- Iklan -
Kolum

Apa ada dengan Kazakhstan?

Tokayev mengisystiharkan darurat nasional dua minggu, menggantung perkhidmatan internet dan meminta bantuan ketenteraan dari Rusia.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Saya tidak pernah sampai di Kazakhstan.

Tetapi banyak rakyat Malaysia sudah pergi ke negara Asia Tengah itu.

Begitu juga dengan adanya rakyat Kazakhstan yang datang ke negara ini.

Malah ada orang Malaysia yang berkahwin dengan rakyat Kazakhstan.

Beberapa bulan lalu pun, saya dapat tahu ada pelajar Kazakhstan yang berjaya menamatkan pengajian mereka pada peringkat sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pertama kali saya mengetahui mengenai Kazakhstan adalah pada tahun 1976 melalui perpustakaan Pusat Kebudayaan Soviet.

Pusat itu mengedarkan buku kecil mengenai republik-republik dalam Soviet Union.

Ketika itu nama rasminya ialah Republik Sosialis Soviet Kazakh (Kazakh SSR).

Semasa zaman kebangkitan Islam tahun 1980-an, saya mencari maklumat mengenai umat Islam di Soviet Union, khususnya di negara-negara yang merupakan wilayah Islam sebelum ditakluk oleh Rusia iaitu Kazakhstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Azerbaijan, Kyrgyzstan dan Uzbekistan.

Realitinya penduduk wilayah-wilayah itu sudah menjadi sekular dan agama berada begitu jauh daripada masyarakat, hanya tinggal sebagai warisan.

Namun begitu, apabila Soviet Union tumbang, bukan saja mereka merdeka tetapi menganggap diri mereka sebahagian daripada dunia Islam.

Mereka mengadakan hubungan baik dengan Turki dan Iran sambil menyertai Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Kazakhstan kekal menjadi sekutu Rusia dengan menyertai pertubuhan bekas negara Soviet, Komanwel Negara-negara Merdeka (CIS), Kesatuan Ekonomi Eurasia dan Pertubuhan Perjanjian Keselamatan Kolektif yang kesemuanya adalah pimpinan Moscow.

Bagaimanapun, dari segi identiti dan budaya, Kazakhstan berusaha untuk menjarakkan diri dari Rusia.

Walaupun kaum utama Kazakhstan ialah orang Kazakh tetapi ia adalah negara berbilang kaum dengan 30 peratus penduduknya merupakan orang Rusia.

Selain itu, terdapat etnik lain seperti Uyghur.

Ada dua sudut bagi Kazakhstan menjarakkan diri dari Rusia.

Sudut pertama ialah merapatkan diri dengan dunia Barat.

Kedua, menegaskan identiti pribumi Kazakh.

Untuk itu, mereka mengubah tulisan bahasa Kazakh daripada Cyrillic kepada Latin.

Langkah ini menimbulkan rasa tidak senang di kalangan orang Rusia di negara itu.

Tindakan lain ialah menggalakkan penguasaan bahasa Inggeris.

Walaupun ia bertujuan untuk meningkatkan nilai global Kazakhstan, tetapi ia juga dilihat sebagai usaha menjarakkan diri daripada Rusia.

Tetapi kalangan akademik Kazakhstan tidak melihat bahasa Inggeris hanya berada di Amerika atau Britain.

Beberapa tahun lalu, sekumpulan pensyarah bahasa Inggeris UKM diundang ke Almaty untuk membincangkan hubungan akademik antara kedua negara.

Pihak Kazakhstan berminat untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris generasi muda mereka dengan menghantar pelajar-pelajarnya ke Malaysia.

Satu lagi tindakan yang menimbulkan rasa tidak senang orang Rusia ialah “Kazakhization” .

Dalam dasar ini, keutamaan bagi pelantikan jawatan kerajaan adalah dari kalangan pribumi Kazakhstan yang bukan saja dari kalangan orang Kazakh tetapi kaum-kaum lain daripada orang Rusia.

Ibu kota Kazakhstan juga dipindahkan dari Alma Ata yang mempunyai penduduk majoriti orang Rusia ke bandar baharu Astana.

Alma Ata ditukar nama kepada Almaty.

Pemimpin yang membentuk Republik Kazakhstan selepas kemerdekaannya ialah Presiden Nursultan Nazarbayev.

Beliau adalah Presiden Kazakh SSR dan anggota Politbiro Soviet yang hampir dilantik sebagai Naib Presiden Soviet Union sebelum negara itu tumbang.

Beliau menjadi presiden Kazakhstan dari tahun 1991 hingga tahun 2019.

Itupun beliau masih menyandang jawatan Majlis Keselamatan yang mempunya kuasai ke atas angkatan tenteranya.

Nazarbayev diisytiharkan sebagai Bapa Kazakhstan dan patungnya didirikan di medan-medan.

Ibu kota Kazakhstan, Astana dinamakan sebagai Nur Sultan.

Beberapa tahun lalu, saya menerima buku kulit tebal tulisan Presiden Nursultan Nazarbayev mengenai aspirasinya terhadap Kazakhstan.

Buku terjemahan itu adalah dalam bahasa Melayu yang diterbitkan oleh kerajaan Kazakhstan.

Maknanya ia ditujukan pada rakyat negara ini.

Dalam demonstrasi dan rusuhan yang berlaku di Almaty minggu lalu, patung Nazarbayez ditarik dan dijatuhkan.

Kemarahan rakyat adalah terhadap Nazarbayev, keluarganya dan elit politik dan ekonomi negara.

Ini kerana mereka berasakan bahawa kekayaan Kazakhstan hanya tertumpu pada segelintir keluarga dan golongan yang membolot kuasa politik dan ekonomi.

Sememangnya kemarahan rakyat tercetus dengan kenaikan harga minyak pada 1 Januari lalu.

Tetapi terdapat banyak isu yang terhimpun sepanjang Nazarbayev menjadi presiden selama 29 tahun.

Kazakhstan adalah sebuah negara kaya yang bukan saja memiliki banyak minyak tetapi juga bahan lain seperti uranium.

Kekayaan ini membolehkan Kazakhstan membangun termasuk melaksanakan projek mega.

Ada segolongan elit yang bukan sahaja kaya tetapi menunjukkan kemewahan mereka.

Sementara golongan pekerja yang membolehkan kekayaan itu terjana tidak dapat merasai apa yang golongan elit itu nikmati.

Dua perkara yang menjadi isu di Kazakhstan ialah demokrasi dan kapitalisme.

Apabila Soviet Union tumbang dan Kazakhstan merdeka, maka rakyatnya mengharapkan bahawa sistem demokrasi akan membawa kepada suatu pemerintahan yang mengambil kira suara rakyat.

Ini kerana sistem totalitarian Soviet sebelum itu mengongkong kehidupan rakyat hinggakan akhirnya ia tidak dapat berfungsi.

Lebih penting lagi iagi ialah sistem ekonomi.

Sistem komunis Soviet ternyata gagal, maka mereka mengharapkan sistem pasaran bebas dapat memberi peluang saksama untuk semua rakyatnya berusaha dan menjadi lebih senang.

Tetapi harapan rakyat ini tidak dipenuhi.

Nazarbayev tidak komited pada demokrasi.

Beliau memerintah secara autokratik dan sistem pilihan raya yang diadakan adalah diragui kebersihannya.

Ia hanya memberi kemenangan kepada pihak dirinya dengan tiada peluang langsung bagi pembangkang.

Dalam hal ekonomi pula, seperti di Rusia, harta yang asalnya milik negara pada zaman Soviet jatuh ke tangan elit politik dan ekonomi.

Dari situ mereka menjadi kaya raya dengan tiba-tiba sedangkan golongan lain dalam masyarakat kehilangan perkhidmatan kerajaan yang pada zaman Soviet diberikan secara percuma.

Tekanan daripada rakyat ini akhirnya menyebabkan Nazarbayev berundur pada tahun 2019.

Jawatan presiden kini disandang oleh Kassym-Jomart Tokayev yang dikenali sebagai boneka Nazarbayev.

Pengunduran Nazarbayev dari jawatan presiden memberi harapan baru pada rakyat Kazakhstan untuk mendapatkan perubahan.

Lebih-lebih lagi Tokayev turut menjanjikan perubahan itu.

Namun setelah dua tahun berlalu dan tiada perubahan, mereka hilang kepercayaan pada Topayev.

Pada sudut lain pula ada kalangan rakyat percaya bahawa pihak yang menghalang Tokayev daripada melakukan perubahan ialah Nabayev yang masih berkuasa dan berpengaruh.

Apabila rusuhan reda, ada laporan menyatakan bahawa pihak perusuh berpuas hati kerana tindakan mereka mencapai matlamat kerana keluarga Nazarbayev meninggalkan Kazakhstan.

Maknanya tindakan mereka ini ditujukan kepada Nazarbayev dan bukannya Tokayev.

Tiga hari selepas rusuhan itu, Tokayev mengembalikan harga minyak seperti yang dituntut para penunjuk perasaan dan memecat Kabinet kerajaan yang membuat keputusan menaikkan harga minyak itu.

Kabinet kerajaan itu pula dikatakan sebagai sekutu Nazarbayev.

Tokayev mengisystiharkan darurat nasional dua minggu, menggantung perkhidmatan internet dan meminta bantuan ketenteraan dari Rusia.

Beliau menyalahkan rusuhan itu kepada anasir-anasir asing dan pengganas IS.

Suatu dakwaan yang segera ditolak oleh Amerika Syarikat (AS).

Sementara ancaman dari IS adalah terlalu kecil, itupun kalau ada.

Kini persoalan timbul, mungkinkah berlaku krisis antara Tokayev dengan Nazarbayev.

Satu lagi ialah kemungkinan Kazakhstan turut terheret dalam pertembungam geopolitik yang sedang berlaku antara Barat iaitu AS dan Eropah dan Timur iaitu Rusia dan China.