- Iklan -
Rencana

Prestasi PN pada PRN Melaka beri saingan di PRU15

PN perlu membentuk strategi mulai sekarang bagi menghadapi PRU15.

Khairuddin Othman
5 minit bacaan
Kongsi
Berdera Bersatu dan Perikatan Nasional dikibarkan pada PRN Melaka. Bersatu mengekalkan dua kerusi di DUN Melaka.
Berdera Bersatu dan Perikatan Nasional dikibarkan pada PRN Melaka. Bersatu mengekalkan dua kerusi di DUN Melaka.

Tidak dinafikan Perikatan Nasional (PN) tewas di pilihan raya negeri (PRN) Melaka.  Tetapi, ramai penganalisis politik agak terkejut dengan sokongan pengundi kepada PN walhal ia baru dua tahun dipimpin oleh Muhyiddin Yassin dan pertama memasuki pilihan raya.

Ketua Penyelidikan Ilham Centre, Mohd Yusri Ibrahim, memuji Bersatu setelah memenangi dua kerusi dan “memberi saingan bermakna di beberapa kerusi segmen Melayu, prestasi ini secara relatif sangat cemerlang”.

“Prestasi ini akan memberi keyakinan baru kepada mereka untuk memberi saingan bermakna dalam PRU15 akan datang,” tambahnya.

Kemenangan BN merampas 21 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) dari jumlah 28 dipertandingkan, masih boleh dipersoalkan atas beberapa faktor.  Antaranya:

Dengan masa mengundi sehari sahaja dan dalam suasana ancaman Covid-19, seperti dijangka mereka yang keluar mengundi rendah kira-kira 66%. Dari jumlah anggaran 470,000 pengundi berdaftar, kira-kira 310,200 orang keluar mengundi. Barisan Nasional (BN) mendapat 40% undi, ia itu 124,080 pengundi memangkahnya.  Ini bermakna, hanya 26.4% dari keseluruhan pengundi berdaftar memilih BN. BN memerintah Melaka dengan hanya lebih sedikit dari seperempat jumlah pengundi berdaftar di Melaka.

Terdapat 160,000 pengundi tidak keluar untuk memilih kerajaan Melaka.  Menurut Dr Mohd Yusri mereka ini terutamanya pengundi berada di luar kawasan pilihan raya (mungkin kerana bertugas di luar Melaka).

Pemerhatian dari klip-klip video dari semua saluran berita TV menunjukkan sebilangan besar pengundi adalah gologan veteran yang dianggarkan 40 tahun dan ke atas.  Generasi muda serta golongan tahap sosio-ekonomi menengah dan ke atas mempunyai pandangan negatif terhadap politik yang berluasa kebelakangan ini.

Dari apa yang telah dikemukakan, beberapa strategi yang boleh dibentuk of PN atau PH untuk bersaing dengan lebih berkesan pada PRU15.  Ramai juga penganalisis politik meramalkan PRU15 akan berlaku dalam masa terdekat, kurang dua tahun dari sekarang.

Alasannya dua, BN perlu bertindak dalam suasana keangkuhan serta kecepatan kejayaan baru ini sebelum ia pudar, dan mengelak pergaduhan di kalangan pemimpin Melaka dalam rebutan jawatan ketua menteri.

Orang ramai sedia maklum ungkapan “terdapat dua singga di atas bukit” dalam kerajaan Melaka, yang pernah disuarakan oleh bekas ketua menteri Melaka dari Umno Idris Haron yang kini melompat ke Parti Keadalan Rakyat. Perebutan ini dijangka akan berterusan kerana kecoh di Melaka apabila lantikan Sulaiman Md Ali selaku ketua menteri dilakukan tergesa-gesa pada jam 1 pagi pada Ahad, hanya beberapa jam selepas Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan kemenangan BN.

“Adalah difahamkan keputusan acara angkat sumpah (ketua menteri) disegerakan setelah diketahui ada percubaan ahli DUN Tanjung Bidara Rauf Yusoh menuntutnya,” lapor Joceline Tan, The Star online, Ahad lalu.

Rauf sendiri tidak hadir di acara angkat sumpah ketua menteri di hadapan Yang di-Pertua Melaka Mohd Ali Rustam.

Memandangkan masa yang terlalu suntuk ini, PN perlu mengorak langkah membina strategi.

Sebagai gabungan politik baru serta bertanding sendirian tanpa kerjasama dengan BN, PN mempamerkan prestasi membanggakan dalam PRN Melaka.

Ia berjaya memenangi dua kerusi di Sungai Udang dan Bemban, dan memberi saingan bermakna di beberapa kerusi kawasan  Melayu.  Contohnya, di Tanjung Bidara, calon Bersatu Mas Ermieyati Samsudin hanya kalah kepada Rauf dengan kelebihan 368 undi sahaja sedangkan kawasan ini adalah kubu Umno.

Lagi menggemparkan ialah walaupun PH memenangi 5 kerusi, 4 adalah dari DAP dan 1 dari Amanah. PKR tidak memenangi sebarang kerusi! Ini bererti, dalam kalangan pengundi majoriti Melayu, PN adalah pencabar terbesar kepada BN di Melaka. Prestasi ini perlu diteruskan sehingga PRU15.

Setelah mengumpul sokongan agak baik dalam segmen Melayu melalui kerusi yang ditandingi oleh Bersatu, Pas dan Gerakan, PN perlu mulai sekarang membentuk strategi dan ambil kira hal-hal seperti berikut dengan serius:

Slogannya perlu ringkas, terang dan menjulang perjuangan PN membasmi rasuah dalam kerajaan BN yang mana terdapat pemimpin mereka berdosa besar melakukan rasuah.  Elemen dosa yang dikaitkan dengan menentang ajaran Tuhan perlu dilaungkan berserta nilai kerugian kepada pengundi setempat jika ia digunakan untuk membina hospital, rumah kos rendah dan bantuan kewangan mikro menjana pekerjaan. Emosi pengundi perlu disentuh supaya mereka yakin hak mereka telah dicerobohi oleh pemimpin Umno.

Orang Melayu amat sensitif dengan pelanggaran hukum Tuhan, terutamanya orang Muslim sendiri. Jumlah wang rasuah yang dicuri perlu dinyatakan dalam konteks apa yang rakyat rugi dan dikhususkan pada setiap kawasan pilihan raya.

Contohnya, kalau jumlah rasuah itu RM800 juta, calon di kawasan Tanjung Bidara laungkan kepada pengundi bukan wang tetapi benda yang mereka boleh rasa kehilangannya seperti hospital, sekolah atau pinjaman usahawan mikro jika wang itu tidak dicuri dan dibelanjakan di Tanjung Bidara.

Lihat bagaimana lidah pengarang New Straits Times menulis mengenai permohonan pemimpin Umno yang memohon RM100 juta rumah dan tanah sebagai hadiah kerajaan kepada bekas perdana menteri yang dianggap tidak malu:  “Dalam kes Najib Razak, jumlahnya adalah RM100 juta – bersamaan 200,000 penerima penghargaan terima kasih (bernilai RM500) pertugas barisan hadapan (yang memerangi Covid-19), jumlah ini adalah dua kali ganda dari apa kerajaan peruntukkan kepada barisan hadapan.”

Cari slogan yang berkaitan dengan misi utama PN (anti-rasuah) seperti ini: Kekayaan Dikongsi Bersama, atau Keuntungan Negara Untuk Semua, atau Kesejahteraan Hidup Diredhai.

Mulai dari sekarang kumpulkan setiap kes-kes rasuah yang dilakukan oleh pemimpin Umno, terutamanya 1MDB. Perbicaraan 1MDB ini dijangka akan berlarutan untuk beberapa tahun lagi. Gunakan kesempatan ini untuk mencemuh pemimpin Umno dan kerugian kepada rakyat kerana kehilangan hampir RM40 bilion dalam bentuk jumlah rumah murah yang boleh dibina, industri baru dan bantuan kewangan kepada mereka berpendapatn rendah yang tinggal di kawasan pilihan raya apabila berkempen.

Gunakan prinsip apabila audien meragui hujah ada, gunakan fakta.  Oleh itu, kumpulkan fakta.  Contohnya, di permulaan ceramah gunakan audio-visual untuk menayangkan dokumentari dari pengulas bebas Wall Street Journal (373,441 penonton), Bloomberg (669,420 penonton) dan doku-komedi Hasan Minhaj (1,851,839 penonton) mengenai 1MDB supaya ingatan kolektif (collective memory) audien sentiasa subur bagaimana kerajaan BN diperdaya oleh budak 27 tahun Jho Low dan pengurusan pelaburan kelas dunia Goldman Sachs.  Lihat di pautan:

8 minit Wall Street Journal:  https://www.youtube.com/watch?v=DPbWDuH1DhI

14 minit Bloomberg dokumentari:  https://www.youtube.com/watch?v=tzp72WFSR5I

18 minit Doku-komedi Hasan Minhaj:  https://www.youtube.com/watch?v=KmZZfWdlEFY

Kemas kini dan tingkatkan rangkaian cawangan PN di semua daerah berkepentingan.  Ia seharusnya menjadi nadi pengumpulan data masalah setempat, penyelesaian dan penyebaran maklumat terkini kepada bakal pengundi.

Letak sasaran seminggu satu isu besar dibawa ke Parlimen atau dihebohkan melaui sidang media supaya dilaporkan di media perdana dan sosial. Terlalu banyak kelemahan kerajaan pimpinan BN yang boleh diketengahkan. Contohnya, tugas utama ahli Parlimen ialah menggubal undang-undang dan membawa penyelesaian masalah rakyat, tetapi banyak hal terabai sahaja.

Mengapa sekarang banyak kes rasuah dan salah guna kuasa yang didapati bersalah di Mahkamah Tinggi tetapi diterbalikkan sabitannya di Mahkamah Rayuan? Pisahkan Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia dari kawalan Pejabat Perdana Menteri, permudahkan lagi pendakwaan dan sabitan kesalahan ke atas kes-kes rasuah dan salahguna kuasa. Ini belum lagi hal ekonomi, kesihatan, pertanian, perumahan dan pendidikan.

Rakan PN dalam PAS dan Gerakan perlu menguasai kehebatan berpidato; dari mengemukakan masalah di kawasan pilihan raya, ke merangka hujah permasalahan hingga mencadangkan penyelesaian. Mereka perlu pandai menggunakan sosial media dan berdepan dengan para wartawan.

PAS perlu keluar dari kepompong isu-isu agama sahaja.  Kebanyakan isu yang dibawa dan hujah mereka tidak masuk akal. Bangkangan terhadap bendera putih dan penyelesaian dengan doa sahaja tidak boleh menghindarkan keperluan segera anak yang kelaparan sementara ibu-bapa kehilangan punca pencarian hidup. Tohmahan terhadap nama arak Timah dan gambar “kopiah” hanya memperlihatkan betapa ceteknya pemikiran kritis pemimpin parti ini.

Untuk membentuk kerajaan, PN akan memimpin Melayu, Cina dan India. Semua bangsa mempunyai masalah dan permintaan, ia perlukan pendekatan berlainan kerana perbezaan budaya, agama dan corak hidup. Oleh kerana kaum Cina dan India telah mula sedar mereka perlu berpakat dan bersatu dengan parti Melayu, Gerakan wajib ditonjolkan sebagai sebarisan dengan semua parti gabungan dalam PN.

Ketika ini, biarkan Umno dalam kealpaannya. Melaka bukan Malaysia. Pergaduhan sesama pemimpin dalam Umno dan rasuah adalah budayanya. Kemenangannya adalah kebetulan, kerana orang muda menghindari undi, ketakutan jangkitan Covid-19 dan usia muda PN di mana misi, slogan dan strateginya masih belum kemas.

Di peringkat PRU15 kelak, dengan terhindarnya ancaman Covid-19, bertambah undi dari pemilih 18-20 tahun, dan hebahan rasuah dan salah guna kuasa yang lebih meluas di media sosial yang ia tidak boleh kawal akan menentukan kelangsungan hidupnya.

Khairuddin Othman adalah bekas wartawan Berita Harian.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow