekerja di Jabatan Penerangan Kerajaan Inggeris. Aku masih belum sekolah lagi.

Di hadapan rumah pak ngah aku ada laluan kereta api.

Setiap kali kereta api lalu aku budak kampung yang tak pernah melihat kereta api akan bangun berdiri melambai-lambai tanpa tujuan.

Tanpa aku mengenali kereta api penumpang atau gerabak membawa barang.

Kali kedua ini aku dibawa oleh pak ngah tanpa keluarga. Kali ini pak ngah aku sudah membeli rumah banglo di Petaling Jaya. Ketika itu Petaling Jaya masih banyak pokok getah.

Rumah-rumah di Petaling Jaya ini tersusun. Tak jauh di hadapan rumah pak ngah aku ada taman kanak-kanak.

Satu petang sepupu aku Kak Yati dan adiknya Faridah dan Joyo membawa aku bermain di taman ini.

Di taman inilah pertama kalinya aku melihat anak Orang Putih.

Seorang budak lelaki yang mungkin sama umur dengan aku dan kakaknya yang lebih tua dari kami.

Ketika itu nama Orang Putih yang aku pernah dengar hanyalah Joni. Semua perempuan Orang Putih dipanggil Mem. Tapi nama budak perempuan Orang Putih ni aku tidak tahu.

Petang itu kami bermain sama-sama.

Di sini juga untuk pertama kalinya berjumpa batang-batang besi yang disusun untuk kami panjat memanjat.

Petang itu aku leka dengan permainan baru ini bersama dengan Joni. Kakak Joni hanya memerhati kami bermain panjat memanjat. Sesekali sang kakak bersuara tapi aku tak faham.

Pak ngah aku ini lulusan Sultan Idris Training College (SITC) berhenti dari jadi guru.

Kini bekerja di jabatan penerangan.

Dari mulut Pak Ngah sering aku mendengar nama Tunku, Chin Peng, Wahi Anwar, Datuk Onn Jaafar atau Tan Malaka dan Sukarno.

Semangat kebangsaan Melayu Raya Pak Ngah aku kuat.

Buktinya sepupu aku anaknya di beri nama Joyo.

Ini nama dari nasionalis Indonesia yang mana satu aku tidak pasti.

Apa yang aku pasti kawan-kawan politik pak ngah aku memanggil dia sebagai Bung Amin.

Pada tahun 1956, ketika aku di rumah pak ngah di Petaling Jaya sesudah aku main panjat memanjat dengan Joni aku mendengar pantun dua kerat dari mulut Joyo sepupu aku:

“Poot poot bunyi motokar,
Tok Onn cabut Umno merdekha.”

Apa makna pantun pendek ini aku tidak tahu.

Yang aku tahu bunyi hon kereta hitam Austin pak ngah aku agak berlainan dari bunyi “poot poot”.