- Iklan -
Kolum

Hadiah tanah kepada bekas PM tidak dapat diterima

Walaupun mereka sudah banyak berharta dengan memiliki pencen besar tetapi masih mahukan tanah kerajaan.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Kelulusan Kabinet untuk memberikan tanah bernilai RM100 juta kepada Najib Razak sebagai hadiah kerana berkhidmat sebagai perdana menteri adalah mengejutkan dan tidak dapat diterima oleh ramai pihak di negara ini.

Apabila Kabinet meluluskan, maknanya ia dipersetujui oleh semua menteri dari pelbagai parti walaupun ia diketuai oleh perdana menteri dari Umno.

Parti-parti lain yang mempunyai menteri dalam Kabinet ialah MCA, MIC, PAS, Gabungan Parti Sarawak dan Parti Bersatu Sabah.

Maknanya Kabinet tidak merasakan suatu yang janggal untuk memberikan hadiah tanah kepada bekas perdana menteri itu.

Ini kerana dikatakan bahawa pemberian tanah kepada bekas perdana menteri sebagai mengenang jasa mereka adalah suatu amalan biasa yang telah dilakukan oleh kerajaan terdahulu.

Masalahnya ada dua perkara yang menjadikan tindakan Kabinet meluluskan pemberian tanah itu sebagai tindakan yang bukan biasa.

Pertama, Najib bukan seperti bekas perdana menteri lain.

Beliau bukan seperti Abdullah Ahmad Badawi, Dr Mahathir Mohamad, Hussein Onn, Abdul Razak Hussein atau Tunku Abdul Rahman.

Maknanya, apa saja jasa yang dilakukan oleh Najib ditenggelami dengan kesalahannya kepada rakyat dan negara.

Pasti ramai dalam kalangan rakyat tidak dapat menerima bahawa beliau patut diberikan hadiah.

Mengapa Kabinet tidak merasa peka terhadap perkara ini menjadi tanda tanya dan mengejutkan.

Ini termasuklah menteri-menteri dari Bersatu yang mana kedudukan mereka sebagai ahli Parlimen adalah kerana mandat rakyat Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2018 untuk menghalang Najib daripada menjadi perdana menteri kerana isu skandal 1MDB.

Selain itu, tindakan Kabinet meluluskan hadiah tanah itu pula dilakukan dalam keadaan negara dan rakyat sedang berada dalam kesusahan dari segi kesihatan dan kewangan.

Segala sumber kewangan wajar disalurkan untuk membantu rakyat dan memulihkan negara.

Sebelum ini pun, salah satu alasan mengapa kerajaan tidak dapat menyerap doktor-doktor kontrak adalah kerana kesempitan dana.

Dalam minggu ini pun diumumkan bahawa bantuan sarapan pagi untuk murid-murid sekolah dibatalkan kerana masalah dana.

Jadi adakah kerana kurang sensitiviti di kalangan anggota Kabinet terhadap kesusahan dan kesempitan kewangan negara maka mereka gamak meluluskan hadiah tanah kepada bekas perdana menteri?

MoU tidak bermakna?

Ini ditambah pula dengan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan (PH) supaya menyatukan tenaga politik mereka untuk memberi tumpuan kepada melawan Covid-19 dan memulihkan negara.

Tetapi apabila Kabinet sendiri tidak menumpukan perhatian kepada pemulihan ekonomi negara, dapat dirasakan bahawa persetujuan itu adalah suatu dokumen yang tidak bermakna.

Pembangkang yang aktif, pro-aktif dan sentiasa bersiap siaga mengawal kerajaan adalah perlu.

Kalau tidak, kerajaan khususnya Kabinet akan sewenang-wenangnya melakukan perkara-perkara tanpa rasa sensitif terhadap perasaan rakyat.

Sebelum perkara ini timbul, sudah beredar maklumat bahawa Najib memperoleh tanah daripada kerajaan.

Tetapi ia tidak dapat disahkan. Media juga tidak dapat siasat dan disahkan.

Kebetulan ada sidang Parlimen. Ini menunjukkan betapa pentingnya sidang Parlimen untuk mengawal kerajaan.

Mahathir sebagai ahli Parlimen Langkawi menimbulkan isu ini.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz mengesahkan perkara ini.

Dengan pengesahan ini barulah kebanyakan rakyat tahu mengenai perkara ini.

Maklumat ini dengan serta-merta tersebar dalam media sosial, sama ada ia berbentuk berita video atau teks.

Kemudian ia dipanjangkan melalui hantaran-hantaran.

Sememangnya penyokong pembangkang menjadi perkara ini sebagai isu.

Tetapi kemarahan yang timbul bukan kerana mereka penyokong pembangkang.

Rakyat marah

Sebagai rakyat biasa yang tidak berparti pun akan berasa marah dengan isu hadiah tanah ini.

Ini dapat dilihat daripada hantaran di YouTube oleh para penganalisis politik, termasuk dalam kalangan ahli Umno juga.

Tidak banyak orang tahu bahawa terdapat amalan bahawa kerajaan memberikan hadiah tanah kepada bekas perdana menteri.

Mungkin dalam kalangan penjawat awam tinggi dan ahli politik mengetahui perkara itu.

Tunku Abdul Rahman memperoleh tanah di Bukit Tunku kerana beliau tidak mempunyai kediaman di Kuala Lumpur.

Razak meninggal dunia dalam perkhidmatan. Kerajaan memberikan tanah pada keluarga beliau.

Hussein ada menerima tanah.

Tetapi Mahathir menolak pemberian kerajaan dan rumah yang ditawarkan itu menjadi galeri memorial tetapi tetap dimiliki kerajaan.

Abdullah ada menerima tanah.

Itulah apa yang saya tahu daripada ingatan ketika menjadi wartawan dahulu.

Pada tahun-tahun dahulu, tidak pernah keluar berita dalam akhbar bahawa bekas perdana menteri menerima hadiah tanah.

Tetapi berita seumpama ini tentu dianggap kurang manis untuk disiarkan dalam akhbar, walaupun pemberian itu menurut undang-undang dan dianggap wajar.

Ketika belum munculnya media sosial, kesemua media massa dikawal oleh kerajaan.

Bukanlah kerajaan mengawal media secara langsung.

Pemandangan bangunan pencakar langit di Kuala Lumpur menjadi latar suasana Bukit Petaling, di mana sekitar 2.8 ekar tanah dikhususkan untuk pembinaan sebuah rumah untuk bekas perdana menteri Najib Razak yang disabitkan kesalahan rasuah.

Tetapi pengamal media tahu untuk mengawal berita yang disiarkan supaya tidak keluar maklumat kurang manis.

Hadiah tanah ini bukan sahaja diperoleh bekas perdana menteri.

Bagaimana pula bekas menteri besar dan ketua menteri?

Ada bekas penjawat awam dikatakan mendapat tawaran harga lebih murah bagi sesuatu tanah kerajaan termasuk di Putrajaya.

Ahli politik dan penjawat awam mungkin boleh sahkan perkara ini.

Di penghujung pentadbiran Abdullah, ketika saya berjalan-jalan di Putrajaya bersama seorang bekas menteri dan bekas penjawat awam, perkara ini timbul.

Ia seolah-olah perkara biasa tetapi bagi saya yang berada di luar lingkungan elit, amalan ini hanya menunjukkan kerakusan dan ketamakan mereka yang memiliki kuasa dan keistimewaan.

Walaupun mereka sudah banyak berharta dengan memiliki pencen besar tetapi masih mahukan tanah kerajaan.

Sedangkan ramai rakyat kesuahan kerana ketiadaan rumah sempurna.

Keadaaan sekarang sudah berbeza.

Dahulu Barisan Nasional (BN) dominan dan memegang kuasa besar.

Mereka sentiasa menang pilihan raya dan pembangkang bukan sahaja kecil tetapi juga tidak berkesan.

Dengan media massa dikuasai tentulah berita berita kurang manis tidak diketahui umum kerana ia tidak akan disiarkan.

Sekarang BN tidak sekuat dulu. Ia sudah berpecah-pecah dan tidak semestinya sentiasa menang pilihan raya.

Kerajaaan BN tidak boleh bertindak sebebas seperti dahulu. Kini media sosial berperanan besar.

Kerajaan tidak boleh mengawal media sosial seperti mana media massa dahulu.

Maklumat bukan saja disampaikan oleh pemberita tetapi juga netizen.

Dalam keadaan ini, harus disedari bahawa negara dan sumbernya bukan milik lingkungan tertentu sahaja, iaitu ahli-ahli politik yang berkuasa tetapi juga hak orang ramai.

Ahli politik dan penjawat awam yang berjasa tentu memperoleh imbuhan setimpal, dalam bentuk gaji, pencen serta anugerah.

Tetapi tidak bolehlah berlebih-lebihan dan keterlaluan.

Ahli politik dan penjawat awam berkhidmat untuk rakyat dan negara.

Itupun mereka wajar dikira bernasib baik dapat hidup senang dan dihormnati.

Mentaliti dan budaya berpolitik sudah patut berubah.

Dengan menyandang jawatan awam, baik berbentuk politik atau perkhidmatan kerajaan, ia tidak menjadikan seseorang itu istimewa.

Sebaliknya, ia merupakan tanggungjawab perkhidmatan kepada rakyat dan negara.

Maka tidak timbul keistimewaan untuk dinikmati. Lagi pun sesebuah kerajaan yang mentadbir adalah suatu yang sementara.

Ia boleh kalah pilihan raya dan digantikan dengan pihak lain.

Ini adalah sistem demokrasi yang menetapkan bahawa negara ini adalah milik rakyatnya.