Saturday, January 22, 2022

Kita semua sudah tahu

Apa yang menghalang pembangkang berpakat ketika ini hanyalah satu perkara, calon perdana menteri.

Other News

Oleh kerana saya tidak lagi memegang apa-apa jawatan parti, maka lebih mudah saya memberikan pandangan. Sama ada pandangan saya ini adil atau tidak, sesiapa pun boleh berikan pandangan mereka.

Masalah negara kita ketika ini ialah ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat. Ini termasuk isu kesihatan, kos sara hidup, kebajikan dan peluang pekerjaan. Namun di atas masalah-masalah utama ini, masalah di belakang yang menghambat isu-isu rakyat ini ialah politik.

Hakikatnya, jika kerajaan hari ini dipanggil kerajaan Perikatan Nasional (PN), kerajaan PN tidak boleh bergantung harap kepada sokongan Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk kekal stabil.

Begitu juga jika kerajaan hari ini adalah kerajaan BN, mereka juga tidak boleh bergantung dengan sokongan PN kerana kedua-dua blok politik ini mempunyai jumlah sokongan (kerusi parlimen) yang tidak mencukupi dan masing-masing mempunyai agenda politik yang berbeza.

Kedudukan mana-mana kerajaan seperti ini, akan mudah tergugat apabila ada gerakan politik untuk mencapai agenda politik masing-masing. Perbezaan agenda politik inilah yang menjadi masalah kepada kerajaan untuk berfungsi secara efektif untuk menangani masalah rakyat dan negara.

Setakat hari ini, kerajaan yang ada masih kekal kerana salah satu blok politik belum mahu menekan “satu button”. Keadaan ini tidak akan kekal lama. Justeru, masa depan rakyat menjadi pertaruhan dan ia juga memberi kesan kepada keyakinan para pelabur.

Mengaku atau tidak, PN takkan mampu berkongsi kuasa dengan BN. Begitulah yang berlaku pada PRN Melaka baru-baru ini.

Pendirian saya sangat jelas iaitu menolak Umno dan BN menjadi kerajaan. Namun cabaran untuk mengembalikan Umno dan BN sebagai pembangkang menjadi persoalan rumit kumpulan pembangkang termasuk kumpulan yang ada dalam kerajaan PN.

Landskap politik hari ini, masih tidak memihak kepada PH mahu pun PN kerana kekuatan BN masih ada pada Umno dan kekuatan akar umbi Umno pula masih belum tercabut walaupun telah tewas mengejut pada PRU 2018.

Semua sudah tahu bahawa PH, PN mahupun Warisan, Muda dan Pejuang tidak akan mampu menumbangkan Umno BN jika bersaing secara berasingan.

Semua juga sudah tahu bahawa parti-parti pembangkang takkan mampu berpakat untuk menentang Umno dan BN.

Semua pihak juga sudah tahu sangat, apa yang menghalang daripada pembangkang untuk berpakat. Masalahnya ialah calon PM. Itu sahaja.

Bukan sebab prinsip, bukan sebab idealisme dan bukan sebab rakyat. Tapi sebab semua hendak letak calon PM masing-masing.

Inilah tragedi politik Malaysia hari ini. Pembangkang akan terus berstrategi seolah-oleh mempunyai formula tersendiri untuk tidak berpakat dan menang PRU secara solo.

Namun kita sudah tahu, selagi tidak berpakat, Umno dan BN akan kembali menjadi kerajaan, malah lebih kuat lagi.

Mahdzir Ibrahim adalah seorang pelukis yang berada dalam labirin politik.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles