Monday, January 17, 2022

Bagaimana pengurusan cukai pendapatan bagi pembayar yang meninggal dunia?

Pengetahuan pengurusan cukai si mati perlu difahami serta diuruskan dengan sebaiknya bagi memudahkan sebarang urusan kewangannya.

Other News

Cukai pendapatan individu merupakan salah satu instrumen penting kepada negara yang mana pada setiap tahun ia menyumbang sekitar 20% sehingga 30% daripada amaun kutipan cukai langsung yang direkodkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negara Malaysia (LHDN).

Cukai yang dikutip ini kemudiannya akan digunakan oleh kerajaan untuk membiayai semua projek pembangunan dan meningkatkan taraf hidup serta kesejahteraan rakyat. Oleh yang demikian, sebagai rakyat Malaysia, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk melapor serta membayar cukai pendapatan ini agar kemakmuran negara dapat dinikmati serta dirasai bersama.

Namun terdapat persoalan dalam kalangan pembayar cukai, bagaimana cukai pendapatan seseorang individu yang telah meninggal dunia diuruskan oleh LHDN? Adakah ia akan tetap dikutip atau dihapus kira sahaja?

Artikel ini akan menerangkan secara ringkas layanan cukai terhadap pendapatan pembayar cukai yang telah meninggal dunia. Semoga ia bermanfaat dan boleh dijadikan panduan kepada waris si mati.

Setiap manusia yang hidup di dunia ini tidak terlepas daripada kematian. Sekiranya seseorang itu telah meninggal dunia maka para pewarisnya akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang komitmen kewangan si mati termasuklah pengurusan cukai si mati. Berdasarkan Seksyen 74 Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967), menyatakan bahawa:

“Sekiranya seseorang meninggal dunia pada tahun asas untuk satu tahun taksiran, pelaksananya hendaklah ditaksir dan dikenakan cukai untuk tahun taksiran tersebut, untuk tahun taksiran berikutnya dan, bila perlu, untuk tahun taksiran sebelumnya mengenai pendapatan bercukai bagi individu tersebut… jika ia boleh dinilai dan dikenakan cukai… kerana individu tersebut akan dinilai dan dikenakan cukai sekiranya dia tidak meninggal dunia.”

Merujuk kepada seksyen ini, ia menyatakan bahawa waris si mati boleh dikenakan taksiran seperti mana taksiran dikenakan atas si mati. Oleh yang demikian maka pihak waris atau wasi haruslah cakna akan sebarang tunggakan atau lebihan cukai yang ada pada si mati.

Pengetahuan pengurusan cukai si mati perlu difahami serta diuruskan dengan sebaiknya bagi memudahkan sebarang urusan kewangan si mati.

Bagi individu yang meninggal dunia, taksiran cukai akan dibuat untuk pendapatan yang diterima sehingga tarikh kematian individu tersebut dan taksiran ini akan dibuat atas nama waris yang sah.

Contoh: Pada tahun 2021, A meninggal dunia pada 1.6.2021. Oleh itu, pendapatan yang diterima mulai 1.1.2021 sehingga 31.05.2021 akan ditaksir sebagai pendapatan Si Mati A dalam tahun taksiran 2021. Taksiran akan dibuat atas nama wakil sah Si Mati A.

Justeru, apa – apa pendapatan yang diperoleh selepas tarikh kematian tidak akan dianggap pendapatan si mati. Semua pendapatan selepas tarikh kematian akan dianggap sebagai pendapatan harta pusaka individu si mati dan ditaksir atas nama Waris Sah atau Pentadbir Harta Pusaka.

Satu fail baru turut akan didaftarkan untuk tujuan menaksir pendapatan harta pusaka si mati. Dari segi kadar cukai yang dikenakan terhadap pentadbir harta pusaka atau waris yang sah pula, ianya adalah sama dengan kadar cukai yang dikenakan atas seseorang individu.

Bagi memudahkan urusan pelaporan pendapatan si mati, waris atau pentadbir harta pusaka wajib melaporkan pendapatan harta pusaka si mati di bawah pentadbirannya dengan menggunakan Borang Nyata Cukai Pendapatan untuk harta pusaka iaitu Borang TP.

Apa yang akan berlaku sekiranya si mati mempunyai cukai tertunggak?

Cukai tertunggak wujud apabila baki cukai yang dikenakan gagal dibayar oleh pembayar cukai dalam tahun semasa sehingga melangkau ke tahun taksiran berikutnya. Dalam hal ini, cukai tertunggak wujud apabila si mati tidak melunaskan baki cukai beliau ketika hidupnya.

Sekiranya ini berlaku, waris atau pentadbir harta pusaka si mati perlu bertanggungjawab untuk menyelesaikan tunggakan tersebut daripada harta pusaka si mati. Sebagai makluman, kuasa menuntut cukai tertunggak si mati daripada waris atau pentadbir harta pusaka telah diperuntukkan di bawah Seksyen 74 dan Seksyen 106 Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967). Seksyen 106 Akta menyatakan:

“Cukai yang perlu dibayar dan kena dibayar dapat dipulihkan oleh kerajaan melalui prosiding sivil sebagai hutang yang harus dibayar kepada kerajaan.”

Maka, sekiranya si mati masih lagi mempunyai cukai tertunggak ianya masih lagi diambil kira dan LHDN boleh memungutnya daripada waris atau pentadbir harta pusaka si mati bagi tujuan kutipan cukai kepada kerajaan. Walau bagaimanapun, LHDN amat terbuka bagi sebarang proses rundingan jika waris atau pentadbir harta pusaka si mati tidak mampu untuk menyelesaikan baki cukai tersebut secara sekali gus (lumpsum). Mereka boleh memohon aturan bayaran secara ansuran tertakluk kepada kuasa budi bicara LHDN.

Bolehkah waris menuntut lebihan cukai yang telah dibayar oleh si mati?

Persoalan ini juga banyak ditimbulkan oleh waris kerana sememangnya terdapat kes yang mana si mati telah membayar cukai lebih tinggi berbanding amaun cukai yang dikenakan terhadapnya.

Sehubungan dengan itu, bagi waris yang menghadapi situasi ini mereka boleh membuat tuntutan secara rasmi dengan pihak LHDN amaun lebihan kredit atau cukai terlebih bayar tersebut.

Bagi memudahkan LHDN memproses permohonan ini waris perlu mengemukakan beberapa dokumen penting yang berkaitan antaranya sijil kematian si mati dan Salinan Surat Kuasa Mentadbir atau Geran Probet (Grant of Probate) yang diakui sah sama ada oleh Pesuruhjaya Sumpah, Majistret Mahkamah atau kakitangan kerajaan dalam kategori Pengurusan dan Profesional.

Senarai lengkap dokumen yang perlu dikemukakan boleh diperolehi dengan merujuk rangka kerja pungutan cukai di portal rasmi HASiL di www.hasil.gov.my . Jika terdapat lebih dari satu pentadbir harta pusaka, bayaran balik akan dilakukan atas nama salah satu pentadbir sahaja.

Kesimpulannya, seseorang pembayar cukai yang meninggal dunia tetap mempunyai tanggungjawab untuk menjelaskan sebarang cukai tertunggak yang ada. Ia dianggap sebagai hutang kepada kerajaan dan waris atau pentadbir harta pusaka si mati perlu melaksanakan tanggungjawab tersebut bagi pihak si mati.

Sehubungan dengan itu, setiap waris disyorkan agar membuat semakan terlebih dahulu kedudukan cukai si mati dengan pihak LHDN bagi memastikan semua cukai si mati telah dilunaskan sekali gus menjamin kelancaran urusan pembahagian harta pusaka si mati dan sebarang tuntutan wajib yang lain.

Bahagian komunikasi pejabat ketua pegawai eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles