Monday, December 6, 2021

Melaka pilih naga atau ihsan?

Melainkan Melaka memang suka naga, sekali ngap habis tergadai pasir belaka.

Other News

Suhu politik dan pilihan raya semakin mencanak di negeri Melaka minggu ini.

Hari ini malah adalah hari pengundian awal.

Sebagai pengundi di negeri Melaka, saya memerhatikan penipuan, sogokan, fitnah dan juga kesongsangan sepanjang berkempen ini.

Misalnya, memang aneh apabila bekas perdana menteri, dan juga pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin dalam ucapannya secara dalam talian bertalu-talu menghentam Umno yang dianggap sebagai seteru utama berbanding Pakatan Harapan (PH).

Ini tentulah aneh kerana di peringkat persekutuan, Umno dan PN bercumbuan membentuk kuasa.

Kemudian lagi, kita melihat di dalam manifesto Barisan Nasional (BN) terdapat helah mengenai Zon Ekonomi Pesisir Pantai Melaka (M-WEZ) yang konon sebagai pemacu ekonomi utama negeri dan konon boleh menjana sekitar 10,000 pekerjaan dalam masa lima tahun.

Saya ragu rakyat atau pengundi negeri Melaka sedar yang projek ini akan menjejaskan nasib nelayan kerana ia merupakan penambakan besar-besaran meliputi sekitar separuh daripada garis pantai keseluruhan Melaka.

Bukan itu sahaja, ia adalah cara untuk mendapatkan pasir dan menjualnya.

Pasir barang diingat adalah barang rebutan yang mengakibatkan kerajaan negeri terbubar dan Pilihan Raya Negeri (PRN) mengejut ini diadakan.

Juga lucu melihat PAS yang kini berbaju biru, sesuatu yang tidak mungkin dilihat ketika PAS di bawah pimpinan Tok Guru Nik Aziz dan Ustaz Fadzil Nor.

Di bawah Hadi, seorang Tan Sri, PAS dihujani GLC dan jawatan.

Tetapi sedih sekali melihat PAS juga menghambakan diri kepada orang lain.

Itu belum lagi gelar bodoh yang dilemparkan sesama sendiri oleh gabungan PN-BN, dan fitnah parti lawan konon menyokong perjuangan komunis.

Semua kesan dari politik dan PRN Melaka ini mengingatkan saya kepada sebuah buku karangan Profesor Abdul Latif Samian, bekas pengarah Insititut Alam dan Tamadun Melayu dengan judul “Akal Budi Islam Nusantara.”

Dalam buku ini, Latif menukilkan sehimpunan 2000 rangkap syatun (menurut Latif ia adalah syair yang dibaca sebagai pantun).

Buku beliau ini sebetulnya terbit sebelum Langkah Sheraton.

Jadi apabila saya membaca Muhyiddin mengancam untuk menekan butang “membubarkan Parlimen atau DUN” seraya memanggil bekas menteri Shahrir Samad bodoh – mereka berdua dari Johor – saya segera teringat akan untaian syatun yang dikarang oleh Latif.

Antara lain tentang politik, Latif menyebutkan begini:

Politik kampung politik bandar,
Ramai berpolitik tidaklah sedar,
Bahawa manusia memang berkadar,
Sampai masanya eluk beredar.

Akan tetapi yang menjadi keanehan kita ialah kebanyakan pemimpin politik ini tidak sedar diri dan enggan berundur.

Sudahlah tua dan obes, mereka masih tetap mahu mendambai kuasa.

Dalam hal ini, Latif dengan adil memesankan:

Terlalu berpolitik orang muak,
Bercakap seolah terminum tuak,
Nafsu kuasa membuak-buak,
Fikir diri hanya yang layak.

Ketika waktu berkempen ini kita akan melihat pelbagai janji manis, malah berbentuk sogokan atau rasuah kepada pengundi.

Saya tidak tahu kalau-kalau orang Melaka sedar atau tidak yang sesetengah politikus ini sedang menjual apa yang ada untuk kekal berkuasa. Ini diulas Latif:

Politik kita politik kuasa,
Semakin berpolitik semakin berleluasa,
Percaya berkuasa boleh berjasa,
Akhir lupa bawa binasa.

Dalam untaian syatun karya Latif ini juga kita menemukan rangkap mengenai pilihan raya yang menurut saya wajar direnung oleh pengundi Melaka agar tidak tertipu.

Dalam salah satu rangkapnya, Latif melakarkan:

Pilihan raya ada penipuan,
Hasrat untuk kalahkan lawan,
Akhirnya diri sendiri tertawan,
Hidup seorang tiada kawan.

Saya juga berfikir, satu rangkap tulisan Latif yang tepat menggambarkan perbalahan PN dan BN adalah bait berikut:

Pilihan raya hanya kaedah,
Kadang-kala terpilih salah,
Mula bersatu akhir berbalah,
Mendapat penyakit seperti lelah.

Perbalahan antara Umno-Bersatu-PAS ini akan membawa kejahanaman kepada negeri Melaka jika dibiarkan oleh pengundi.

Bayangkan kalau ada yang tidak mahu turun mengundi, dan puak bodoh atau jahat berkuasa lantas berebutkan pasir lagi (seperti diakui terang-terangan dalam manifestonya).

Nelayan dan marhaen terus merana seperti diungkap Latif:

Pilihan raya bawa bencana,
Ramai rakyat yang merana,
Tiada kesenangan yang dijana,
Pemimpin adil ada di mana.

Lebih dahsyat ialah rasuah-sogokan-huluran-wang kecil-korupsi menjadi jadi dan dianggap sebagai satu norma baru.

Malah perasuah datang kedai diraikan.

Hal ini ada disentuh oleh Latif dalam bait di bawah:

Kadang mengundi ada rasuah,
Kurang isi lebih kuah,
Ada masanya bersama di bawah,
Baik di pejabat baik di sawah.

Dalam prakata buku ini juga Latif mengeluhkan betapa orang Islam hari ini sudah kurang ihsan.

Latif terpaksa membebel panjang mengenai konsep ihsan ini dalam permulaan bukunya.

Kata beliau:
“‘Keihsanan’ memerlukan rasa rendah diri, tidak sombong dan bongkak sesama makhluk. Adanya sifat keihsanan itu menambah nilai dan memberi makna yang lebih mendalam kepada peranan kita yang harus sentiasa berusaha meningkatkan sifat taqwa.”

Saya susah menemukan rendah diri, tidak sombong dan bongkak sesama makhluk dalam kalangan politikus Melayu-Islam.

Maaflah. Berbangga sebagai Melayu-Islam tetapi saya malu melihat tindak-tanduk mereka.

Pun, oleh sebab disebutkan ihsan di sini, saya terkenangkan Adly Zahari yang pernah saya beritahu beliau sendiri – agar menawarkan ihsan kepada umat Islam di negara ini.

Ihsan sudah asing.

Ini kerana sejak rasuah sebati dalam umat (dek taburan sogokan) di era pentadbiran BN sebelum PRU14, hati kita sudah keras.

Orang suka menghukum. Lihat sahaja bagaimana menteri agama hari ini melayani wartawan yang bertanyakan soalan mengenai judi.

Ihsan satu bahagian penting dalam agama jelas terabai.

Manifesto PH mujur ada menyebutkan ihsan ini.

Ihsan ini mustahak direnung kembali.

PAS misalnya sudah tiada ehsan sejak pemergian Tok Guru Nik Aziz.

PAS sinonim dengan lalang, tebuk atap, cakap bolak-balik dan kekarutan.

Entahlah, apalah yang dipilih Melaka kelak.

Moga-moga pengundi Melaka menjadikan akal budi mereka untuk memilih.

Kalau tidak menggunakan akal budi, saya khuatir ada naga yang naik. Lebai pun bersekongkol sama. Bak kata Latif mengenai akal budi dan naga ini:

Akal budi harus dijaga,
Jika tidak menjadi naga!

Melainkan Melaka memang suka naga, sekali ngap habis tergadai pasir belaka.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Previous articleKedai nombor ekor masa PKP
Next articleTumpang glamour

Related Articles