Sunday, January 23, 2022

Takziah Malam 10

Takziah Melayu mungkin sedikit lebih “berani” kerana ikut mengizinkan penyanyi wanita beraksi, berbanding ta’ziyeh yang asal.

Other News

Banyak tahun lalu, saya pernah bekerjasama dengan Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-30 iaitu Rosdeen Suboh.

Antara drama saya yang beliau arahkan adalah “Angin Madinah”, “Monsopiad Dan Lain-Lain Cerita”, dan beliau pernah berlakon dalam drama pentas “MISI” yang diarahkan Nam Ron.

Minggu ini saya bekerjasama lagi dengan pensyarah kanan di Jabatan Drama, Fakulti Seni Kreatif Universiti Malaya ini.

Semuanya bermula apabila Rosdeen menabur minat terhadap pelbagai seni pementasan di alam Melayu yang membawa beliau ke ceruk rantau Nusantara, antara lain ke Natuna, Patani dan Bengkulu.

Beliau menceritakan pesona yang beliau tontoni di Bengkulu, iaitu perarakan Tabut.

Kami berbual dan berbual, sehingga membawa kepada rencana untuk mementaskan sesuatu seperti Tabut, sesuatu seperti Takziah, sesuatu seperti baca naskah Hikayat Muhamad Hanafiyyah dan sesuatu yang ada Dabus, dan Boria tetapi di sebalik kerencaman itu masih berusaha mempertahankan keutuhan seni Takziah orang Melayu zaman lampau.

Saya memberitahu Rosdeen dalam seni persembahan ramai pengkaji berpendapat Islam tidak mempunyai satu bentuk, gagasan, atau wacana mengenai dramaturgi.

Saya juga menjelaskan yang dakwaan ini bagaimanapun tidak sepenuhnya benar.

Ini kerana The Oxford Encyclopedia of the Modern Islamic World menyatakan dunia Islam mengenali satu bentuk pementasan yang dinamakan ta’ziyeh (dalam bahasa Melayu Takziah) yang menurut M M Badawi dalam Early Arab Drama adalah merupakan satu-satunya drama Islam yang ada untuk dibandingkan dengan bentuk-bentuk lain drama pentas Barat.

Takziah yang muncul dan berakar di Parsi itu kemudian berkembang ke alam Melayu menjadi aneka macam, antara lain tari dabus, bangsawan, boria, tabut dan perarakan panca lima.

Kebanyakan seni yang saya sebutkan ini hilang fungsi aslinya iaitu untuk mengingat sejarah pembunuhan Husin di Karbala.

Jamshid Malekpour dalam The Islamic Drama menyatakan dramaturgi ta’ziyeh adalah bersumber sejarah alternatif.

Maksudnya, ada sejarah yang disuguh penguasa (establishment) manakala ada juga sejarah yang menolak naratif arus perdana itu, iaitu menawarkan alternatif.

Selain buku The Islamic Drama ini, antara buku yang membincangkan ta’ziyeh ialah sarjana Kanada yang baru meninggal dunia baru-baru ini, Mahmoud Ayub, dalam Redemptive Suffering in Islam.

Takziah Melayu tidak banyak berbeza dengan dramaturgi ta’ziyeh asal Parsi itu, ia mengetengahkan apa yang terjadi setelah lima puluh tahun Rasulullah wafat.

Sejumlah tokoh puak dari Kufah, Iraq menulis warkah undangan kepada cucunda Rasulullah iaitu Husin, agar datang ke Kufah untuk memimpin masyarakat bagi menentang pemerintahan korup ketika itu. Husin berasa terpanggil untuk menegakkan amar maaruf nahi mungkar.

Baginda bergerak bersama ahli keluarga dan sahabat rapatnya untuk memenuhi undangan masyarakat Kufah.

Namun begitu, baginda malangnya tidak tiba di Kufah, sebaliknya dilencongkan ke Karbala dan dibunuh di sana.

Karbala ialah sebuah kawasan gurun.

Rombongan Husin ini dinafikan sumber air minum dan dibunuh serta dihenyak seorang demi seorang.

Kemuncak pembunuhan beramai-ramai ini ialah pada hari asyura di mana cucunda Rasulullah, anak kepada Fatimah Zahra dan Ali dipancung dan tubuhnya dihinjak-hinjak secara kejam sehingga hancur jasadnya.

Untuk menutup tragedi tersebut, kilang hadis-hadis palsu mengeluarkan banyak hasilnya, di mana antara lain dibabadkan kononnya tarikh itu ada banyak fadhilatnya.

Padahal ia hari celaka untuk umat Islam.

Bagaimana bentuknya Takziah Melayu jika begitu?

Jika ta’ziyeh dimainkan di tempat-tempat terbuka seperti taman, bazar, padang atau jalanan dengan cara-cara yang amat sederhana dan tradisional; Takziah Melayu bagaimanapun sedikit extravaganza.

Ia menampilkan perarakan tabut, dengan simbol dan lambang tertentu.

Harus difahami orang Melayu adalah bangsa metaforik, maka mereka menonjolkan banyak simbol-simbol yang mempunyai makna ketika perarakan itu.

Terpulanglah kepada audien yang menyaksikan perarakan itu untuk menafsirkannya.

Perarakan tabut yang paling gempar dan masyhur tentunya di Bengkulu dan masih ada sehingga sekarang.

Sepanjang perarakan itu akan ada nyanyian syahdu, syair Melayu, muzik berupa gendang yang hingar dan ratapan perkabungan.

Di sela itu semua akan ada bacaan naskah yang gunanya untuk mendorong tangis.

Malah aspek tangisan ini merupakan sesuatu yang mesti dalam semua Takziah di benua apa pun.

Ta’ziyeh yang asal lebih banyak menggunakan bahasa puitis berbanding prosa yang biasa.

Ini tidak bermakna syair-syair yang diketengahkan tidak dapat diikuti oleh masyarakat umum malah syair yang digunakan secara mudahnya dapat diakrabi oleh para penontonnya.

Hal ini turut dipertahankan oleh Takziah Melayu, cuma mungkin bentuk puitis itu sedikit berbeza kerana di sebalik khutbah, ada juga syair yang mendayu.

Penekanan mesej ta’ziyeh mahupun Takziah adalah untuk menyampaikan satu mesej yang amat bermakna yakni pertembungan antara hak dan batil, atau pertempuran antara kebaikan dan keburukan.

Pesan ini ditekan malah diulang-ulangkan.

Bahagian asas ta’ziyeh ialah muzik.

Demikian juga halnya dengan Takziah Melayu.

Muzik inilah yang bakal mengiringi pembawa kisah yang tugasnya mengawal dan menentukan pementasan.

Bahkan muzik syahdu yang dimainkan pada adengan penyembelihan cucu-cucu Rasulullah selalunya mendorong emosi yang sangat bererti.

Kumpulan yang memainkan muzik terdiri daripada tujuh atau lapan orang dengan muzik asasnya ialah trompet, dram dan apa sahaja muzik yang dapat mengingatkan suasana medan peperangan di Karbala itu.

Dalam ta’ziyeh, penyanyi yang dinamai olya khan dikatakan mahir 300 hingga 400 nada nyanyian seperti shur, abuata, dashti, afshari, segahchahargah.

Pada babak-babak terakhir sesuatu ta’ziyeh nyanyian tadi biasanya disertai oleh penonton dengan mereka memukul dada secara harmoni hingga menjadikan lagu yang dinyanyikan terasa syahdu, sedih dan pilu.

Takziah Melayu mungkin sedikit lebih “berani” kerana ikut mengizinkan penyanyi wanita beraksi, berbanding ta’ziyeh yang asal.

Takziah Melayu tidak banyak bezanya dengan ta’ziyeh dari Parsi, memberi perhatian sepusatnya untuk ahlul bait, atau ahli keluarga Rasullullah yang terkorban atau berkorban itu.

Oleh sebab orang Melayu adalah Sunni bermazhab Syafie, rujukan-rujukan ahlul bait itu biasanya akan kembali kepada cara Imam Syafie menaratifkan ahli keluarga Rasulullah tersebut.

Imam Syafie, salah seorang imam rujukan dalam sekolah pemikiran ahlus sunnah wal jamaah bersyair panjang menyatakan pendiriannya:
“Bila ahlul bait nabi yang empat dimuliakan, Ali, kedua puteranya dan Fatimah yang disucikan, air mata duka dan cinta, bercucuran, tapi aneh, ada yang penuh kemurkaan.
Kala Ali, dan dua puteranya disebut bersama, diuntai Nabi dengan kata yang mulia, ia berkata: ‘Hai kamu biarkan ia berbicara, sedang hadis yang ia sebut, hadis rafidhah’.
Ada saja orang yang bilang rafidhah, bagi muslimin pencinta Fatimah, sedang Allah bersalawat baginya, sungguh aku laknat tindakan jahiliah.
Orang memanggil aku rafidhah, kukatakan tidak. Bukanlah aku rafidhah, akidah pun juga tidak, tapi Ali memang waliku, imamku termulia, bila mencintai al-wasi, disebut rafidhah.
Aku paling rafidhah dari semua yang ada, wahai ahlul bait Rasulullah, mencintaimu diwajibkan Allah, dalam al-Quran yang diwahyukan.”

Rangkap-rangkap syair Imam Syafie di atas sudah memadai untuk membina kes dan tanggapan bahawa pengikut ahlus sunnah wal jamaah secara asasnya bersimpati terhadap keluarga Nabi yang dihina sedemikian rupa.

Rangkap di atas boleh ditemukan dalam Yanabi al-Mawaddah.

Di alam Melayu, Syaikh Ahmad al-Fathani juga menyatakan sikap yang sama, saya menemukan bentuk puisi yang sama seperti dikutip almarhum ustaz Wan Mohd Shaghir Abdullah dalam “Puisi-puisi Syeikh Ahmad al-Fatani” terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, tahun 2007.

Usaha untuk melestarikan Takziah Melayu yang sudah pupus atau nyaris pupus itu amat penting dengan mementaskannya kembali.

Ini agar ia dapat didokumentasikan demi tujuan penyelidikan masa mendatang.

Adalah harapan kita cucu cicit kita mengenali bentuk persembahan Melayu yang didedikasi kepada keluarga Nabi Muhammad ini.

Persembahan tertutup ini akan diawali dengan perbincangan akademik mengenai bentuk Takziah yang melibatkan sarjana internasional, manakala pada malamnya Takziah Melayu akan dipentaskan untuk tujuan pengkhazanahan.

Ia boleh diikuti secara dalam talian.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles