- Iklan -
Kolum

Budak bawah umur

Mata-mata mengarahkan aku duduk. Aku menunggu. Mata aku liar memerhatikan bilik OCPD ini.

Hishamuddin Rais
7 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Aku tidak tahu secara rasmi tahun berapa Goverment English School (GES) Jelebu bertukar nama menjadi Sekolah Menengah Undang Jelebu (SMUJ).

Aku masih ingat guru besar “primary school” aku ialah Ms Eng.

Dia mengajar kami menyanyi melalui rancangan Radio Malaya siaran pendidikan. Ms Eng juga pemain piano yang baik.

Manakala bila aku masuk ke SMUJ pada tahun 1964, guru besar aku Mister Nathan. Setahun kemudian dia bersara dan digantikan oleh Mister Francis Xavier.

Guru besar baru ini seorang pemain tenis yang berkebolehan.

Pada tahun 1965, tahun aku kena tangkap kerana naik basikal tak berlampu guru kelas aku ialah Mister Lim. Mister Lim duduk di Seremban.

Dia berulang-alik dari Seremban ke Kuala Klawang. Dia juga ada bilik di rumah guru atas bukit belakang sekolah.

Aku kaki buat bising dalam kelas. Bila guru belum masuk ke kelas, aku selalu beralih-alih tempat duduk.

Berborak itu dan ini. Awalnya meja aku di belakang. Tapi diubah ke hadapan oleh Mister Lee agar dia senang mengawal aku.

“Which devil is making that noise?” Mata Mister Lee mencari-cari. Matanya memandang pada aku.

Semenjak hari itu aku mengalih nama menjadi Hisham De Ville. Aku tak tahu pun apa makna nama yang aku gunakan ini.

Malah nama ini terus menjadi nama untuk tanda tangan aku hingga ke hari ini.

Tapi aku anggap Mister Lee ini guru yang baik. Ketika aku tertidur dalam kelas kerana kurang tidur akibat ditangkap mata-mata Mister Lee tidak marah.

Suara Zul: “Sir.. sir police catched him sir..last night….. bicycle no lamp.” Masih aku ingati lagi.

Mister Lee tak melakukan apa apa. Aku rasa dia bersimpati kepada aku yang kena tangkap mata-mata.

“Pergi court ke? Bila?” Zul kawan dari darjah satu bertanya. Zul anak pegawai kerajaan. Ayahnya bekerja di Pejabat Daerah.

Rumah Zul tidak jauh dari bangunan Mahkamah Rendah Jelebu.

“Bulan depan.” Aku menjawab.

“Kenal ke polis yang nangkap kau?” Zul bertanya lagi.

“Dari rumah pasung Klawang. Ronda naik basikal…dua orang.” Aku jawab ringkas.

Di rumah cerita aku kena tangkap kerana basikal tak berlampu tak berpanjangan. Keluarga aku tidak heboh.

Tapi Ayen bercerita: “Nengok wayang Elvis, Jailhouse Rock yang tak jadi. Tapi kena tangkap.”

Maka kisah ini merebak di kalangan kawan-kawan sekampung.

Aku rasa bangga juga kerana dah masuk lokap di Rumah Pasung Kuala Klawang. Bukan semua orang ada pengalaman macam ini. Tapi aku risau juga apa akan jadi bila aku dibawa ke mahkamah.

Hari bicara sampai. Kawan-kawan sekelas tahu aku bukan ponteng sekolah. Mereka semua tahu di mana aku berada pada pagi itu.

Tetapi aku tidak pula minta cuti atau memberitahu Mister Lee tentang aku wajib ke mahkamah. Aku tak datang ke sekolah.

Emak dan abah aku datang bersama Cikgu Harith. Dia ini guru besar sekolah tempat emak aku mengajar.

Aku pergi sendirian. Aku pergi naik bas sekolah dan memakai uniform sekolah.

Seolah-olah nak ke sekolah. Sampai ke pekan aku menggelencong ke mahkamah.

Tuan hakim datang dari Seremban. Di Kuala Klawang tiada pejabat peguam. Semua urusan kehakiman bertempat di Seremban.

Justeru mahkamah hanya akan mula bersidang apabila hakim sampai dari Seremban.

Jam 9.00 pagi, Cikgu Harith, emak dan abah aku sudah ada dalam mahkamah. Aku ternampak juga abang Kampung Sarin dan abang Ulu Jelebu yang sama kena tangkap malam itu.

Kami semua dibicarakan pada hari yang sama.

Ramai juga orang awam yang menunggu mahkamah bersidang. Mungkin masing-masing sama seperti aku ada kes yang wajib dibicarakan.

Tiba-tiba seorang mata-mata datang. Nama aku dipanggil. Aku mengekori mata-mata ke bilik mahkamah. Kemudian dia membawa aku ke rumah pasung yang tidak jauh dari bangunan mahkamah.

Mata-mata ini membawa aku masuk ke bangunan kemudian kami naik tangga ke tingkat satu.

Ini pejabat Officer In Charge of Police District (OCPD).

Mata-mata mengarahkan aku duduk. Aku menunggu. Mata aku liar memerhatikan bilik OCPD ini.

Di dinding belakang meja OCPD ada gambar Yang di-Pertuan Agong dan gambar Tunku Abdul Rahman.

Lalu aku teringat pastilah di bilik ini juga Tok Manaf aku bertemu dengan Tuan OCPD Inggeris sebelum Jepun datang.

Di hadapan Tuan OCPD Inggeris ini Tok Manaf berjumpa dengan Hock Lim ayah kepada Ah Meng.

Di meja inilah Tok Manaf dan Hock Lim menandatangani surat akuan.

Surat ini memberikan kuasa kepada Tok Manaf untuk menerima Ah Meng sebagai anak angkat.

Di bilik ini sebelum menandatangani surat aku janji Ah Meng ditanya oleh Tuan OCPD sama ada nak tinggal di rumah ayahnya atau di rumah Tok Manaf.

Dalam bilik ini juga Ah Meng mengakui di hadapan Tuan OCPD Inggeris bahawa dia mahu tinggal di rumah Tok Manaf.

Dari dalam bilik ini bermulanya keluarga Manaf menerima Ah Meng untuk menjadi anak angkat. Ah Meng di Melayukan untuk menjadi Pak Tunggal.

Semua ini berlaku di Rumah Pasung Kuala Klawang di zaman Inggeris sebelum Jepun sampai.

Di bilik ini juga sesudah Jepun kalah dan sesudah Inggeris balik kampung, aku, Hishamuddin Rais cucu Tok Manaf sedang menunggu Tuan OCPD.

Tuan OCPD Melayu masuk. Dia terus duduk. Mata-mata mengundur keluar bilik. Tinggal kami berdua. Tuan OCPD membuka fail dan membaca. Kemudian memandang tepat pada aku.

“Kenapa basikal awak tak ada lampu? Kamu tak tahu ke itu bahaya?”

“Basikal pinjam… Ayen punya.” Aku menjawab.

“Umur berapa?”

“Empat belas tahun.” Aku agak-agak umur aku.

“Sekolah?”

“Di SMUJ. Form three.”

“Awak tahu awak salah?” OCPD mengancam.

Aku senyap tidak bersuara.

“Awak boleh masuk jail… duduk di Pudu.” Lagi ancaman sampai.

Aku senyap. Aku tak tahu Pudu itu di mana.

Lalu aku terfikir apakah suasana ini juga yang dirasai oleh Tok Manaf ketika dia berhadapan dengan Tuan OCPD Inggeris.

Apakah cara ini juga di gunakan oleh Tuan OCPD Inggeris ketika menjadi hakim dan bertanya tentang niat hati Pak Tunggal aku.

Tuan OCPD Melayu menulis di kertas kemudian bangun. Mata-mata di luar masuk. Fail bertukar tangan. Kami turun tangga dan beredar menuju ke mahkamah.

Bilik mahkamah Kuala Klawang ada sebesar dua bilik darjah.

Tempat duduk hakim di pentas yang tinggi. Di hadapan pentas Hakim aku nampak beberapa pegawai lelaki, Melayu, Cina dan India yang memakai baju lengan panjang putih.

Ada dua lelaki India memakai jaket hitam. Kesemua dilihat kemas, memperlihatkan kepegawaian mereka.

Ada sepuluh kerusi kayu panjang, lima atau enam orang boleh duduk di kerusi ini.

Kerusi ini untuk orang awam duduk menyaksikan perbicaraan yang sedang berjalan.

Orang Kena Tuduh (OKT) juga duduk di kerusi kayu yang sama menunggu nama dipanggil.

Cikgu Harith, abah dan mak aku duduk di kerusi sebelah tengah. Mahkamah belum bermula bila aku kembali masuk ke mahkamah.

“Pergi mana tadi?” Emak aku bertanya. Cikgu Harith dan abah aku memandang.

“Rumah Pasung.. jumpa OCPD.” aku jawab ringkas.

Tiba-tiba suara mata-mata memberi arahan: “Semua bangun.”

Semua yang berada dalam mahkamah bangun berdiri. Hakim masuk dari bilik belakang dan terus duduk. Sesudah hakim duduk, kami semua duduk kembali.

Dua mata-mata di kiri dan kanan bilik memastikan tidak ada sesiapa yang duduk menyilangkan kaki di atas paha.

Jika ternampak maka mata-mata ini tanpa bersuara akan mengetuk kaki dan paha yang berkenaan dengan cota.

Mata-mata menggunakan isyarat tangan melarang bercakap. Mahkamah senyap.

Kes pertama, kes pecah rumah. Kes kedua, kes curi. Kes ketiga, kes curi. Mata aku memandang ke arah abang-abang yang sama kena tangkap dengan aku. Empat sosok itu duduk bersama-sama.

Mereka duduk di sebelah kiri. Aku duduk di sebelah kanan. Kami sama-sama menunggu.

Kemudian pegawai mahkamah memanggil nama. Abang Ulu Jelebu bangun. Dia pergi ke kandang OKT.

Aku nampak dua orang mata-mata yang menangkap kami ada bersama. Mereka dengan pakaian seragam mata-mata.

Pegawai mahkamah menyebut nama mata-mata yang menangkap kami. Jam berapa kami ditangkap.

Kesalahan: Basikal tidak berlampu.

Lepas satu-satu nama abang-abang dipanggil. Semua melalui proses yang sama.

Bila ditanya hakim mengaku salah atau tidak, semua mengaku salah.

Hakim menjatuhkan hukum denda 25 ringgit. Abang-abang beredar.

Aku menunggu nama aku dipanggil. Emak aku memerhatikan abang-abang keluar dari kandang OKT.

Kemudian dia memandang aku.

“Tu yang sama kena tangkap dengan kau?” Emak aku berbisik.

Aku mengangguk. Cikgu Harith memandang emak aku. Emak aku memandang abah.

Kami tak tahu kenapa nama aku tidak dipanggil.

Tiba-tiba suara mata-mata: “Bangun.. semua bangun.”

Hakim keluar. Mahkamah berhenti rehat makan tengah hari.

Kami terpinga-pinga tak tahu apa yang berlaku dan kenapa nama kau tidak dipanggil.

Abah aku pergi ke pejabat mahkamah untuk mengetahui apa yang berlaku. Kami menunggu di luar.

Abah aku keluar dia tersenyum dan berkata: “Budak bawah umur… tak da kes.”

Kami beredar dan pulang ke rumah menaiki kereta Cikgu Harith.

Epilog 1:

Semenjak kes itu aku tak berani lagi naik basikal tak berlampu. Denda 25 ringgit adalah jumlah yang lumayan.

Epilog 2:

Pada tahun 1969 keputusan peperiksaan Senior Cambridge (SC) dan Malaysia Certifficate of Education (MCE) keluar. Aku lulus cermerlang.

Aku tidak ada rancang apa-apa. Aku tidak ada idea atau rancangan untuk sambung belajar. Juga tidak ada niat untuk mencari kerja. Aku tidak melakukan apa apa.

Epilog 3:

Pada satu petang Yusof Wok datang ke rumah aku. Yusof ini pelajar tingkatan lima SMUJ. Dia tinggal tidak jauh dari rumah aku di Kampung Chenor.

Dia membawa pesanan dari Guru Besar Mister Francis Xavier. Aku diminta datang ke SMUJ.

Esoknya aku mengayuh basikal ke sekolah untuk berjumpa Mister Francis Xavier.

Mister Francis memberitahu aku diterima masuk ke Kolej Melayu Kuala Kangsar atau Malay College Kuala Kangsar (MCKK).

Aku tidak melamar. Dan aku tidak tahu apa yang ada di hadapan aku. Aku tidak tahu pun apa itu MCKK.

Epilog 4:

Bulan April 1969, aku menjadi murid tingkatan enam bawah di MCKK.

Ini Kolej Melayu yang memiliki banyak tradisi.

Salah satu tradisi MCKK ialah “Old Boys Weeked” atau Hujung Minggu Murid Tua. Jumaat Sabtu dan Ahad yang ditetapkan ini murid-murid bekas pelajar MCKK akan datang ke sekolah lama mereka.

Ada yang menjadi pegawai tinggi, penjawat awam, pegawai polis dan yang masih belajar di universiti tempatan.

Mereka datang di hujung minggu untuk mengingati dan mengalami kembali perasan di zaman mereka menjadi murid.

Akan ada perlawanan ragbi antara murid tua dengan team MCKK. Ada program ceramah untuk pelajar yang sedang belajar tentang universiti, ilmu pembelajaran, kerjaya untuk masa depan dalam pelbagai bidang.

Ada yang mahu kembali menginap di bilik asrama. Ada yang duduk di hotel di Kuala Kangsar.

Mereka yang membawa isteri terutama isteri Minah Salleh akan menginap di Rest House Bukit Chandan.

Aku pelajar baru ke MCKK tidak tahu tradisi ini. Aku membuka mata dan mengikuti apa yang sedang berlaku.

Pada Sabtu petang aku melihat pelawanan ragbi murid tua lawan team MCKK. Mata aku terkejut bila aku ternampak satu sosok seorang murid tua.

Aku rasa aku pernah melihat sosok ini satu masa yang agak lama dulu.

Malamnya di dewan makan aku perhatikan sosok ini. Dia duduk di High Table, maknanya pegawai tinggi. Aku menyimpan perasaan. Aku takut tersalah orang.

Esoknya hari Ahad aku beranikan hati pergi ke bangunan Pavillion – bangunan asrama untuk murid tingkatan enam atas.

Di Pavillion murid tua sedang berkumpul berehat sebelum bersurai pulang. Aku hampiri sosok itu dan terus memperkenalkan diri.

“Hi.. Isham… lower six arts… I think we met once before.” Aku katakan yang aku pernah jumpa dia satu ketika dulu.

“Where?” Dia bertanya.

“In your court room… Kuala Klawang Jelebu.” Aku memberi penjelasan.

“Betul.. I was once a working in Jelebu.. I was a Magistrate Court Judge .. in Jelebu.. lama dulu ni…the road to Jelebu was terrible.” Dia menerangkan pengalaman melintas hutan Bukit Tangga dari Seremban.

“Polis tangkap… naik basikal tak ada lampu…bawa ke court… tapi you did not charge me. Budak bawah umur.”

Dia ketawa dan berkata: “You made it to MCKK…. I’m glad.”

Aku, Hisham De Ville tersenyum puas.