- Iklan -
Kolum

PM, agenda Keluarga Malaysia tiada peluang berjaya jika…

Data yang dipecahkan mengikut kaum tidak perlu dikeluarkan secara khusus melainkan ada keperluan.

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Ke hadapan YAB Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob,

Untuk menjayakan agenda Keluarga Malaysia yang diwar-warkan YAB PM, Malaysia mesti berani melangkah ke depan dengan tidak lagi memaparkan pecahan pengundi sesuatu kawasan mengikut komposisi kaum semata-mata.

Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu akui bahawa pecahan pengundi mengikut kaum semata-mata selama lima dekad mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan.

Kesannya terhadap perpaduan kaum di dalam negara amatlah meruncing dan mendalam dan bersifat memecahkan.

Lihatlah keadaan hari ini, sama ada di kedai kopi mahupun di media sosial, rakyat Malaysia terutamanya ahli-ahli politik akan berbicara segala permasalahan negara daripada sudut kaum semata-mata seperti yang sedang berlaku pada waktu kini.

Untuk menyatupadukan rakyat Malaysia dan menjayakan agenda Keluarga Malaysia secara ikhlas, perkara ini perlu dirombak segera.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selama ini memaparkan pecahan pengundi mengikut kaum.

Barangkali ia dibuat mengikut pecahan parti pemerintah Barisan Nasional (BN) yang semuanya terdiri daripada parti berdasarkan kaum untuk memudahkan setiap parti komponen untuk menjaga undi kaum masing-masing.

Ini boleh diubah, jika YAB PM mempunyai “political will” atau kemahuan politik untuk melihat agenda Keluarga Malaysia menjadi kenyataan.

SPR boleh mengeluarkan pecahan pengundi mengikut usia, jantina, tahap pendapatan, kelulusan akademik atau jenis pekerjaan sebagai data rasmi yang disalurkan kepada media dan rakyat.

Data yang dipecahkan mengikut kaum tidak perlu dikeluarkan secara khusus melainkan ada keperluan.

Jika pecahan pengundi dilakukan mengikut usia sebagai contoh:

21-34 tahun: 35%

35-50 tahun: 40%

50-60 tahun: 15%

60 tahun ke atas: 10%

Berdasarkan data-data sedemikian, media, parti-parti dan ahli-ahli politik akan berbicara, berstrategi mengenai keperluan masyarakat mengikut usia, jantina, jenis pekerjaan, tahap pendapatan serta kelulusan akademik.

Secara automatik, isu-isu yang dibangkitkan akan meliputi semua kaum.

Jika ini diamalkan untuk tempoh 10 tahun, sudah pasti risiko berlakunya keadaan masa kini di mana ada pihak-pihak yang sengaja menggunakan sentimen agama dan kaum untuk meraih undi dan melaga-lagakan sesama rakyat demi mendapat modal politik murahan akan berkurang secara drastik.

Jika inisiatif di atas dapat dilakukan seiring dengan perlaksanaan Undi18, landskap perpaduan negara dan cara berpolitik ahli politik negara akan berubah di dalam 10 tahun akan datang.

YAB PM, agenda Keluarga Malaysia tiada peluang untuk berjaya jika rakyat terus dipecahkan mengikut kaca mata perkauman dan ahli-ahli politik terus bermain isu demi menjaga kepentingan kaum masing-masing.

Rombaklah cara SPR memaparkan data pengundi, nescaya Malaysia boleh bergerak ke arah lebih makmur dan berpadu sekiranya kita melihat data dengan kaca mata yang lebih menjurus ke arah perpaduan.