- Iklan -
Rencana

PRN Melaka: Pengundi tumpu isu setempat berbanding nasional

BN menang bergaya sementara PN berikan saingan hebat dengan prestasi cemerlang.

Mohd Yusri Ibrahim
4 minit bacaan
Kongsi
Seorang pengundi memasukkan kertas undi ke dalam kotak undi sambil diperhatikan petugas SPR pada PRN Melaka semalam.
Seorang pengundi memasukkan kertas undi ke dalam kotak undi sambil diperhatikan petugas SPR pada PRN Melaka semalam.

Setelah melalui tempoh kempen selama 12 hari, akhirnya PRN Melaka melabuh tirai malam ini.

Sekitar pukul 9.55 malam tadi SPR telah membuat sidang media awal mengumumkan keputusan PRN ini.

Seperti hipotesis awal dan dapatan kajian lapangan kami, BN berjaya mendominasi pertembungan ini.

Jangkaan kami bahawa kadar keluar mengundi rendah juga tepat apabila hanya 61% pemilih biasa menunaikan tanggungjawab mereka sehingga pukul 4 petang.

Sebagai analisis awal, keputusan PRN Melaka ini memberi beberapa makna penting yang boleh diambil maklum oleh pihak-pihak berkenaan.

Kelesuan politik

Kadar keluar mengundi yang rendah menggambarkan fenomena kelesuan politik (political fatigue) dalam kalangan pengundi.

Pelbagai drama dan aksi politik yang dipamerkan oleh pemimpin dan parti politik pasca PRU14 menyebabkan pengundi mula bosan terhadap politik.

Perspektif negatif terhadap politik ini banyak melanda generasi muda serta golongan dengan tahap sosio-ekonomi menengah dan ke atas.

Ini menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk tidak keluar mengundi terutamanya pengundi yang berada di luar kawasan.

Senario ini sangat tidak bagus untuk iklim politik negara apabila ada segmen tertentu rakyat mengambil keputusan menyisih diri dalam proses penting sistem bernegara ini.

Melayu kembali sokong Umno

Dalam PRU14 lalu BN gagal mempertahan Melaka apabila berlaku ayungan pengundi Melayu kepada PH disebabkan beberapa faktor bersifat semasa.

Antara faktor tersebut adalah GST, 1MDB dan keyakinan etnik Melayu terhadap PH apabila Dr Mahathir menerajui kempen tersebut.

Apabila faktor tersebut telah pudar sekarang, pengundi etnik Melayu yang sebelum ini memilih PH telah kembali menyokong Umno dengan mengundi BN.

Ini akan mengembalikan semula Umno sebagai parti dominan di kawasan lingkaran Melayu seperti yang dikecapi oleh mereka sebelum PRU14.

Legitimasi keputusan Umno

Berlaku perdebatan hangat dalam kalangan kepimpinan Umno sendiri sama ada akan bertanding sendirian dalam PRN ini atau bergabung dengan PN.

Pasukan yang diketuai oleh presiden Ahmad Zahid Hamidi berkeras untuk bertanding sendirian dengan mengenepikan Bersatu dan Pas.

Keputusan semalam adalah legitimasi penting bahawa keputusan untuk bertanding sendirian tersebut adalah tepat.

Keputusan ini akan memberi keyakinan kepada Umno yang mengetuai BN untuk meneruskan pendirian bertanding secara sendirian dalam PRU15 nanti.

Keputusan ini juga mengabsahkan strategi politik Zahid Hamidi, sekaligus membantu menguatkan kedudukan beliau sebagai presiden menjelang pemilihan kepimpinan Umno nanti.

Pengundian berasaskan parti

Sepanjang mengumpul data di lapangan, pengundi memberi maklum balas baik terhadap kepimpinan bekas ketua menteri Melaka Adly Zahari.

Pengundi juga memberi perspektif sangat positif terhadap prestasi pentadbiran kerajaan PH sebelumnya yang diketuai oleh Adly.

Meskipun memberi kredit besar kepada Adly dan kerajaan PH sebelumnya, namun majoriti pengundi menyatakan komitmen untuk mengundi BN.

Ini kerana mereka cenderung memberi undi berasaskan parti politik berbanding faktor calon dan isu semasa.

Keputusan malam ini mengesahkan bahawa etnik Melayu khususnya masih mengundi bersandarkan faktor parti berbanding faktor lain.

Isu nasional tidak berkesan

Sejak awal kempen, pengundi telah menunjukkan sikap lebih mementingkan isu bersifat setempat berbanding isu nasional.

Sebab itu walaupun PH dan PN banyak menggunakan isu permohonan tanah dan rumah RM100 juta oleh Najib pada penghujung kempen, namun isu tersebut tidak berkesan.

Di sebalik isu tersebut dan beberapa isu rasuah pemimpin tertinggi mereka yang digunakan oleh pihak lawan, Umno masih menang bergaya di kerusi-kerusi yang ditandingi mereka.

Ini membuktikan pengundi Melaka kurang memberi perhatian terhadap isu bersifat nasional, sebaliknya lebih fokus kepada motivasi bersifat setempat untuk mengembalikan Umno ke tampuk kuasa negeri.

PN pamer prestasi cemerlang

Sebagai gabungan politik baru serta bertanding sendirian tanpa kerjasama dengan BN, PN mempamerkan prestasi membanggakan dalam PRN ini.

Berjaya memenangi dua kerusi dan memberi saingan bermakna di beberapa kerusi segmen Melayu, prestasi ini secara relatif sangat cemerlang.

Ini akan memberi keyakinan baru kepada mereka untuk memberi saingan bermakna dalam PRU15 akan datang.

Setelah mengumpul sokongan agak baik dalam segmen Melayu melalui kerusi yang ditandingi oleh Bersatu dan Pas, PN perlu bersegera mengenal pasti strategi efektif untuk menarik sokongan pengundi bukan Melayu khususnya melalui parti Gerakan.

Lanskap politik Malaysia yang menyaksikan komposisi bercampur etnik memerlukan sesebuah parti politik perlu mendapat sokongan semua etnik bagi memberi saingan berkesan dalam PRU.

Etnik Cina mula jauhi PH

PH berjaya mengungguli PRU14 di Melaka apabila diberi sokongan hampir sepenuhnya oleh pengundi etnik Cina.

Sokongan ini antara faktor yang menyumbang kemenangan DAP di semua kerusi yang ditandingi mereka serta beberapa kerusi yang ditandingi PKR.

Membuat tinjauan sepanjang tempoh kempen, telah ada indikator yang menunjukkan sokongan pengundi Cina terhadap PH semakin lemah.

Keputusan PRN ini mengesahkan bahawa pengundi Cina mula beransur meninggalkan PH dan mula memberi sokongan semula kepada BN khususnya kepada MCA.

Walaupun DAP masih berjaya mempertahankan beberapa kerusi tradisi mereka, namun parti tersebut mempamerkan keputusan yang jauh merosot berbanding PRU14 sama ada bilangan kerusi atau undi popular.

Terima pelompat, PH terima akibat

Walaupun tinjauan-tinjauan sejak DUN dibubarkan menunjukkan pengundi tidak bersetuju PH menerima dua bekas wakil rakyat BN sebagai calon mereka, namun petunjuk tersebut diabaikan.

Antara yang menentang keras keputusan tersebut termasuk pemilih yang mengundi PH dalam PRU14 lalu.

Antara yang kuat menentang keputusan tersebut juga adalah pengundi dalam kalangan anak muda dan pengundi etnik Cina, kedua-duanya juga merupakan segmen sokongan positif kepada PH sebelumnya.

Akibat mengabaikan suara ini dengan pelbagai alasan bersifat kosmetik politik, akhirnya PH dihukum dengan parah oleh pengundi dalam PRN ini.

Ada beberapa faktor lain lagi yang menyumbang kekalahan besar PH ini, namun keputusan menerima pelompat sebagai calon adalah salah satu sebab besar.

Penutup

Tirai PRN Melaka melabuh tirainya, wacana tentangnya akan terus berlangsung untuk beberapa tempoh mendatang.

Keputusan PRN ini akan dijadikan kerangka rujukan untuk setiap parti politik merancang strategi bagi menghadapi PRU15.

Keputusan PRN ini juga akan dijadikan kerangka rujukan oleh seluruh rakyat Malaysia untuk dijadikan pedoman awal pola sokongan mereka menjelang PRU15 nanti.

Selamanya warga perlu sedar, kemenangan sebenar sesebuah pilihan raya bukan parti politik, pemenang sebenar adalah rakyat.

Mohd Yusri Ibrahim adalah ketua penyelidikan Ilham Centre.