- Iklan -
Kolum

Tabah menghadapi Omicron seperti berdepan Perang Dunia

Setiap generasi mengalami cabaran dan kesusahan berbeza.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Virus Covid-19 ini cukup meletihkan.

Baru saja mengharapkan keadaan bertambah pulih dengan angka jangkitan harian turun ke 4,000 sehari, dimaklumkan pula muncul varian baru lebih kuat yang dinamakan Omicron.

Setakat rencana ini ditulis, Omicron yang masih belum dikenali secara terperinci belum sampai ke Malaysia.

Tetapi kerajaan seperti mana yang dilakukan oleh banyak negara lain juga segera membuat persediaan.

Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein juga menyatakan langkah untuk ke fasa endemik mungkin dihentikan buat sementara.

Ini bermakna fasa pandemik mungkin terus dilanjutkan.

Melihat begitu cepat Omicron merebak, iaitu dengan Jepun, Amerika Syarikat, Arab Saudi dan Korea Selatan menyatakan bahawa mereka mengesan varian itu, maka kebarangkaliannya ialah Omicron akan muncul di Malaysia tidak lama lagi.

Segala harapan untuk pulih atau sekurang-kurangnya hidup dengan norma baharu menjadi tertangguh.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sudah pun menasihatkan warga emas dan mereka yang mempunyai komorbiditi supaya tidak ke luar negara dan pergi ke tempat sesak.

Bagi menghadapi suasana ini, rakyat Malaysia, malah seluruh manusia perlu tabah.

Dalam berusaha untuk bersikap tabah ini, ada baiknya seseorang membayangkan kembali Perang Dunia Kedua. Tentulah wabak virus tidak boleh disamakan dengan perang.

Tetapi ketabahan untuk menghadapi pandemik berpanjangan Covid-19 boleh dikukuhkan dengan mengambil pelajaran daripada perang itu.

Setakat ini, pandemik ini tidak seteruk Perang Dunia Kedua.

Kesedaran bahawa pandemik ini tidak seburuk perang itu mampu memberi ketabahan dan kesabaran kepada semua manusia.

Ini kerana apa yang dihadapi oleh datuk nenek ramai penduduk dunia ketika Perang Dunia itu tentu amat berat.

Oleh kerana mereka berjaya selamat, sebahagian manusia hari ini dapat wujud dan menyambung zuriat.

Perang Dunia Kedua bermula pada tahun 1939 dan berakhir pada tahun 1945, iaitu selama enam tahun.

Pandemik Covid-19 bermula pada tahun 2020, baru lebih setahun.

Sememangnya perang itu adalah angkara manusia yang mahu menakluk negeri orang lain.

Sedangkan Covid-19 datang dari alam semula jadi.

Sungguhpun begitu, para saintis menganggap ia datang dari haiwan liar yang didagangkan untuk dijadikan juadah eksotik oleh golongan kaya raya di China.

Jadi, dari sudut lain, ia juga angkara manusia.

Pada permulaan Perang Dunia Kedua, iaitu pada tahun pertama, tiada sesiapa yang dapat meramalkan ia boleh berlarutan sehingga enam tahun.

Apabila Jerman menakluk Poland, maka negara-negara lain beranggapan bahawa Hitler akan berhenti setakat itu.

Masa itu ia tidaklah dipanggil Perang Dunia lagi.

Di Malaya, kehidupan berlangsung dengan aman.

Berita penaklukan Poland datang lewat beberapa jam kemudian melalui telegraf dan radio, yang tidak ramai orang memilikinya.

Surat khabar pula hanya menyiarkan secara kecil keesokan harinya.

Hanya segelintir orang Inggeris di Singapura, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur yang mengetahui.

Tetapi ketika mula Covid-19 muncul di Wuhan, China pada penghujung tahun 2019, berita mengenainya tersebar ke seluruh dunia dengan segera melalui internet dan televisyen.

Hampir satu dunia tahu. Tetapi tidak ada sesiapa boleh menjangkakan ia akan berlarutan sehingga ke tahun 2021.

Umumnya penduduk dunia menganggap ia seperti SARS dan MERS, yang akan dibendung oleh kerajaan China. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) belum memanggilnya pandemik.

Di negara ini ketika permulaan Covid-19, perdana menteri pada ketika itu Dr Mahathir Mohamad melantik timbalannya, Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengerusi majlis menangani Covid-19.

Sempadan dipantau tetapi masih dibuka dengan kehidupan seharian masih dapat berlangsung dengan lancar.

Semasa Perang Dunia Kedua, keadaan mula menakutkan apabila tentera Nazi masuk ke Denmark, Belgium dan Belanda, yang akhirnya menakluk Perancis.

Tentera British terpaksa mengundurkan diri dari Dunkirk. Ia sudah menjadi Perang Dunia tetapi ia dijangka akan berakhir segera.

Ramai orang mati dan menjadi pelarian.

Kesusahan dan penderitaan dirasakan di Eropah, dari Rusia hingga ke Perancis.

Tetapi di Malaya, keadaan masih aman.

Kesan dari perang itu tentu dirasakan. Perjalanan dan perdagangan terjejas.

Tetapi tidak ada sesiapa menjangkakan bahawa Jepun akan menakluk Malaya.

Ketika Covid-19 mula banyak dikesan di Malaysia, langkah yang diambil adalah perintah kawalan pergerakan (PKP) selama dua minggu, iaitu seperti mana saranan WHO.

Rakyat Malaysia tidak begitu tertumpu pada wabak ini kerana pergolakan politik ekoran Langkah Sheraton.

PKP adalah sesuatu yang tidak terfikir akan berlaku tetapi jangkaannya ialah selepas dua minggu itu, kehidupan akan kembali normal.

Pada masa itu, kematian kerana Covid-19 belum berlaku. Orang yang terkena jangkitan pula pulih.

Kluster terbesar iaitu yang melibatkan peserta Tabligh. Ramai yang kembali sihat.

Mereka yang terjejas dari segi ekonomi mengira kerugian dan mengharapkan ia akan dapat ditebus pada waktu terdekat.

Jika melihat kembali Perang Dunia Kedua, ternyata banyak perkara buruk yang tidak dijangka berlaku.

Daripada kaca mata sekarang, perjalanan sejarah itu dilihat sebagai kisah yang berlaku secara berurutan dan masuk akal.

Maknanya ada sebab dan akibat hinggakan seolah-olah ia tidak dapat dielakkan.

Tetapi waktu ia berlaku, tidak ada sesiapa yang boleh menjangkakan.

Lebih-lebih lagi pada zaman yang sukar memperoleh maklumat dan kelembaban penyebarannya. Tentera British bersedia mempertahankan Singapura tetapi Jepun masuk melalui Kelantan.

Pada zaman ini, maklumat mudah diperoleh dan sekelip mata ia tersebar.

Iaitu beserta dengan penyebaran berita palsu.

Malah dari segi penyelidikan, virus Covid-19 ini akan bermutasi untuk menjadi varian.

Malah nama varian-varian sudah disediakan. Maka Omicron memang dijangkakan. Tetapi sifatnya tidak diketahui.

Kesan selanjutnya juga tidak diketahui lagi.

Berapa lama Covid-19 ini akan dapat ditundukkan juga tidak boleh diramal.

Sama ada pandemik ini akan berlarutan hingga 2022 dan 2023 kini susah hendak ditentukan.

Akhirnya Perang Dunia Kedua tamat juga. Tetapi orang sudah begitu ramai mati di seluruh dunia.

Dari kem pembunuhan Nazi hinggalah bom atom di Hiroshima dan Nagasaki.

Di Malaya, penderitaan penduduknya juga amat besar. Mereka semua perlu tabah untuk bangkit semula.

Pandemik Covid-19 berbanding dengan Perang Dunia Kedua adalah jauh berbeza.

Tetapi perang itu sudah lama berakhir.

Kebanyakan mereka yang melaluinya sudah pun tiada.

Tinggal memori yang dirakam dalam penulisan dan kisah dilisankan secara turun-temurun.

Apa yang nyata, mereka pasti tabah dalam menghadapi segala penderitaan dan kesusahan.

Tetapi pandemik Covid-19 masih belum berakhir dan tidak diketahui penghujungnya.

Dengan mengingati ketabahan generasi terdahulu, penduduk bumi masa ini wajar menguatkan ketabahan untuk mengharungi segala cabaran, bukan saja teerhadap Omicron tetapi perkara perkara lain seperti perubahan iklim.

Setiap generasi mengalami cabaran dan kesusahan berbeza.

Ada generasi yang bernasib baik dengan dapat hidup aman, selamat dan makmur.

Nasib setiap generasi adalah berbeza.

Apa yang penting adalah menghadapi keadaan semasa dengan tabah sambil mengambil pelajaran daripada sejarah dan masa lalu bagi mendapatkan perspektif seimbang terhadap kewujudan.