Sunday, December 5, 2021

CAP kesal pencemaran Sungai Masai masih berterusan

Masalah tersebut sudah berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu namun hingga sekarang tidak ada tindakan berkesan yang diambil pihak berkuasa.

Other News

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor mendedahkan segera hasil siasatan kepada orang ramai punca sebenar berlakunya pencemaran Sungai Masai di Pasir Gudang.

CAP berpendapat masyarakat umum khususnya penduduk tempatan perlu mengetahui apakah tindakan undang-undang yang diambil ke atas pihak yang menyebabkan sungai berkenaan teruk tercemar.

Kejadian terbaru empat hari lalu telah menyebabkan air Sunga Masai tercemar oleh sisa buangan berwarna putih serta berbau busuk dan mengancam kehidupan 250 nelayan pantai termasuk pokok bakau di kawasan itu.

CAP kesal walaupun masalah tersebut sudah berlarutan sejak lebih 10 tahun yang lalu dan banyak aduan telah dikemukakan oleh penduduk-penduduk yang terlibat kepada pihak berkenaan namun hingga sekarang tidak ada tindakan berkesan yang diambil.

Selain menjejaskan kualiti air sungai tersebut, pencemaran bahan buangan ini juga boleh mengancam kesihatan manusia, hidupan di dalam sungai dan laut berhampiran dan mata pencarian nelayan-nelayan di sini.

Sehubungan itu CAP meminta Jabatan Perikanan menjalankan siasatan kesan pencemaran ini ke atas hidupan laut dan sumber pendapatan nelayan yang terjejas termasuk jumlah kerugian yang dialami mereka.

Pampasan atau bantuan yang setimpal harus disalurkan kepada golongan ini bagi meringankan beban kehidupan menyara keluarga dan dapat meneruskan aktiviti tangkapan seperti biasa pada masa akan datang.

CAP berharap JAS dan pihak berkuasa tempatan (PBT) melakukan pemantauan secara berterusan di kawasan ini tanpa menunggu ketika atau selepas kejadian pencemaran berlaku. Ini kerana banyak sungai sekitar Pasir Gudang sejak sekian lama terdedah kepada ancaman tersebut.

CAP meminta JAS menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan tegas dan mengenakan hukuman berat keatas pihak yang didapati bersalah melakukan pencemaran tersebut agar kejadian itu tidak berulang pada masa akan datang.

Mohideen Abdul Kader adalah presiden Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles