- Iklan -
Rencana

Pentadbiran Ismail: Menukar kelemahan kepada kekuatan

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob perlu memantapkan pentadbirannya ketika negara menghadapi krisis kesihatan dan bencana alam.

Zaman Khir
3 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Perdana Putra pada 10 September. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Perdana Putra pada 10 September. Gambar: Bernama

Kelemahan mengurus krisis dalam persepsi orang Melayu dan politik dalaman oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018-2019 telah menyebabkan kejatuhan kerajaan gabungan itu pada Februari 2022, ia hanya bertahan selama 22 bulan.

Kelemahan mengurus persepsi rakyat terhadap pengurusan krisis Covid-19 serta politik dalaman oleh kerajaan Perikatan Nasional pada 2020 pula telah mengakibatkan jatuhnya kepimpinan Muhyiddin Yassin, pentadbirannya hanya bertahan lebih kurang 17 bulan.

Kelemahan mengurus bencana banjir dan persepsi rakyat oleh kerajaan Ismail Sabri Yaakob, dilihat bakal mengulangi kegagalan PH dan PN.

Ketika ini, politiking dalaman kerajaan PN/BN ini sedang berjalan. Mungkin hanya menunggu masa untuk satu butang kecemasan ditekan. Jika butang kecemasan ini menyala, maka kerajaan Ismail akan terbubar, menjadikannya kerajaan ketiga tumbang dalam tempoh 3 tahun, dan ia mungkin menjadi kerajaan terakhir sehingga PRU diadakan pada bila-bila masa.

Kerajaan tidak gila, politik juga tidaklah gila, yang gila hanyalah politikus atau mereka yang pegang kuasa.

Kelemahan Ismail

Melihat bagaimana Ismail mengurus masalah banjir, banyak sekali kelemahan yang boleh kita catatkan. Beliau sendiri seakan tidak bersedia dengan sebarang kemungkinan.

Kesibukan Ismail mengurus “keluarga”-nya telah membuatkan beliau gagal mengesan betapa cepatnya air bah naik menenggelamkan Selangor.

Kelemahan Ismail kemudiannya dizahirkan lagi menerusi agensi-agensi kerajaan yang saling salah-menyalahkan.

Kelemahan ini sampai ke kemuncaknya apabila menteri kabinet turun berlakon di lumpur banjir hingga mengundang cemuhan rakyat dan sebilangan menterinya yang lain hilang dari pandangan hingga memaksa Ismail memanggil pulang menteri-menterinya yang hilang.

Semua ini menjadi lelucon buat kepimpinan Ismail yang baru memerintah sekitar 5 bulan.

Beliau kini dilihat sebagai seorang ketua keluarga yang masih terkial-kial mencari karismanya.

Gosip

Baru-baru ini muncul gosip akan berlakunya rombakan kecil kabinet. Gosip politik ini biasanya hanya “uji pasaran”. Bukan suatu maklumat sulit yang dibocorkan.

Menerusi gosip politik ini, jelas ia menyasarkan menteri-menteri dari Bersatu.

Melihat ke mana arah gosip politik ini, kita boleh mengagak bahawa ia datang dari satu kumpulan yang terdesak. Keterdesakan mereka memunculkan gosip ini untuk menguji pasaran politik mereka.

Dalam krisis politik, gosip seperti ini boleh menjadi realiti. Krisis itu sendiri memungkinkan pihak yang terdesak untuk mengambil langkah drastik mengekalkan kuasa atau kembali berkuasa.

Ujian pasaran menerusi gosip ini akan memberi petanda kemungkinan ia berlaku atau bagaimana ia akan berlaku atau bila akan berlaku.

Kita yang membaca pergerakan politik juga sukar untuk mengagak ke mana politik ini akan bergerak.

Ismail boleh bertindak bijak

Tetapi sebagai simpatisan kepada Ismail, beliau harus bertindak untuk memastikan kerajaannya kekal hingga PRU15. Ismail sedar bahawa beliau bukan presiden Umno, beliau tidak ada kuasa memilih orang-orangnya.

Namun dengan kedudukan beliau sebagai PM, beliau boleh mempengaruhi keputusan presiden atau Majlis Tertinggi Umno.

Cara yang terbaik adalah dengan merombak portfolio menteri-menteri yang dilihat membawa persepsi buruk kepada pentadbirannya seperti menteri belia dan sukan, menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, menteri kewangan dan beberapa orang lagi.

Dengan melakukan penjajaran semula kabinetnya, dan digantikan dengan calon yang lebih berwibawa dari dalam Umno atau profesional, masa depan beliau sebagai PM dan pimpinan dalam parti, akan menjadi lebih stabil.

Kumpulan penyokong presiden dan mantan presiden akan memberi sedikit ruang kepada Ismail untuk mengukuhkan penguasaan Umno dalam kerajaan.

Kestabilan dalaman ini penting buat Ismail untuk membuktikan kepada rakyat bahawa beliau bijak mengurus krisis politik.

Kesan daripada penjajaran ini, tidak akan membuatkannya hilang kuasa sebagai PM. Kerana Bersatu tidak akan berani menongkah arus.

Jika Bersatu menarik balik sokongannya kepada Ismail kerana perubahan Kabinet ini, bererti Bersatu sengaja mahu memporak-perandakan kerajaan ketika rakyat sedang menghadapi krisis ekonomi, kesihatan, bencana alam dan keselamatan.

Maka, Ismail perlu buat sahaja apa yang difikirkannya perlu, di masa krisis inilah – masa akan berpihak kepada Ismail. Lakukan sekarang atau anda akan kempunan selama-lamanya.

Zaman Khir adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow